Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Faktor 'Impossible' yang memungkinkan perubahan iklim ditangani

Satu revolusi baru muncul kebelakangan ini dengan kehadiran daging berasaskan tanaman. Usaha ini dapat memulihara ekosistem alam semula jadi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu revolusi baru muncul kebelakangan ini dengan kehadiran daging berasaskan tanaman. Usaha ini dapat memulihara ekosistem alam semula jadi.

Sebaliknya, permintaan yang tinggi daging lembu menjana kerancakan penternakan lembu. Akibatnya, ini turut 'merancakkan' pencemaran bumi. Ini kerana gas yang keluar dari perut lembu didapati mengandungi banyak gas metana yang boleh menjejas alam sekitar.

Tahukah anda, pengeluaran daging lembu menyumbang kepada 14.5 peratus, daripada gas rumah hijau di seluruh dunia, menurut pertubuhan makanan dan ternakan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam bahagian pertama siri laporan Gaya Hidup - Cinta Bumi ini BERITAmediacorp meneroka peranan yang boleh kita mainkan untuk membantu mengurangkan jejak karbon dengan mengubah tabiat pemakanan kita.

ALTERNATIF DIPANGGIL 'IMPOSSIBLE FOODS'

Pelopor makanan berasaskan tumbuhan Impossible Foods menggunakan soya bagi menggantikan daging sebenar dengan memberikan rasa unik dan tekstur seakan daging biasa.

Antara restoran yang menggunakannya termasuklah Restoran FatPapas milik personaliti tempatan Sheikh Haikel. Ia sebenarnya antara restoran pertama di Asia yang merebut peluang menawarkan daging Impossible Foods ke dalam menu hidangannya pada 2019.

Antara sebab utama beliau menawarkannya adalah agar ada pilihan untuk semua individu - termasuk mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat atau tidak makan daging.

'Menu Impossible' di FatPapas menampilkan 'Impossible Cheese Burger', 'Impossible Cottage Pie' dan 'Impossible Meatball Spaghetti' (semuanya berharga S$18) serta 'Impossible Chili Queso and Chips' (S$15.50).

Setelah hampir dua tahun menawarkan pilihan daging alternatif ini beliau percaya permintaan bagi daging daripada tanaman bukan sekadar satu trend, tetapi pilihan yang tidak lagi janggal bagi pelanggan.

"Pada pendapat saya, ia (Impossible Meat) pastinya akan berkekalan buat jangka masa yang lama. Ini kerana, ia sudah pun juga dijual di pasar-pasar raya. Oleh itu, ia akan menjadi pilihan yang lain bagi semua orang," menurut Sheikh Haikel kepada BERITAmediacorp.

Malah, ini terbukti dengan jumlah restoran menawarkan daging sedemikian tumbuh bak cendawan, termasuk rangkaian restoran makanan segera.

Pandangan beliau itu dikongsi aktivis gaya hidup vegan Muhammad Ryza Rahman.

"Bukan semua orang yang suka atau terbuka kepada idea memakan nasi, tahu dan sayur-sayuran, dan jika daging berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti Impossible Meat.

"Beyond Meat membantu mereka terus mengamalkan diet berasaskan tanaman, saya menyokongnya 100 peratus," kongsi Encik Ryza, yang merupakan duta bagi Kempen Veganuary 2021.

Sebagai seseorang yang mengamalkan gaya hidup vegan sejak tujuh tahun lalu, beliau dan pasangannya, Cik Cherish Yeo kerap berkongsi pelbagai resipi di media sosial.

Harapannya hanya satu - menggalak lebih ramai orang untuk bersikap lebih terbuka untuk mengamalkan diet berasaskan tanaman, sekali gus mengurangkan makan daging.

PRIHATIN TERHADAP ALAM SEKITAR, HAIWAN

Beliau berkongsi bahawa perkara yang mendorongnya mengamalkan gaya hidup vegan ini sehingga kini adalah hanya menginginkan kehidupan yang lebih aman dan penuh dengan belas kasihan.

"Dalam ajaran Islam pun, ia menitik beratkan tentang nilai-nilai melindungi dan memelihara alam sekitar.

"Islam juga mengajar kita tentang pentingnya mengekalkan keseimbangan ekologi dan ekosistem alam," luah Encik Ryza.

MANFAAT DARIPADA DIET TANAMAN

Menurut kajian terkini oleh Our World In Data, makanan berasaskan haiwan lazimnya memiliki jejak karbon yang lebih tinggi berbanding makanan berasaskan tanaman.

Makanan halal di Singapura. (Gambar fail)

Sebagai contoh, satu kilogram daging mengeluarkan 60 kilogram gas rumah hijau, manakala kacang pis hanya mengeluarkan 1 kilogram gas rumah hijau bagi setiap kilogram.

Menurut Encik Ryza lagi, jumlah sumber seperti tanah dan air yang diperlukan untuk menghasilkan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan, kurang berbanding produk haiwan.

Mujur, trend daging yang dihasilkan daripada tanaman dijangka terus meningkat, dengan penjualannya kini lebih meluas dan sokongan pemerintah di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030 untuk menjadi negara yang lebih mesra alam dan mampan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan