Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

1 daripada 3 lukisan tembok Kampong Gelam akan dikekalkan

Satu daripada tiga lukisan tembok atau mural di Kampong Gelam, akan terus dikekalkan untuk tatapan orang ramai. Lukisan tembok yang menceritakan kisah Wak Cantuk pula akan dilupuskan pada Jun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu daripada tiga lukisan tembok atau mural di Kampong Gelam, akan terus dikekalkan untuk tatapan orang ramai.

Lukisan tembok yang menceritakan kisah Wak Cantuk pula akan dilupuskan pada Jun depan.

Namun demikian, pelukisnya, Zul Othman melahirkan rasa puas hati bahawa karyanya itu berjaya mencetuskan kesedaran tentang satu cerita rakyat yang kurang diketahui umum.

"INI KAN CERITA RAKYAT, JADI BIAR MEREKA YANG BINCANG"

Jika anda ke kawasan Kampong Gelam, anda mungkin terpandang akan lukisan-lukisan menarik di beberapa tembok bangunan.

Salah satunya adalah mural 'Hikayat Masa Silam: Wak Cantuk' sepanjang 32 meter ini yang dihasilkan seniman Zul atau nama penanya, Zero.

Lukisan ini mengungkap tragedi yang berlaku pada abad ke-19, apabila lelaki bernama Wak Cantuk mengamuk dan membunuh ramai orang setelah cintanya tidak berbalas. Kejadian sebenar itu berlaku di kawasan Kampong Gelam.

Sebilangan anggota masyarakat bagaimanapun melahirkan rasa kurang senang kerana kisah negatif dipaparkan di kawasan tersebut. Menurut mereka, ada banyak kisah-kisah positif, jadi sejarah hitam seperti itu tidak harus ditonjolkan di tapak Melayu bersejarah itu.

Zul bagaimanapun berpendapat sebaliknya.

"Semua cerita-cerita Melayu sebenarnya ada unsur-unsur tragedi untuk diambil sebagai pelajaran. Pada saya, tidak semestinya cerita yang diambil harus baik-baik saja.

"Saya anggap ok (untuk) jadi bincangan masyarakat. Ini kan cerita rakyat, jadi biar mereka yang bincang," jelas Zul yang meskipun mendapat respons negatif, berasa gembira kerana dek perbincangan awam, orang kini tahu tentang Wak Cantuk.

Seorang kurator bebas, Encik Syed Muhammad Hafiz Syed Nasir juga menyuarakan sokongannya terhadap inisiatif seni ini.

"Saya fikir projek mural seperti ini patut dibikin lagi atau dipromosi lagi. Secara tak sengaja juga menarik perhatian anak-anak muda yang mungkin tidak begitu minat kepada sejarah umpamanya." kata Encik Syed Muhammad Hafiz, seorang kurator bebas.

SEJARAH 'INTAN BERLIAN' KAMPONG GELAM DIKEKALKAN

Walaupun satu daripada tiga lukisan tembok yang dibuat sempena Pesta Warisan Singapura itu sudahpun lupus, lukisan bernama 'Bejeweled - An Homage to Kampong Intan', yang menceritakan sejarah Kampong Gelam sebagai pusat intan berlian, dapat dikekalkan.

Lukisan itu dibuat di tembok sebuah kedai di 12 Baghdad Street.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami amat bersenang hati sekali kerana pemilik kedai itu telah memutuskan untuk mengekalkan mural tersebut supaya pelawat ke Kampong Gelam dapat terus menikmati karya tersebut dan juga makna di belakangnya," menurut Encik Jamal Mohamad, Pengurus Program dari Taman Warisan Melayu.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, orang ramai juga boleh nantikan program Rumah Terbuka Hari Raya Taman Warisan Melayu pada 21 hingga 23 Jun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan