Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tahanan reman ke atas Farid Kamil ditambah sehari lagi

Pelakon dan pengarah filem terkenal Farid Kamil disambung reman sehari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam, pada Khamis lalu (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Tahanan reman ke atas Farid Kamil ditambah sehari lagi

Farid Kamil disambung reman sehari lagi. (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube)

Diterbitkan : 15 Jan 2018 04:33PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 04:37PM

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem terkenal Farid Kamil disambung reman sehari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam, pada Khamis lalu (11 Jan).

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Hairul Azhar Mohd Ishak terhadap pelakon itu hari ini selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan remannya mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Farid, 37 tahun, yang berkemeja denim biru, seluar lokap ungu dan berkaki ayam diiiringi anggota polis ke bilik reman pada 11.30 pagi untuk prosiding reman dan dibawa keluar satu jam kemudian.

Ketika dibawa ke bilik reman, suami kepada pelakon Diana Danielle dan bapa kepada dua anak itu sempat melemparkan senyuman sambil melambaikan tangannya ke arah pihak media dan orang awam yang merakam gambarnya dan bersalaman dengan dua rakan artis iaitu pelakon, Azad Jazmin dan Azhan Rani yang turut hadir. Turut kelihatan adalah adik Farid, Fadzil Bahri Zahari.

Selepas prosiding reman selesai, Farid ketika dibawa menaiki kenderaan polis sempat menjawab pertanyaan media mengenai keadaan dan kesihatannya dan menjawab:  “Okay, syukur Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah semua berlangsung dengan aman, terima kasih semua.”

Pada Jumaat lalu, Farid yang diwakili Peguam Athari Bahardin ditahan reman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Dalam kejadian sekitar 1.20 tengah hari pada Khamis lalu (12 Jan), pelakon itu dilaporkan datang ke sebuah balai polis untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan didakwa menampar muka anggota polis lelaki yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam. 

Selain didakwa mencederakan polis berusia 24 tahun itu, Farid juga dipercayai berkelakuan ganas terhadap menendang dua orang awam di lokasi sama.

"KITA PUN NAK TAHU 'SIDE' FARID JUGA..."

Awal dari itu, rakan artis, Azad ketika ditemui Bernama, berkata beliau hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Farid.

“Saya datang sini memang nak tahu apa masalah kawan saya, saya kenal dia pun berbelas tahun, saya bermula buat episod Samarinda TV3 pun dengan Farid, jadi salah tetap salah kalau memang kesalahan dia... tapi di sebalik kesalahan ini, kita pun nak tahu ‘side’ Farid juga... sebagai kawan saya akan beri ‘support’lah,” katanya.

Azhan pula berkata kehadiran beliau diharap memberi semangat kepada Farid dan menunjukkan masih ramai rakan yang prihatin terhadap dirinya.

“Saya datang untuk beri sokongan kepada Farid yang sama-sama dalam industri, pernah mengenali beliau semasa dia belajar di UiTM dulu sebagai pelajar drama dan teater.  Memandangkan hari ini saya ada masa, jadi saya nak dia (Farid) tahu yang dia masih punya sokongan. Kami nak dia tahu masih ramai yang sayangkan dia,” katanya. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan