Images
  • aac2
    Fedi Nuril, pelakon utama Ayat Ayat Cinta 2.

Tayangan perdana Ayat Ayat Cinta 2 di Hab Tampines Kita

SINGAPURA: Demam Ayat-Ayat Cinta kembali melanda rantau ini dengan penghasilan filem susulannya hampir 10 tahun kemudian.

Ayat-Ayat Cinta 2 ditayangkan di Indonesia pada 21 Disember tahun lalu.

Tayangan perdana bagi filem ini akan diadakan di Hab Tampines Kita esok.

Selepas hampir sedekad sejak filem pertama Ayat-Ayat Cinta, kini Habiburrahman El Shirazy, kembali dengan sekuelnya.

Kisah cinta agung antara dua insan, karya penulis prolifik itu, dipaparkan sekali lagi dalam penerbitan filem termahal Indonesia.

Bagaimanapun, magis filem tersebut tidak terletak hanya pada kos penerbitannya yang tinggi.

Penulis Habiburrahman El Shirazy berkata: "Ini bercerita tentang keragaman, bercerita tentang kepelbagaian budaya, bagaimana satu bangsa dengan bangsa yang lain saling menghormati. Kalau di Indonesia ada istilah ‘Bhinneka Tunggal Ika’, yang masih berbeza-beza tetapi tetap satu. Saya rasa hal yang sama juga yang itu, Singapura juga berbilang kaum, Malaysia pun begitu juga, Mesir pun berbilang kaum tetapi tetap disatukan oleh cinta."

Ayat-Ayat Cinta 2 menyusur kisah derita Fahri, yang kehilangan isterinya, Aisha, semasa beliau di Palestin bagi merakam perkembangan di sana.

Fedi Nuril kembali mendukung watak Fahri dan beliau mengongsi pemangkin yang mendorong beliau untuk menyahut watak yang lebih mencabar dalam filem susulan ini.

"Pertama saya suka ceritanya, sebelum shooting saya baca novelnya, saya suka sangat ceritanya dan saya ini, bisa dibilang, penggemar Fahri juga.

"Saya anggap dia guru, dan saya belajar banyak ilmu dan pengalaman darinya. Sewaktu membuat Ayat Ayat Cinta 2, saya tidak sabar akan dapat ilmu apa lagi di sini," kongsi Fedi Nuril.

Sekuel tersebut turut menampilkan muka baru seperti pelakon jelita Malaysia Fazura dan pelakon Indonesia yang semakin mendapat perhatian, Chelsea Islan.

Chelsea Islan, yang memegang watak Keira, berkata: Kalau untuk saya sendiri, filem ini sebenarnya daya tarikannya luar biasa sekali, kerana pertama, filem ini mengajarkan toleransi.

"Toleransi untuk satu sama lain, indahnya keragaman dan juga tidak hanya toleransi seseorang, maksudnya antara suku, budaya, agama, ras begitu."

Barisan pelakon Ayat-Ayat Cinta 2 ini juga akan membuat penampilan sempena tayangan perdananya di Hab Tampines Kita esok. 

- BERITAMediacorp/im

Top