15% rakyat M'sia hidap penyakit ginjal kronik
Kajian menunjukkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
KUALA LUMPUR: Kajian menunjukkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata perkara yang paling membimbangkan adalah kebanyakan daripada pesakit terbabit tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit itu.
"Ini disebabkan pesakit-pesakit ini tidak mempunyai sebarang gejala di peringkat awal dan apabila seseorang pesakit itu bergejala, sering kali mereka telahpun berada pada tahap yang lebih serius," katanya ketika berucap merasmikan laman sesawang www.mybuahpinggang.com secara dalam talian hari ini (27 Dis).
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kajian berkenaan seperti tempoh mahupun pihak yang telah menjalankan kajian itu.
Menurut Dr Noor Hisham, dengan adanya laman sesawang serta Facebook MYbuahpinggang, adalah diharapkan agar tahap kesedaran masyarakat akan bertambah baik dan seterusnya dapat mengurangkan insiden penyakit kegagalan fungsi buah pinggang di negara tersebut pada masa akan datang.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengucapkan tahniah kepada semua pakar perubatan, doktor dan pesakit serta semua yang terlibat dalam menjayakan usaha bagi menyediakan laman sesawang itu.
"Saya amat mengalu-alukan usaha murni Persatuan Tweet Perubatan Malaysia untuk membangunkan sebuah laman sesawang khas mengenai kesihatan buah pinggang iaitu www.mybuahpinggang.com dengan kerjasama Perkhidmatan Nefrologi Kementerian Kesihatan, Persatuan Nefrologi Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Astra Zeneca.
Laman sesawang ini akan menjadi pusat sehenti untuk orang awam dan pesakit mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan buah pinggang. Saya juga difahamkan ia akan diperluaskan dalam jangka masa terdekat untuk merangkumi pelbagai aspek lain seperti pendidikan pesakit pradialisis dan juga pendidikan diabetes," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan kesihatan individu bukanlah tanggungjawab doktor, jururawat ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab bersama daripada masyarakat sendiri.
"Kita jaga kita, kita mesti menang bukan saja melawan COVID-19, tetapi menang melawan penyakit buah pinggang kronik ini," katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, walaupun kementerian itu kini sibuk melawan pandemik COVID-19, rawatan bagi pesakit lain seperti pesakit buah pinggang masih menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan dan ia diteruskan dengan sebaik mungkin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.