Images
  • daging 1
    (Gambar: Aizam Omar)

12 petua menarik menyimpan/memasak daging korban agar tidak liat

BERITAmediacorp: Rasa daging korban selalu manis dan enak bila dimasak dengan betul. Tidak kira sama ada masak lauk kari, rendang, sup, stik dan sebagainya. Ternyata dagingnya lebih segar jika dibandingkan dengan yang dibeli beku dari pasar atau pasaraya.

Tapi, jika cara menyimpannya tidak tepat ia juga boleh cepat rosak. Dan, jika dagingnya tidak dimasak dengan betul, ia juga akan lambat empuk dan liat bila dimakan membuat sajian anda seperti tidak menjadi.

Demi memastikan daging korban anda dapat bertahan lebih lama dalam peti ais dan lembut bila dimasak, berikut terdapat tip-tip yang boleh dicuba. Yang pasti, isi dagingnya lembut, mudah disiat dan dikunyah untuk dinikmati oleh seisi keluarga melalui sajian lauk-pauk yang membuka selera!


4 CARA MENYIMPAN DAGING KORBAN:

Usah cuci daging sebelum disimpan

Jika anda terus mencucinya sebelum simpan di dalam peti ais, ia akan menjejas mutu daging yang masih segar. Sebaliknya, bila hendak masak daging barulah mencucinya.

Usah terus simpan daging ke dalam ruang beku

Sebelum meletakkan daging dalam freezer, biarkan daging terlebih dahulu di ruang peti ais biasa anggaran 3-5 jam. Apabila daging sudah sejuk, baru alihkan ke dalam ruang beku.

Potong daging sebelum simpan

Elakkan daripada menyimpan ketulan daging yang terlalu besar di dalam peti sejuk. Sebaik-baiknya potong daging saiz berukuran lebih kecil. Kemudian masukkan daging ke dalam beberapa plastik atau beg seperti Ziploc.

Lebih memudahkan, jika hendak masak barulah ambil satu plastik dan biarkan yang lain beku di dalam peti sejuk di ruang freezer. Menurut beberapa kajian, daging yang disimpan betul dalam keadaan beku boleh bertahan sehingga berbulan-bulan dan ada kalanya lebih setahun.

Elak cairkan daging beku dengan air panas

Bila hendak masak daging beku, jangan lembutkannya atau cairkan aisnya dengan menggunakan air panas. Sebaik-baiknya, letakkan daging beku di bawah air suhu biasa atau air paip. Pastikan daging masih dalam bungkusan Ziploc dan plastiknya tidak terbuka atau terdedah. Setelah daging menjadi lebih lembut, buka plastik, cuci daging sehingga bersih dan toskan. Siap untuk dimasak.

8 PETUA DAGING JADI EMPUK & LEMBUT BILA DIMASAK

1. Tempe dikatakan dapat melembutkan daging. Potong kepingan tempe dan masukan dalam masakan seperti gulai daging dan biarkan hingga mendidih.

2. Perap daging dengan sedikit cuka, biarkan 10-15minit. Kemudian bilas dan toskan dan masak seperti biasa. Pastikan api tidak terlalu besar agar daging akan lebih cepat empuk dan tidak keras.

3. Batang ubi kayu juga dipercayai dapat melembutkan daging. Kerat beberapa batang ubi kayu, cuci dan bersihkan sebelum masukkan ia ke dalam periuk berisi daging ketika sedang mendidih. Biarkan 10 minit, angkat dan asingkan daging dan batang ubi.


(Gambar-gambar ihsan: Aizam Omar)

4. Pupuk daging bersama tepung gandum atau tepung jagung bersama dan perapkan dengan kicap selama ½ jam sebelum dimasak.

5. Hirisankan daun pisang dan masak bersama daging. Ia dipercayai dapat melembutkan tekstur daging.

6. Masukkan beberapa helai daun nangka atau daun betik ke dalam masakan atau air rebusan daging. Ia dipercayai dapat melembutkan daging.


7. Jika tidak mempunyai tangkai daun betik, anda juga boleh gantikan dengan betik muda. Sebelum itu, buang kulit dan biji betik. Cuci bersih dan masukkan ke dalam periuk rebusan daging.

8. Ini satu lagi ‘petua’. Bila rebus atau masak daging, masukkan sebatang sudu kecil ke dalam periuk. Sudu dipercayai dapat menyerap kepanasan dan membantu dalam proses untuk lembutkan daging.


Nampaknya memang mudah bukan cara untuk mendapatkan daging korban yang lebih empuk bila dimasak? Jika anda sudah mempunyai rancangan untuk masak daging korban nanti, cubalah salah satu daripada tip-tip berikut! Belum cuba, belum tahu!  

- BERITAmediacorp/tq

Top