Images
  • pregnant woman
    Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)

20% wanita hamil tunjuk simptom kemurungan

SINGAPURA: Sekitar 20 peratus wanita hamil di negara ini berkemungkinan mengalami simptom-simptom kemurungan. Jika tidak dirawat mereka berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin.

Menurut Hospital KK bagi Wanita dam Kanak-Kanak, kemurungan boleh menjejas jalinan hubungan antara ibu dan anak serta pembangunan kognitif otak anak.

Oleh itu, bagi membantu golongan sedemikian, Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH) sedang berusaha mengenal pasti mereka yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan untuk dibantu menerusi satu program khusus.

MASALAH KEWANGAN CETUS KEMURUNGAN PRANATAL

Cik Diana Saad, 40 tahun, baru sahaja memulakan pekerjaan baru selama sebulan.

Namun apabila mengetahui beliau hamil, Cik Diana yang juga menghidap penyakit sistem imun, diberhentikan kerja.

"Dengan masalah memikirkan tentang kewangan, kesihatan dan bayi yang akan lahir ini, jadi terlalu banyak masalah yang saya harus fikirkan. Jadi saya mengalami kemurungan," kongsi beliau kepada Mediacorp.

Mujur masalah yang dihadapi Cik Diana dikesan semasa pemeriksaan rutin kehamilannya. Cik Diana dimasukkan ke dalam program ProPEL, di mana beliau diberi kaunseling.

Seawal 28 minggu kehamilan, wanita-wanita yang menunjukkan tanda-tanda positif kemurungan akan dibantu menerusi sesi kaunseling.

Malah mereka juga boleh terus mendapatkan bantuan dalam masa dua bulan selepas melahirkan.

Sejak September tahun lalu, program ProPEL telah membantu 23 wanita hamil mengatasi kemurungan mereka.  

- CNA/NF/tq

Top