Images
  • elyana tulus
    Elyana bersama anak angkatnya, Tulus. (Gambar: Elyana/Instagram)

Tulus beri semangat Elyana lawan barah

KUALA LUMPUR: Meskipun bertarung melawan penyakit barah kelenjar sejak tujuh tahun lalu sehingga menyebabkan beliau terpaksa menggugurkan kandungan sebelum ini, penyanyi Elyana tetap berhasrat menimang seorang cahaya mata.

Hasratnya menjadi satu kenyataan apabila beliau baru-baru ini mengambil seorang anak angkat yang dikenali sebagai Tulus, lapor BH Online.

Bayi lelaki berusia sebulan 24 hari itu dilahirkan istimewa. Meskipun menghidap Sindrom Down, beliau dianggap mampu memberi semangat kepada penyanyi itu melawan barah.

"Umurnya genap sebulan 24 hari. Iya... ini adalah anak saya, cuma tidak melahirkannya.

"Terima kasih atas doa anda semua buat saya sekeluarga," luahnya menerusi video Insta Story yang dikongsi.

Kehadiran bayi lelaki berkenaan dilihat memberi sinar kepada Elyana yang baru selesai menjalani proses radioterapi.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayah, pada 2011.

Elyana, yang menjalani rawatan berjadual akibat barah kelenjar yang dihidapi sejak tujuh tahun lalu, dilaporkan sudah merebak ke tulang belakang, lapor BH Online.

Sebelum ini, Elyana yang popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu dilaporkan pernah hamil anak kedua, namun terpaksa digugurkan berikutan komplikasi penyakit barahnya.

Pada awal 2016, Elyana mengalami keguguran kerana mengandung di luar rahim. 

- Agensi berita/AI/ai

Top