Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

120 karya seni ini boleh anda beli secara online demi bantu golongan memerlukan

Anda minat beli dan gantung lukisan di rumah? Ini peluang anda untuk membeli hasil karya bakat-bakat tempatan sambil beramal - bermula pada harga S$150! 

Anggaran Waktu Membaca:
120 karya seni ini boleh anda beli secara online demi bantu golongan memerlukan

Antara karya-karya yang boleh anda beli menerusi laman ini. (Gambar-gambar: ARTiculate @ North East)

SINGAPURA: Anda minat beli dan gantung lukisan di rumah? Ini peluang anda untuk membeli hasil karya bakat-bakat tempatan sambil beramal - bermula pada harga S$150!

Ada satu pameran seni online dinamakan 'ARTiculate @ North East 2020'. Anda boleh 'membelek-belek' lebih 120 karya seni mereka, selain membuat pembelian secara online.

Menariknya, artis-artis ini terdiri daripada golongan kurang upaya atau mereka yang sedang menghadapi cabaran besar dalam hidup. Jadi jika anda membeli lukisan mereka, anda sebenarnya sedang meniup semangat kepada mereka, selain membantu mereka menjana pendapatan.

(Gambar-gambar: ARTiculate @ North East)

'ARTiculate @ North East 2020' dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Masyarakat Timur Laut (NECDC). Ia merupakan satu platform bagi para penerima bantuan Agensi-Agensi Khidmat Sosial (SSA), badan-badan tidak meraih untung dan keusahawanan sosial.

Inisiatif ini baru sahaja dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada 20 Nov dan menerusi wadah itulah, anda boleh mencuci mata melihat sentuhan kreatif bakat-bakat unik ini atau lebih baik lagi, membeli lukisan mereka sehingga 20 Dis.

Gambar: ARTiculate @ North East

Ini kali kedua usaha sebegini dijalankan di Singapura. Ia diadakan secara fizikal tahun lalu.

SEPERTI APA LUKISAN TERSEDIA?

Lukisan paling mahal yang ada di 'ARTiculate @ North East 2020' berharga S$980. Ia menampilkan tempat-tempat ikonik Singapura, seperti Chinatown dan Arab Street.

Ada juga lukisan yang cukup ringkas tetapi penuh bermakna. Misalnya hasil karya Encik Mahadi Mafot dari Kelab Heal - badan amal yang menyediakan sokongan kepada golongan bermasalah penyakit mental. Dengan hanya menggunakan pena, lukisannya ini menggambarkan ketenangan hati yang hakiki dan masa depan yang lebih cerah.

Gambar: ARTiculate @ North East

Seorang lagi bakat yang menyumbang kepada koleksi ini ialah Encik Mohd Azrine Ashari dari Bizlink. Lukisannya yang memaparkan sebuah masjid merakamkan kesyahduan Hari Raya pada tahun ini.

"Hari Raya tahun ini diraikan bersama keluarga sahaja. Namun, dengan adanya teknologi, kita masih dapat berhubungan dengan saudara mara kita. Tempoh ini mengajar saya pentingnya berdaya bingkas dan menjadi kreatif. Jika kita sayang keluarga, kita pasti dapat cari cara untuk menjaga hubungan ini," tulis Encik Azrine yang menerangkan makna di sebalik karya seni beliau.

Gambar: ARTiculate @ North East

BERI PELUANG KEPADA ARTIS-ARTIS CARI PENDAPATAN

Dengan inisiatif sebegini, pihak penganjur berharap pameran bakat ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran-cabaran yang dialami oleh golongan memerlukan di Singapura.

100 peratus hasil penjualan akan diberikan kepada bakat-bakat yang mengambil bahagian dan penerima bantuan. Maka itu, mereka juga berharap ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Gambar: ARTiculate @ North East

Apa yang anda tunggukan lagi? Ayuh tunjukkan sokongan anda menerusi laman ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan