Images
  • sufi main
    Gambar penyanyi Sufi Rashid. (Gambar-gambar: Sufi Rashid)

Sufi Rashid mahu kahwin “secepat mungkin”, temanitanya peniaga dari Seremban!

BERITAMediacorp: “Jika anda tanya saya, sudah semestinya saya nak kahwin secepat mungkin. Kalau boleh besok.” Itulah jawapan selamba yang diberikan oleh penyanyi popular, Sufi Rashid, kepada BERITAMediacorp ketika ditemui bersama teman wanitanya di Singapura beberapa hari lalu.

Dalam wawancara secara eksklusif dengan BERITAMediacorp ini, Sufi, 27 tahun, bersetuju mengajak teman wanitanya yang juga berusia 27 tahun atas pelawaan kami.

Bagaimana agaknya rupa ‘girlfriend’ Sufi ini? Orangnya manis dan ramping. Mesra perawakannya.

 “Dia tak menonton Akademi Fantasia, dia tak tahu pun siapa Syamel (AF) atau Khai Bahar. Kami kenal bukan sebab populariti saya atau duit.” – Sufi Rashid

Semasa wawancara di Restoran Sakura di pusat beli belah Eastpoint Mall, Simei, kami meminta untuk mengambil gambar temanita Sufi, tetapi beliau menolaknya. Sufi masih mahu berahsia. Diminta gambar untuk diterbitkan dalam artikel ini juga belum beliau bersedia.

Yang pasti, wanita yang menawan hati Sufi itu seorang gadis berasal dari Seremban. Orang Malaysia!


Yang pasti juga, penyanyi yang lagu terbarunya ‘Aku Sendiri’ kini menjuarai carta Hitz Minggu Ini di radio RIA 89.7 FM selama dua minggu berturut-turut berkeyakinan bahawa gadis Negeri Sembilan yang berjaya mencuri hatinya itu - adalah jodoh yang tepat baginya.

SIAPA NAMA TEMANITA SUFI?

Juara Akademi Fantasi (AF) 12 itu memberitahu kami bahawa setiap kali menjalinkan hubungan dengan seseorang wanita sebelum ini, beliau akan mempunyai perancangan untuk bertunang dan berkahwin sekiranya hatinya sudah terpaut.

Cuma kekadang, jodoh mereka tidak kesampaian sehingga tidak dapat diteruskan perhubungan tersebut.

Tetapi untuk kali ini, Sufi dan gadis ‘X’ sudah berkawan selama setahun setengah lamanya, kongsi Sufi. Pengakuan beliau diperhatikan oleh teman wanitanya yang hanya mampu tersenyum. Begitu berahsianya Sufi sehingga nama temanitanya itu enggan didedahkan kepada BERITAMediacorp. Tapi ini beliau beritahu:

“Nampak gaya macam dialah orangnya insya Allah sebab keluarga saya, kawan-kawan semua menyayanginya. Dia sangat baik. Itu sudah cukup untuk tunjuk kemungkinan besar dia adalah seorang calon, teman wanita yang baik.”


MATAIR SUFI SEORANG PENIAGA RUPANYA…

Sufi amat menyenangi teman wanitanya itu kerana gadis tersebut juga pandai berdikari dan mempunyai perniagaannya sendiri. Menariknya, teman wanita Sufi pada awalnya tidak mengetahui bahawa Sufi adalah seorang penyanyi sebelum mereka berpacaran.

“Dia tak menonton Akademi Fantasia, dia tak tahu pun siapa Syamel (AF) atau Khai Bahar. Kami kenal bukan sebab populariti saya atau duit,” jelas Sufi.

Pasangan ini pertama kali bertemu di sebuah majlis perkahwinan di seberang tambak rupa-rupanya. Setelah itu, Sufi dicabar oleh seorang untuk cuba mendekati wanita tersebut. Ternyata, umpannya berjaya.

Sebagai artis yang dikenali di Singapura dan Malaysia yang sedang mabuk dilamun cinta kini, Sufi tidak terkecuali dibelenggu oleh perkara yang kurang enak dilemparkan kepadanya juga.

SUFI MARAH ORANG TUDUH “MENGGATAL”

“Kita pergi shopping mall tak berpimpinan tangan, tidak berpelukan atau bercium. Tetapi mengapa orang bercakap pasal saya. Adakah sebab saya artis? “Saya keluar bertiga dengan dia dan kawan dia pun orang kata Sufi menggatal. Selalunya orang yang cakap kita gedik. Ada lah orang yang mata merah.

Bila orang kata saya mengedik, sudah semestinya saya sebagai manusia saya nak balas balik. Jadi bila saya balas balik, dia menanglah sebab dia dapat perhatian saya,” cerita Sufi tentang dilema yang dialaminya kerana berpacaran.

Sufi tidak menafikan, ada juga peminat wanita yang pernah saki thati dan kurang senang dengan beliau apabila mendapat tahu beliau sudahpun mempunyai teman wanita. Cuma, kelompok ini tidak akan berterus-terang kepada Sufi. Sufi akan hanya ketahui apabila ia disampaikan kepada Sufi melalui orang lain.

“ Ada yang unfollow saya di Instagram, ada yang tulis tentang saya di Twitter. Bukan saya sengaja nak hampakan atau sakitkan hati mereka,” Sufi mengadu kepada kami.


Berlainan dengan sesetengah artis yang lebih suka menepis soalan apabila sudah mempunyai teman istimewa atau menipu peminat atas alasan mereka yang tersendiri, Sufi Rashid tidak pula mengelak. Bahkan sejak dari dulu lagi, beliau akan berterus-terang dan sering memperkenalkan teman wanitanya kepada ramai dan juga teman-teman media di sini.

Mengapakah Sufi berbuat demikian dan tidak menyorok setiap kali mempunyai teman istimewa? Ini jawapan beliau tanpa berselindung:

“Saya artis yang tak suka memberi tanda-soal pada orang. Biar sebelum mereka bertanya pada saya, mereka dah dapat jawapan. Kita kena sentiasa jujur walaupun ia menyakitkan hati orang. Dalam Islam, kita kena jujur dengan kerjaya kita. Kita hanya perlu menyembunyikan sesuatu jika sesuatu itu mengaibkan kita.”

Tidak salah untuk memperkenalkan teman wanita kepada peminat padanya. Peminat akan tetap menghargai seseorang penyanyi sekiranya mereka menghargai artis tersebut.

“Jika orang akan suka kita, orang akan doakan kita. Apa gunanya nak sembunyikan perhubungan dengan sesiapa tapi bila dah dapat tahu orang akan mempertikaikan?”.

GIRLFRIEND SUFI DITUDUH BIMBO DAN ‘GEDIK’

Tetapi kenapa Sufi masih berahsia dalam wawancara dengan BERITAMediacorp ini? Mengapa masih enggan mendedahkan wajah dan nama si cantic manis yang bertakhta di hatinya? Ini alasan beliau – Teman wanitanya itu pernah mendapat mesej-mesej di Instagram milik gadis tersebut yang agak keterlaluan.

Antaranya, cacian seperti “kau ni tak layak dengan Sufi Rashid, kau ni muka bimbo, kau ni gedik”. Makanya Sufi merasakan adalah lebih baik untuk tidak berkongsi dahulu nama wanita pilihannya itu buat waktu ini.

“Dia tak pernah berada dalam industri hiburan. Jadi bila dia kenal saya, dia baru nak mengenali apa itu dunia hiburan, apa artis akan hadapi. Sebab itu IG dia sekarang private. Private pun, ada yang menghina dan mencaci. Saya nak menjaga keselesaan dia. Saya tak boleh mengharapkan dia jadi seperti saya sebab saya tahu peminat ni macam mana” katanya.

Sejauh mana Sufi bakal tamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat? Benarkah sudah ada bau nasi minyak?

Penyanyi Singapura yang sibuk di Malaysia itu setakat berkongsi bahawa beliau senang dengan apa yang dilakukan sekarang. Iaitu menceburi bidang perniagaan menerusi penjualan biskutnya coklat Krunchee yang mendapat sambutan baik dari para peminat. Itu adalah satu rezeki juga baginya.

“Saya mencari rezeki. Bila bertambah rezeki itu, dengan rezeki itu juga kita boleh lakukan kebaikan. Satu kebaikan itu berkahwin, Insya Allah. Cepat kahwin dengan dialah (ketawa),” katanya penuh bermakna merujuk kepada wanita pilihannya itu.

Nampaknya, istilah Aku Sendiri tidak relevan lagi buat Sufi sekarang ini kerana hatinya berbunga-bunga kini. 

- BERITAMediacorp/FH/fa

Top