Images
  • zaibo 2
    Zaibo (paling kanan) dalam satu episod Under One Roof (Petikan video: Toggle)

Zaibo semakin sihat, harap peminat tak risau

BATU PAHAT: Pelakon dan pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid, 62 tahun, atau nama popularnya, Zaibo hari ini (8 Nov) menjelaskan dirinya kini sihat dan mengharapkan peminat supaya tidak perlu risau dengan keadaannya.

Zaibo, yang terkenal dengan sitkom Spanar Jaya sekitar 90-an dan kemudian siri Under One Roof di SIngapura, berkata beliau disahkan menghidap barah esofagus sejak September lepas dan memerlukan masa untuk berehat seketika kerana sedang menjalani rawatan.

Beliau yang turut berpeluang membintangi filem Anna and The King, Zaibo berkata beliau kini berada di kampung halaman isterinya, Siti Hawa Sawal, 52 tahun, di Rengit, Batu Pahat.

"Setelah ramai mengetahui keadaan saya, mereka (rakan artis dan wartawan) telah menghubungi saya bertanyakan keadaan semasa, dan saya memberitahu yang saya masih kuat, selain mengharapkan doa daripada kenalan.

"Cuma yang saya kesalkan ialah sebelum ini tular beberapa keping gambar saya yang terlantar sakit dan seolah-olah kelihatan tidak bermaya,” katanya yang ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Malik Faishal Ahmad, hari ini.

Menurutnya gambar yang tular itu diambil kira-kira sebulan lalu dan kini keadaannya semakin beransur pulih setelah menjalani beberapa kali sesi rawatan. Namun, buat masa ini beliau enggan gambarnya dirakam.

Sementara itu, Siti Hawa berkata beliau memahami keadaan Zaibo yang sememangnya mempunyai ramai kenalan dan peminat yang bimbang dengan keselamatan beliau.

Beliau melahirkan rasa bersyukur kerana tahap kesihatan suaminya semakin baik, tetapi doktor menasihati supaya banyak berehat dan tidak menerima tetamu dengan kerap.

"Abang (Zaibo) cuma terasa hati apabila gambarnya dalam keadaan uzur ditularkan semula semalam kerana dia tidak mahu orang ramai salah faham dan bimbang.

"Namun, sesiapa yang mahu melawat harap dapat maklumkan dahulu dan tidak datang mengejut kerana tidak mahu mereka pulang kecewa sekiranya dia sedang berehat,” katanya yang turut memaklumkan Zaibo ingin kembali aktif berlakon jika kesihatannya mengizinkan kelak.

- BERNAMA/TQ/tq

Top