Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Epok-Epok 'mummy' Pusat Bandar Woodlands ikut resipi turun-temurun di Canberra

Seperti sedia maklum, rakyat Singapura memang gemar mencari makanan yang sedap lagi berbaloi. Bahkan, mereka sanggup pergi jauh untuk menjamu selera terutamanya yang mengingatkan mereka semasa waktu kecil atau di kampung dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seperti sedia maklum, rakyat Singapura memang gemar mencari makanan yang sedap lagi berbaloi. Bahkan, mereka sanggup pergi jauh untuk menjamu selera terutamanya yang mengingatkan mereka semasa waktu kecil atau di kampung dahulu.

Baru-baru ini, #BERITAJelajah mencari salah seorang pegerai di bekas Pusat Bandar Woodlands.

Pegerai di Pusat tersebut terpisah selepas ia dirobohkan pada 2017 selepas 37 tahun beroperasi. Ada yang memilih untuk terus berhenti berjualan manakala banyak yang berpindah ke pusat-pusat makanan yang lain.

Kami menerima banyak maklum balas di Facebook dan Instagram @BERITAmediacorp, menceritakan tentang epok-epok yang dijual di sebuah kedai kopi popular di sana.

Ada yang kata epok-epok itu "power", "sedap" bahkan yang "terbaik pernah dirasa". Adakah ia pujian kosong semata-mata?

RESEPI TURUN-TEMURUN

Mulanya di Kampong Quarry pada tahun-tahun 80-an. Kemudian ke Yishun sekitar tahun 90-an, berpindah pula ke Pusat Bandar Woodlands pada 2005 dan sejak 2018, bertapak di 105 Canberra Street pula.

Cik Jamaliah Bahari, 72 tahun sudah lama berniaga makanan, mengikut arwah ibunya sejak kecil lagi.

Pelbagai hidangan dijual tetapi epok-epoknya yang paling laris sehingga diberi gelaran epok-epok 'mummy'.

Cik Jamaliah Bahari kekalkan resepi epok-epok daripada arwah emaknya sepanjang 30 tahun lalu.

Keistimewaan epok-epoknya terletak pada resepi yang diwarisi secara turun temurun sejak 30 tahun lalu.

Menariknya, epok-epok 'mummy' benar-benar menjadi laris apabila saiznya dibesarkan sewaktu Cik Jamaliah dan keluarganya berniaga di Pusat Bandar Woodlands.

"Sebelum itu, epok-epok kecil. 40 sen sebiji tapi pun tak berapa laris. Lepas itu baru kita besarkannya jadi 80 sen. Bila kita buat besar, 80 sen, orang tak beli.

"Selepas 'Towkay' kedai kopi naikkan sewa, kita terpaksa naikkan harga. Apabila harga epok-epok kita naikkan, kita tengok makin ramai yang beli," dedah anak Cik Jamaliah, Encik Rahmat Kamis, 46 tahun.

Hari ini, anak sulung itu masih mengekalkan resepi keluarganya dan menjual epok-epok sardin dan kentang di gerai Khalsom Street Food pada harga S$1.30 setiap keping.

PELANGGAN CARI SELEPAS BERPINDAH

"Saya kenal epok-epok 'mummy' sejak dari Pusat Bandar Woodlands. Setiap kali saya datang, saya akan membeli sekurang-kurangnya lima keping!" kata Shahrul, salah seorang pelanggan yang ditemui BERITAmediacorp.

"Selepas mencuba, macam terus tersangkut. Hari-hari kita datang. Rasanya terlekat kepada cita rasa kami," kongsi pasangan suami isteri, Zamry dan Siti pula.

Seperti mereka, kebanyakan pelanggan epok-epok 'mummy' adalah pelanggan setia sejak di Pusat Bandar Woodlands.

"Suasana di sana lain. Sana lagi baik. Kenangan banyak di sana. Naik turun pun di sana," kongsi Encik Rahmat.

Anak-beranak - Rahmat Kamis, Kamaliah Kamis dan Jamaliah Bahari mengongsi kenangan berniaga di Pusat Bandar Woodlands.

Antaranya, beliau masih teringat artis-artis seperti Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim yang pernah turun ke gerai mereka untuk membeli epok-epok 'mummy'.

Ada juga yang memesan dari seberang tambak untuk menyediakan epok-epok beku agar boleh digoreng kemudian.

Kisah beliau sekeluarga berserta sejarah epok-epok 'mummy' dan kenangan-kenangan sewaktu di Pusat Bandar Woodlands dikongsi dalam #BERITAJelajah.

Saksikannya di Facebook dan Instagram @BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan