Images
  • Bintan 1
    The Anmon Resort Bintan dan Natra Bintan jadi buruan pengguna Instagram. (Gambar-Gambar: 8DAYS/TODAYonline)

2 resort ‘glamping’ di Bintan jadi buruan pengguna Instagram

SINGAPURA: Pernahkan anda terfikir untuk bercuti di Bintan?

Pulau Bintan di Indonesia sememangnya salah satu destinasi percutian yang popular dalam kalangan rakyat Singapura dan semakin ramai pengunjung berpusu-pusu ke pulau peranginan itu untuk merasakan sendiri pengalaman perkhemahan mewah atau 'glamping'.

Baru-baru ini, dua resort 'glamping' dibuka secara rasmi di Treasure Bay Bintan. Hab riadah seluas 338 hektar itu juga menempatkan sebuah lagun air laut buatan yang dikenali sebagai Crystal Lagoon, serta pelbagai cawangan makanan dan minuman (F&B) serta pusat runcit di Chill Cove.

THE ANMON RESORT BINTAN

The Anmon Resort Bintan menawarkan pengalaman 'glamping' seakan-akan di gurun Sahara.

Resort bertaraf 3.5 bintang ini menawarkan sebanyak 100 khemah 'teepee' yang berhawa dingin, dilengkapi dengan tempat tidur yang boleh diubah suai untuk menampung sehingga empat tetamu.


Harga bagi setiap bilik bermula dari S$149. Untuk ke sana, para tetamu hanya perlu menaiki feri selama sejam dari Singapura. Khidmat bas ulang alik antara Terminal Feri Bandar Bentan Telani dengan The Anmon disediakan secara percuma. Setiap perjalanan hanya mengambil masa sekitar 10 minit saja.


The Anmon dianggap sebagai sebuah resort yang serba mampan. Oleh itu, kelengkapan dandanan diri dan keperluan lain hanya akan disediakan atas permintaan tetamu. Resort itu juga dilengkapi dengan mesin air bagi mengurangkan penggunaan botol plastik sekali guna.

Khidmat wi-fi juga disediakan bagi anda yang ingin memuatnaikkan gambar dan video ke laman media sosial, termasuk Instagram.


Di The Anmon, para tetamu berpeluang menjamu selera hidangan barbeku di bawah cahaya langit malam, di luar khemah mereka.

Para pengunjung boleh menempah pengalaman makan malam di sebuah kelong dan menikmati pelbagai hidangan makanan laut di Restoran Makanan Laut Kampoeng Kelong, sambil menyaksikan matahari terbenam. Bayaran tambahan akan dikenakan.


Para tetamu The Anmon juga diberikan akses percuma untuk beriadah di Crystal Lagoon, sebuah lagun air laut buatan sebesar 50 kolam renang Olimpik yang menawarkan pelbagai kegiatan sukan laut.

NATRA BINTAN

Sebuah lagi resort bersepadu yang menawarkan pengalaman 'glamping' adalah Natra Bintan, yang terletak tidak jauh dari The Anmon.


Dikenali sebagai The Canopi Bintan sebelum ini, resort yang terletak di Chill Cove di Crystal Lagoon itu diberikan nafas baru dengan menyediakan pengalaman berkonsepkan alam semula jadi bagi semua tetamunya melalui pakej-pakej yang ditawarkan.


Seperti The Anmon, Natra juga menempatkan 100 khemah mewah dengan setiap satu boleh menampung sehingga empat tetamu. Setiap bilik berhawa dingin dan dilengkapi dengan khidmat wi-fi.


Harga bagi setiap bilik bermula dari S$175. Untuk ke sana, anda perlu menaiki feri selama sejam dari Singapura. Khidmat bas ulang alik dari Terminal Feri Bandar Bentan Telani disediakan secara percuma.

Di Natra, para pengunjung boleh menjamu selera di restoran Patio. Namun sama seperti The Anmon, anda juga boleh menikmati hidangan barbeku dan berjamuan malam di luar khemah masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melungsuri laman https://www.theanmon.com/ dan https://www.marriott.com/hotels/travel/tnjtx-natra-bintan-a-tribute-portfolio-resort/.

- 8DAYS/AI/ai

Top