Images
  • ziana penceraian
    (Gambar: BERNAMA)

Ziana Zain, suami bercerai

SHAH ALAM: Kemelut kes perceraian penyanyi terkenal, Ziana Zain dengan suaminya Armin Zaharin Ahmad Zambri, akhirnya selesai hari ini (12 Jul) apabila pasangan itu sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam.

Lafaz talak tersebut dilafazkan oleh Armin Zaharin, 53, pada 2.48 petang di hadapan Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar.

Hakim Mohd Nizar berkata talak tersebut adalah menerusi talak rajie'. Ini bermakna Ziana perlu menjalani tempoh idah selama tiga bulan.

Perceraian mereka dikemukakan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain yang hadir ke mahkamah dengan jubah serba hitam kelihatan menangis teresak-esak selepas bekas pramugara itu melafazkan cerai ke atasnya. 

Armin Zaharin yang tidak diwakili peguam dengan memakai baju kemeja putih dan berseluar hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding itu. Turut hadir ialah adik Ziana yang juga penyanyi terkenal Anuar Zain.

Selepas prosiding selesai, Armin Zaharin bergegas keluar dari bilik mahkamah dan media juga gagal mendapatkan komen daripada lelaki itu.

Ziana ketika ditemui para wartawan sebelum meninggalkan kompleks mahkamah melahirkan rasa syukur kerana proses itu berakhir dengan lancar dan mudah.

"Alhamdulillah, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini. Saya bukan pendendam. Saya dah lama maafkan dia (bekas suami). Saya tak pandai nak simpan dendam. Saya juga berdoa supaya dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana," katanya tenang.

Pada 3 April lalu, Ziana yang popular dengan lagu Putus Terpaksa dan Berpisah Jua memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Difahamkan tuntutan perceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka.

Ziana mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

- Agensi berita/TQ/tq

Top