Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Taufik Batisah kini jadi tauke restoran ayam goreng - Chix Hot Chicken!

Dari angan-angan, ia menjadi kenyataan. Taufik Batisah akhirnya berjaya merealisasikan impiannya dengan pembukaan restoran Chix Hot Chicken.

Anggaran Waktu Membaca:
Taufik Batisah kini jadi tauke restoran ayam goreng - Chix Hot Chicken!

Taufik Batisah bersama rakan niaganya, Ismail Rawi Bober. (Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Diterbitkan : 09 Jun 2018 11:39PM Dikemas Kini : 09 Jun 2018 11:55PM

BERITAMediacorp: Dari angan-angan, ia menjadi kenyataan. Itulah yang dicapai oleh penyanyi popular Taufik Batisah apabila beliau akhirnya berjaya merealisasikan impiannya dengan pembukaan restoran beliau yang bernama Chix Hot Chicken. Tempat makan itu bertempat di no 1, Jalan Pisang, Singapura baru-baru ini.

Kami di BERITAMediacorp diberitahu, Taufik sebenarnya gemar memakan ayam goreng sejak beliau menjadi artis sehingga ia menjadi pencetus untuk beliau membuka restoran tersebut bersama dengan rakan niaga bernama Ismail Rawi Bober. Ismail merupakan anak Melayu berasal dari Singapura yang mempunyai bapa yang berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat.

(Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Taufik yang juga seorang komposer berkongsi dengan kami baru-baru ini:

“Idea untuk masukkan Nashville hot chicken datang dari bapa Ismail dari Nashville, Texas Amerika. Bila Ismail melawat bapanya di Texas, dia mencuba Nashville hot chicken di sana. Dari situ Ismail dapat ilham dan dia bincang dengan saya bahawa ini adalah sesuatu yang sangat unik dan tiada di Singapura.”

Jika rakyat Singapura sudah biasa dengan ayam goreng ala Korea, Chix Hot Chicken sangat berbeza kerana Nashville hot chicken yang disajikan hanya menggunakan pepper kering, bukan sos cili seperti ayam goreng yang terdapat di restoran lain. Ketika dihubungi baru-baru ini, penyanyi yang pernah menerima Anugerah Sri Temasek 2013 itu menambah:

“Saya rasa memang dah sampai masanya saya buka restoran saya sendiri untuk saya makan (ketawa). Saya harus memperkembangkan sayap saya. Dari dulu bercita-cita membuka perniagaan saya sendiri, jadi ini memang perniagaan saya yang pertama dan saya rasa cukup kenalah. Saya yakin ayam saya ni pun akan digemari oleh ramai.”

(Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Restoran tersebut menyenaraikan ayam goreng Nashville hot chicken dan ayam goreng yang original (tidak pedas). Ayam goreng Nashville mempunyai 3 peringkat kepedasan iaitu mild hotness, extra hotness dan yang paling pedas, insane hotness.

Burger Soul Sliders pula adalah dua burger yang “rotinya kecil tapi ayamnya sangat besar”. Kesemua pepper yang digunakan di restoran milik Taufik adalah organik dan tiada bahan pengawet langsung.

Apakah artis dari Hype Records itu mempunyai pengalaman dalam perniagaan restoran makanan dan minuman sebelum ini?

“Terus-terang ini pengalaman pertama. Masih hijau lagi tapi rakan niaga saya pernah ada restoran sendiri jadi dia lebih arif dalam bidang ini. Sedikit sebanyak saya pelajari dari dia selok belok industri ini. Ini salah satu cara untuk saya pertingkatkan diri saya, pelajari sesuatu yang baru,” kata Taufik kepada BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Namun, beliau akur bahawa dirinya juga harus turun padang untuk mempelajari pelbagai aspek perniagaan termasuk proses menyiapkan ayam goreng istimewa restoran Chix Hot Chicken itu. Sebagai permulaan, restoran tersebut mempunyai dua chef yang cukup berpengalaman.

Taufik turut ditanya mengenai pemilihan lokasi restoran tersebut yang terletak di Jalan Pisang.

Kata beliau: “Untuk permulaan kami ingin pilih lokasi di pusat bandar supaya semua boleh datang. Alhamdulilah, kami dah tunggu 4 hingga 5 tahun untuk cari lokasi yang sesuai. Restoran kami dibuka dari Selasa sehingga Sabtu dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam pada bulan Ramadan ini.”

Meskipun baru 80 peratus beroperasi kini, beliau bersyukur restorannya mendapat sokongan padu dari pelanggan termasuk peminat-peminatnya di sini. Mungkin juga kelompok ini mendapat tahu tentang kewujudan restoran tersebut melalui teman-teman mereka.

Taufik tidak menafikan bahawa lokasi Jalan Pisang itu turut memberi persaingan disebabkan oleh kewujudan pelbagai restoran serta kafe halal yang terletak di situ.

“Saya rasa memang banyak tempat makan tapi di mana-mana pun kita harus terbuka pada persaingan yang sihat. Bagi kita yang penting kita harus berikan yang terbaik dari segi makanan kita, perkhidmatan kita, branding (jenama) kita di mana semuanya amat penting,” jelas beliau lagi.

(Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Apakah beliau rasakan populariti nama Taufik Batisah sendiri dapat membantu “menjual” nama restoran tersebut dikalangan peminat?

Harapan saya sedikit sebanyak penyokong-penyokong saya akan meyokong perniagaan saya tapi itu cuma langkah yang pertama. Saya rasa populariti seseorang itu tidak akan menjamin longevity (daya tahan). Longevity itu terletak pada kerja keras, perkhidmatan, produk dan branding”.

Sudah menjadi trend sekarang ini untuk golongan artis berniaga dan membuka restoran mahupun kafe mereka sendiri di Singapura, Kuala Lumpur dan Jakarta. Taufik bersikap realistik bahawa artis-artis sepertinya harus melebarkan sayap mereka sekiranya berkemampuan.

“Kalau sekiranya kita seorang pelakon dan kita berlakon saja tetapi kita tidak buat perancangan untuk benda lain, ianya sangat bahaya sebab kita sebagai seorang seniman kita tidak ada gaji bulanan, kita tidak ada CPF melainkan anda kerja sepenuh masa, jadi kita harus bekerja keras melebarkan sayap kita, harus bijak menggunakan masa kita, menggunakan segalanya yang kita diberi untuk memanjangkan lagi kerjaya kita, rezeki kita,” hujah beliau kepada BERITAMediacorp dengan bersungguh-sungguh.

Oleh itu, beliau tabik kepada artis-artis yang semakin rajin berniaga menjual pelbagai produk seperti pakaian dan kuih-muih di merata Singapura.

Anda silap sekiranya anda sangkakan beliau kurang aktif lagi berkarya mahupun berlakon. Taufik baru saja tamat menjalani penggambaran untuk drama bersiri Gunting dan Tanglin baru-baru ini.

(Gambar-gambar: Chix Hot Chicken)

Beliau juga menciptakan lagu terbaru rakan baiknya Rossa untuk lagu Bukan Maksudku yang masih rancak diperdengarkan di stesen setempat RIA 89.7 FM sehingga kini.

“Saya juga dalam proses nak keluarkan single terbaru saya lepas Raya. Memang saya ada rancangan untuk berkolaborasi dengan kawan-kawan baik di Singapura, Malaysia dan Indonesia tapi masih dalam perancangan,” ujar beliau.

Ketika ditanya tentang kepuasan membuka restoran halal Chix Hot Chicken, ini jawapannya kepada kami:

“Saya sangat bersyukur diberi rezeki dan peluang buka perniagaan saya yang pertama. Rasanya belum puas sebab belum dibuka secara rasmi. Chix Hot Chicken akan dibuka secara rasmi selepas Raya.”

Sempena Lebaran ini, menerusi BERITAMediacorp, Taufik mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada kesemua peminat-peminatnya yang menyokong kerja seninya selama ini dengan harapan agar mereka turut dapat menyokong perniagaan yang baru diceburinya itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan