Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

10 petua untuk pastikan biskut anda tidak lemau dan boleh tahan lama

Hari Raya Aidilfitri diraikan selama sebulan dan selalunya kuih muih disusun cantik di dalam balang dan diletakkan di atas meja. Tapi jika selama berhari-hari diletak begitu saja memang tak mustahil kuih muih akan menjadi lemau

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hari Raya Aidilfitri diraikan selama sebulan dan selalunya kuih muih disusun cantik di dalam balang dan diletakkan di atas meja.

Tapi jika selama berhari-hari diletak begitu saja memang tak mustahil kuih muih akan menjadi lemau. Banyak lagi punca sebenarnya yang boleh membuatkan biskut Raya anda berubah menjadi tidak sedap.

Di sini kami bawakan 10 petua berguna lagi ringkas yang boleh anda gunakan untuk mengatasi masalah ini:

10 PETUA BISKUT RAYA KEKAL RANGUP

1. Garam

Cuba tip ini. Garam dikatakan dapat membuat biskut kekal rangup. Caranya, ambil uncang kecil dan isikan dua sudu kecil garam, ikat dan masukkan ke dalam botol berisi biskut. Kehadiran garam akan membantu untuk menyerap kelembapan yang ada di dalam botol.

2. Tabur gula

Untuk elakkan biskut menjadi cepat hapak atau tengik, taburkan sedikit gula ke dalam bekas atau botol yang diisi biskut.

3. Balang kuih bersih dan kering

Sebelum meletakkan kuih di dalam balang, penting untuk memastikan bekasnya sudah terlebih dahulu dilap bersih dan benar-benar kering tanpa kesan air. Ini dapat mengelakkan biskut dari cepat rosak apabila ia berada dalam keadaan lembap.

4. Kertas minyak

Jika buat atau beli biskut yang berminyak seperti kuih tat, pastikan untuk menyimpannya di dalam botol yang dialas dengan lapisan kertas minyak. Dan, ini harus dilakukan untuk setiap lapisan kerana ia dapat membantu menyerap lebihan minyak selain memastikan biskut akan sentiasa kering.

5. Botol kedap udara

Jangan ambil lewa tentang bekas untuk menyimpan biskut. Untuk menjamin biskut dapat bertahan lama, penting untuk menyimpannya di dalam bekas atau botol kedap udara dan elakkan dari kerap membukanya. Udara yang masuk akan membuat biskut mudah menjadi lemau.

(Gambar hiasan)

6. Usah campur biskut

Asingkan biskut di dalam bekas yang berlainan. Elak daripada mencampur-campur biskut yang lain di dalam bekas yang sama. Ia akan mempercepatkan biskut menjadi lemau kerana cara membuat setiap biskut berbeza termasuk bahan-bahan yang digunakan.

7. Bakar semula biskut

Untuk kembalikan rasa rangup biskut yang lemau. Cuba bakar semula biskut dengan menggunakan suhu 180 darjah selsius lebih kurang lima minit. Jangan biarkan terlalu lama dalam ketuhar, biskut boleh hangus!

8. Jemur tepung dan gula

Jika anda masih mahu membuat biskut baru dan segar semasa musim Hari Raya ini, ini petua orang lama dulu-dulu. Kalau mahu menghasilkan biskut yang sedap dan rangup, pastikan untuk menjemur tepung dan gula terlebih dahulu. Hasilnya biskut lebih ringan. Jika susah mahu menjemur tepung, ia boleh disangai dalam kuali sebelum menggunakannya.

9. Panggang kacang

Jika anda memilih membuat biskut yang mengandungi bahan kekacang, anda digalakkan untuk memanggang kacang terlebih dahulu sebelum dicampurkan ke dalam adunan biskut. Antara punca yang membuat biskut cepat tengik dan lemau adalah kacang yang tidak dipanggang. Satu lagi tip ialah, usah goreng kacang kerana ia akan membuat biskut berminyak.

10. Sejukkan biskut

Jangan terus masukkan biskut yang baru dikeluarkan dari ketuhar ke dalam botol. Wap panas akan berkumpul dalam bekas dan akan membuat biskut menjadi lembap dan hilang rasa rangup. Anda digalakkan untuk sejukkan biskut dengan sepenuhnya di atas cooling rack sebelum dimasukkan ke dalam botol kuih.

Bagaimana? Ada di antara petua-petua itu yang boleh anda amalkan semasa Hari Raya ini? Yang pasti semua petua itu boleh anda gunakan setiap masa! 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan