Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tiada tekanan untuk Polis Evo 2 catat kutipan tertentu

Tiada tekanan buat Polis Evo 2 untuk mencatat kutipan tertentu. Itulah yang ditegaskan oleh Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Khairul Anwar Salleh, apabila diminta memberikan sasaran kutipan bagi filem itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada tekanan untuk Polis Evo 2 catat kutipan tertentu

Poster filem Polis Evo 2 (Gambar: Zizan Razak/Instagram)

Diterbitkan : 13 Oct 2018 05:58PM Dikemas Kini : 13 Oct 2018 06:13PM

PETALING JAYA: Tiada tekanan buat Polis Evo 2 untuk mencatat kutipan tertentu.

Itulah yang ditegaskan oleh Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Khairul Anwar Salleh, apabila diminta memberikan sasaran kutipan bagi filem yang dinanti-nantikan ramai itu.

Biarpun beberapa filem terbitan Astro Shaw setakat ini berjaya mencatat sejarah tersendiri bagi tahun 2018, namun apa yang lebih penting adalah kualiti serta merapatkan jurang antara filem luar dengan tempatan.

Astro Awani menukil Encik Khairul sebagai berkata: "Buat masa ini, filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia ialah Avengers: Infinity War yang mencatatkan kutipan RM68 juta (S$23 juta). Munafik dan Hantu Kak Limah berjaya merapatkan jurang kutipan antara filem tempatan dan luar negara, apabila masing-masing mencatat RM40 juta (S$13.3 juta) dan RM37 juta (S$12.3 juta).

"Saya melihat ini satu perkembangan yang sangat baik apabila filem tempatan sudah mampu memberi saingan kepada filem luar.

"Di sinilah cabaran utama Polis Evo 2, iaitu bagaimana mahu memastikan filem itu mempunyai kualiti yang baik dan setanding dengan filem luar, sekaligus mencatatkan kutipan yang baik juga."

Menurut laporan Astro Awani, Encik Khairul berkata menghasilkan filem yang sudah mempunyai jenama yang besar adalah lebih sukar kerana jangkaan yang tinggi daripada penonton.

"Kami harap yang datang menonton nanti bukan sekadar penonton yang menonton Polis Evo pertama dahulu, tetapi juga penonton-penonton baru. Jika kita dapat capai sasaran itu, ia dikira satu kejayaan yang besar," tambahnya.

Bakal ditayangkan di Indonesia Disember ini, Encik Khairul melihat kerjasama dengan syarikat penerbitan Indonesia, Surya Citra Media (SCM), memberi peluang untuk Polis Evo 2 menjengah pasaran nusantara.

Astro Awani turut menukil beliau sebagai berkata: "Kerjasama itu bagaimanapun bukanlah tiket yang memberi laluan mudah kerana apabila mahu memasarkan filem ke luar, kita perlu memastikan filem kita ada sesuatu yang istimewa untuk dipersembahkan.

"Polis Evo 2 sememangnya direka agar dapat memenuhi citarasa penonton di Malaysia dan Indonesia. Dan membentuk jalan cerita yang sedemikian bukanlah satu perkara yang mudah."

Selain mengekalkan teraju utamanya, Shaheizy Sam dan Zizan Razak, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu juga menampilkan barisan bintang terkemuka Malaysia dan Indonesia, antaranya Raline Shah, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Erra Fazira dan Hairul Azreen.

Polis Evo 2 akan mula ditayangkan di seluruh Malaysia, mulai 22 November. 

Sumber : Agensi berita/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan