Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

"Tumbiruo: Penunggu Rimba" tersenarai finalis Filem Asia Terbaik AACTA 2018

Filem “Tombiruo: Penunggu Rimba” yang diadaptasi dari novel karya Ramlee Awang Murshid, mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai finalis Filem Asia Terbaik bagi anugerah “The Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA)” 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
"Tumbiruo: Penunggu Rimba" tersenarai finalis Filem Asia Terbaik AACTA 2018

Petikan gambar dari filem “Tombiruo: Penunggu Rimba”. (Gambar: @zul.ariffin/Instagram)

Diterbitkan : 17 Oct 2018 08:39AM Dikemas Kini : 17 Oct 2018 08:44AM

KUALA LUMPUR: Filem “Tombiruo: Penunggu Rimba” yang diadaptasi dari novel karya Ramlee Awang Murshid, mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai finalis Filem Asia Terbaik bagi anugerah “The Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA)” 2018.

Menurut data pencapaian filem Malaysia peringkat antarabangsa Tahun 2018 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw akan bersaing dengan lapan filem hebat lain dari seluruh Asia iaitu 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Jepun) dan Youth (China).

Pemenang anugerah itu akan diumumkan di majlis kemuncak pada 5 Disember depan di Sydney.

Terdahulu, filem yang dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, M. Nasir, Marlia Musa, Faizal Hussein, terpilih sebagai “Official Selection” di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia di Pesta Filem Fantastik Antarabangsa Bucheon ke-22 22nd Bucheon (BiFan) yang berlangsung dari 12 hingga 22 Julai lalu di Bucheon, Korea Selatan.

Selain itu, data tersebut turut berkongsi kejayaan filem berunsur super-natural, “Interchange” yang mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih anugerah Kesan Khas Visual pada Festival Filem Asia Pasifik ke-58 (APFF58) di Taipei, Taiwan, pada September lalu.

FILEM-FILEM LAIN MELAYU YANG DIIKTIRAF

Filem arahan Dain Said itu turut dicalonkan dalam kategori Penataan Bunyi Terbaik dalam festival yang sama.

APFF58 turut menyaksikan penampilan tiga filem tempatan lain iaitu Adiwiraku, Hanyut dan Abang Long Fadil 2 bersaing, namun gagal meraih anugerah.

Turut disenarai ialah filem Óne Two Jaga' arahan Nam Ron terbitan Pixel Play Entertainment dan Jazzy Pictures yang menjadi filem pembukaan dan menjadi tumpuan penonton serta delegasi antarabangsa di festival filem berprestij, 20th Udine Far East Film Festival (FEFF), Itali yang berlangsung pada 20 April lalu.

Filem “Redha” yang mengangkat tema kanak-kanak autisme yang pernah mencipta kejayaan sebelum ini sekali lagi meraih anugerah “Cultural Exchange Prize for a Feature Film” pada 6th Seoul Guro International Kids Film Festival, Korea Selatan (Gukiff) Mei lalu.

'Redha' sebelum ini merangkul beberapa anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-29 dan meraih tiga anugerah pada Festival Filem Islam Antarabangsa Kazan yang berlangsung di Kazan, Rusia, pada 2016.

'DUKUN' BERENTAP DENGAN SAINGAN HEBAT 

Turut disenarai dalam data tersebut ialah filem kontroversi yang tertangguh tayangannya selama 12 tahun iaitu “Dukun” yang bersaing bagi kategori Anugerah Penonton pada Festival Filem New York ke-17 pada Julai lepas.

Sementara itu, filem cereka yang belum ditayangkan berjudul 'Guang' memenangi dua anugerah pada 13th Chinese Youth Generation Film Forum in Wuhan, China, pada 16 September lalu.

Filem tersebut menggondol anugerah 'Best New Director' melalui Quek Shio Chuan dan anugerah 'Best New Actor' melalui lakonan, Kyo Chen.

Filem mengenai remaja autisme itu turut dipilih untuk bertanding pada anugerah Festival Filem Antarabangsa Fukuoka 2018 dan akan ditayangkan di pawagam negara pada 29 November depan.

Sebuah filem kantonis Malaysia, A House of Happiness pula meraih anugerah Best Cantonese Film 6th Vancouver Chinese Film Festival di Kanada Julai lalu. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan