Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 anak muda tawar khidmat 'musollah bergerak' mudahkan solat dengan selesa

“Nak solat di mana ya?” adalah soalan yang lazim diajukan oleh seseorang Muslim apabila berada di luar rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
2 anak muda tawar khidmat 'musollah bergerak' mudahkan solat dengan selesa

'Musollah bergerak' di Pantai East Coast yang didirikan oleh Prayer Pod SG. (Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

BERITAmediacorp: “Nak solat di mana ya?” adalah soalan yang lazim diajukan oleh seseorang Muslim apabila berada di luar rumah.

Jika di majlis-majlis perkahwinan atau perjumpaan, mungkin ada disediakan ruang serba sederhana 'asalkan ada tempat solat'. Kalau di tempat-tempat awam pula, mungkin ruang tepi tangga menjadi pilihannya, atau di bawah pokok di tepi pantai jika anda sedang berkelah. Semua ini mungkin selesa, mungkin juga tidak.

Lantaran sedar adanya keperluan seperti itu, dua orang anak muda tempatan memutuskan untuk membawa keselesaan bersolat dengan mewujudkan perkhidmatan musollah mudah alih. Yang paling menarik, ia bukan sekadar ruang biasa-biasa sahaja.

Dari luar ia kelihatan seperti sebuah khemah yang didirikan untuk dijadikan tempat berehat atau bersantai. Namun, di dalamnya anda seolah-olah berada dalam sebuah ‘masjid’ atau surau!

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Musollah yang dipanggil ‘Prayer Pod’ itu salin tak tumpah seperti sebuah musollah tetap yang serba lengkap, malah “semerbak harum bau minyak attar” berlegar-legar di ruang empat segi itu sebaik sahaja anda memasukinya.

Pengasas ‘Prayer Pod SG’, Encik Nasrullah Abd Aziz memberitahu BERITAmediacorp, beliau dan rakannya yang berusia 29 tahun, Encik Ramadhan Kasmin, mahu mewujudkan sebuah tempat solat yang suasana serta fungsinya membuat pengguna berasa seolah-olah sedang bersolat di rumah sendiri.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

RUANG SELESA, KHUSUSNYA BUAT MUSLIMAH

Encik Nasrullah dan Encik Ramadhan, mendapat inspirasi untuk mewujudkan ‘Prayer Pod SG’ daripada sebuah syarikat Perancang Perkahwinan Relite Events Management. Syarikat itu turut menyediakan ruang solat yang selesa dalam pakej yang ditawarkan, namun tidak menyewakan ruang solat tersebut.

“Dengan izin mereka, kami cetuskan idea untuk mewujudkan Prayer Pod SG. Jadi diilhamkan daripada ruang solat syarikat itu, kami lakukan perubahan dan adakan sebuah tempat solat yang cantik,” kata Encik Nasrullah, 30 tahun.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Bagi kaum Muslimah khususnya, musollah tersebut pasti sesuatu yang amat disambut baik. Manakan tidak, ia dihubungkan dengan tempat wuduk mudah alih. Ini bermakna, selesai mengambil air sembahyang mereka boleh langsung menunaikan solat - semuanya dalam satu ruang tertutup tanpa perlu risau aurat mereka terdedah.

“Kita orang lelaki mudahlah. Bila nak solat contohnya di majlis perkahwinan, kita boleh saja ke tempat rewang, ambil wuduk solat di mana-mana. Ini (Prayer Pod) lebih untuk Muslimah. Kami faham selepas solat mereka perlukan cermin untuk ‘touch-up’. Jadi kami faham,” tambah Encik Nasrullah.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

BERITAmediacorp diberitahu antara yang disediakan dalam musollah tersebut adalah lampu, kipas, minyak attar, telekung, bingkai yang tertera waktu solat lima waktu, tasbih serta sejadah.

Perniagaan khidmat ‘Prayer Pod’ itu sebenarnya baru sahaja dimulakan sekitar dua minggu lalu dan setakat ini sudahpun menarik tiga pelanggan bagi tiga acara berbeza.

“Yang pertama majlis ‘baby shower’. Yang kedua majlis perkahwinan dan baru-baru ini sebuah keluarga menyewa ‘Prayer Pod’ semasa mereka berkelah di pantai East Coast,” tambah Encik Nasrullah.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

‘PRAYER POD’ IDEA BIJAK

Cik Nur Eliani Ahmad Rashun, pelanggan ketiga yang menyewa “Prayer Pod’, ternyata amat berpuas hati dengan musollah mudah alih tersebut.

“Alhamdulillah! Saya rasa ini idea yang bijak. Ia sangat selesa dan memudahkan. Sepupu saya sempat bergurau seolah-olah kami berada dalam (masjid) di Madinah,” kongsi Cik Nur Eliani kepada BERITAmediacorp sambil tertawa.

(Gambar: Nur Eliani Ahmad Rashun)

(Gambar: Nur Eliani Ahmad Rashun)

Pada 10 Nov lalu, Cik Eliani menganjurkan perkelahan dua hari satu malam di pantai East Coast Park untuk lebih 50 orang anggota keluarga dan sanak-saudaranya. Beliau melanggani khidmat ‘glamping’ dan memutuskan untuk juga menyewa musollah bergerak itu.

“Lokasi itu tandasnya agak jauh. Ibu saya pula berkerusi roda jadi sukar untuk berulang alik ke tandas (untuk mengambil wuduk). Solat perlu dijaga. Jadi apabila saya dapat tahu tentang ‘Prayer Pod’, saya fikir mengapa tidak? Supaya keluarga saya dapat solat dengan selesa,” cerita Cik Nur Eliani.

(Gambar: Nur Eliani Ahmad Rashun)

(Gambar: Nur Eliani Ahmad Rashun)

Bagi Cik Eliani, tempat mengambil wuduk yang disediakan dalam ruang solat tersebut sememangnya satu kelebihan.

MAHU PASARKAN ‘WUDUK POD’ SEBAGAI NIAGA TUKIKAN

Menurut Encik Nasrullah, tempat berwuduk yang dipanggil ‘Wuduk Pod’ itu adalah sesuatu yang akan dipasarkan sebagai satu khidmat berasingan daripada ‘Prayer Pod’. Malah beliau menyasarkan untuk menjadi penyedia utama khidmat wuduk mudah alih pada masa akan datang.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

“Sesiapa pun boleh adakan ruang solat seperti Prayer Pod. Tempat berwuduk yang kami sediakan adalah khidmat utama kami. Ini kerana ia menggunakan mekanisme pengepam yang dihubungkan pada sebuah tong air. Matlamatnya adalah untuk menggalak pengguna untuk berjimat cermat semasa mengambil wuduk,” jelas Encik Nasrullah.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Wuduk Pod itu terbahagi kepada dua fungi berasingan. Yang pertama, adalah sebuah sinki yang disertakan dengan pengepam yang menyalurkan air. Ia digunakan untuk mengambil wuduk bagi anggota badan selain kaki. Pengguna perlu berdiri dan menggunakan kaki untuk menggerakkan pam semasa mengambil wuduk.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Sebuah sinki berasingan ditempatkan pada paras lebih rendah, bersebelahan singki pertama. Air yang secukupnya disalurkan daripada sebuah lagi tong menerusi kepala paip untuk pengguna membasuh kaki mereka. Sebuah bangku kecil juga disediakan. Ini pastinya sistem yang ergonomik kerana pengguna tidak perlu terlalu membongkok atau mengangkat kaki terlalu tinggi.

RANCANG ADAKAN RUANG BERASINGAN LELAKI & WANITA

BERITAmediacorp diberitahu harga menyewa Prayer Pod adalah antara $250 dengan $280 sehari. Namun Encik Nasrullah menekankan, inisiatif tersebut tidak dilihat sebagai peluang perniagaan. Ini kerana matlamat sebenar mereka adalah untuk membantu masyarakat Melayu/Islam.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Buat masa ini, Prayer Pod boleh memuatkan kira-kira enam orang pada satu-satu masa dan perlu dikongsi bagi jemaah lelaki dan wanita. Encik Nasrullah mendedahkan kepada pihak kami, beliau dan rakannya kini merancang untuk menawarkan ruang solat yang lebih besar dan berasingan untuk lelaki dan wanita.

“Kami berharap dengan adanya khidmat ini ia membantu mempermudah urusan masyarakat Islam untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat wajib. Ini selari dengan slogan kami iaitu ‘Connection Made Convenient’ (Solat Dipermudah),” kata Cik Nasrullah.

(Gambar-Gambar: Prayer Pod SG/Facebook)

Yang pasti, ini adalah satu idea perniagaan atau usaha niaga yang boleh dianggap baru di negara ini dan sangat berpotensi berkembang. Bayangkan, begitu ramai perkahwinan bawah blok berlangsung setiap tahun. Tahun lalu, lebih 6,000 perkahwinan Melayu/Islam berlangsung.

Ini belum termasuk kegiatan-kegiatan berkelah atau majlis-majlis melibatkan badan-badan Melayu/Islam di sana sini.

Bayangkan, pada masa depan, kad-kad jemputan kahwin mungkin diselitkan sebaris ayat yang berbunyi: “Prayer Pod disediakan." 

LAPORAN LAIN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan