Images
  • hannah syafiq
    Syafiq Kyle dan Hannah Delisha. (Gambar: @ohhannahhs/Instagram)

Syafiq Kyle jawab isu bermasam muka dengan Hannah Delisha

KUALA LUMPUR: Pelakon Malaysia Syafiq Kyle baru-baru ini menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa beliau dan pelakon filem Langsuir, Hannah Delisha, bermasam muka dan tidak bertegur sapa kerana timbul salah faham antara mereka sebelum ini.

Syafiq berkata, beliau sendiri terdengar tentang khabar angin itu namun enggan memanjangkannya. Malah ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Filem Langsuir pada Rabu (12 Sep), beliau menyifatkan cerita itu sebagai tidak benar kerana hubungannya dengan pelakon yang berasal dari Singapura itu sangat baik dan mereka tidak pernah mempunyai masalah sepanjang bekerjsama dalam industri itu.

Astro Awani menukil Syafiq sebagai berkata: “Memang saya ada dengar tentang perkara ini diperkatakan tapi tak ambil kisah kerana ia tidak pernah berlaku.

“Soal tidak dapat menjayakan photoshoot bersama itu bukan kerana kami bermasam muka, tetapi kerana jadual kerja saya dan Hannah yang tidak sama menyebabkan sukar untuk kami memenuhi permintaan tesrebut.

“Kalau jadual saya OK, Hannah pula yang terikat dengan kerja dan begitulah sebaliknya. Ia adalah disebabkan masa kami dan bukan kerana perkara-perkara lain."

Menurut laporan Astro Awani, Syafiq dan Hannah sudah bersedia untuk memulakan rangka promosi secara bersama menjelang tayangan filem Langsuir pada 20 September ini.

“Kami sekarang sudah memulakan rangka promosi bersama untuk filem ini, sementelah pihak pengurusan masing-masing sudah aturkan jadual kami dengan sebaik mungkin.

“Jadi tidak ada masalah lagi untuk kami berdua memenuhi undangan photoshoot, selain hadir untuk promosi bersama peminat dan sebagainya,” tegas Syafiq.

Dalam pada itu, Syafiq juga tidak mahu mengambil kisah jika ada pihak yang menganggap gosip tersebut sebagai satu gimik untuk mempromosikan filem terbaru mereka.

Syafiq turut ditukil oleh Astro Awani sebagai berkata: “Isu bermasam muka ini bukannya datang daripada kami, malah saya sendiri pun tidak tahu bagaimana ia bermula atau dari siapa.

“Ia bukan gimik yang sengaja dibuat, namun jika isu ini boleh memberi publisiti kepada filem ini, saya okay sahaja kerana sekurang-kurangnya ia membawa kebaikan untuk kami.

"Namun ingin saya tegaskan saya dan Hannah tidak pernah ada perselisihan faham sehingga bermasam muka, sebaliknya kami berkawan baik tanpa sebarang masalah." 

- Agensi berita/AI/ai

Top