Images
  • uqasha
    (Gambar: uqashasenrose2/ Instagram)

Uqasha kongsi kejadian pelik semasa penggambaran Hantu Kak Limah

KUALA LUMPUR: Tidak hanya cantik, pelakon Uqasha Senrose juga berazam untuk melangkah jauh dalam bidang lakonan. Tidak hanya menjadi bintang dalam drama-drama Melayu, gadis berusia 26 tahun ini kini akan membuat penampilan dalam siri filem yang berkisahkan Kampung Pisang.

Uqasha memberitahu Harian Metro bahawa ketika beliau tidak teragak-agak untuk menerima tawaran berlakon dalam filem itu semasa dihubungi penerbit melalui Instagram.

“Menurut penerbit, pihaknya sudah lebih dua bulan mencari saya untuk menawarkan projek filem ini.

“Saya juga menganggap tawaran berlakon dalam Hantu Kak Limah sebagai peluang keemasan dan platform untuk mengembangkan bakat lakonan ke filem selepas ini,” katanya.

PENGALAMAN SERAM SEMASA PENGGAMBARAN

Sebagai wajah baru ditampilkan dalam filem Hantu Kak Limah, Uqasha tidak dapat menafikan perasaan gementar bekerjasama buat pertama kali dengan Mamat.

“Saya melakonkan watak gadis cantik dan misteri dari alam bunian dalam cerita ini. Saya hanya bermain dengan karakter seperti dikehendaki pengarah dan skripnya,” katanya.

Ditanya Harian Metro tentang pengalaman yang sukar dilupakan pula, kata Uqasha, ia membabitkan lokasi di kawasan menyeramkan di Perak sebelum ini.

“Saya difahamkan lokasi penggambaran itu memang di perkampungan bunian dan saya tidak tahu pun ia kawasan berhantu.

“Saya tidak berasa ada kejadian pelik, tetapi kru yang beritahu saya nampak berbeza ketika penggambaran sebelum ini.

“Pada masa sama, saya juga memakai kostum gadis bunian dan rambut palsu untuk menjiwai watak terbabit,” katanya.

GEMENTAR DIGANDINGKAN DENGAN AWIE

Bukan saja Mamat, Uqasha turut gementar ketika melakonkan babak romantik dengan pelakon utama Awie dalam filem itu.

“Pada mulanya, saya berasa takut dan malu untuk berganding dengan Awie tetapi dia juga memberi aura positif dan buat saya selesa dengannya.

“Saya juga tidak tahu watak gadis bunian itu, tetapi Abang Mamat mahu saya nampak anggun. Saya sudah berusaha berikan yang terbaik dan sangat berharap peminat filem ini menerima kehadiran saya dalam filem ini,” tambah beliau.

Selain Awie dan Uqasha, Hantu Kak Limah mengekalkan Delimawati sebagai teraju utama, lapor Harian Metro.

Selain itu, turut berlakon adalah Allahyarham Rab Khalid, Erra Fazira, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Jue Aziz, Mus MAY, Pekin Ibrahim, Sharwani NS, Datuk Seri Vida dan TJ Isa.

- Agensi berita/AQ/aq

Top