Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Som Said terima anugerah antarabangsa - Anugerah Tun Fatimah di Indonesia

Pejuang dan pakar seni tari Melayu Singapura, Som Said menerima anugerah antarabangsa di Indonesia baru-baru ini kerana sumbangan bermakna beliau dalam bidang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Som Said terima anugerah antarabangsa - Anugerah Tun Fatimah di Indonesia

Som Said menerima pengiktirafan Anugerah Tun Fatimah DMDI. (Gambar: Som Said)

BERITAMediacorp: Pejuang dan pakar seni tari Melayu Singapura, Som Said menerima anugerah antarabangsa di Indonesia baru-baru ini kerana sumbangan bermakna beliau dalam bidang tersebut.

Cik Som Said dinobatkan dengan Anugerah Tun Fatimah DMDI oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di bandar Medan pada pertengahan Disember (2017) kerana "taat setia dan jasa bakti" beliau dalam bidang tarian Melayu kepada masyarakat Melayu dan Islam.

Ia diberikan kepada beliau sempena Konvensyen DMDI ke-18 yang berlangsung antara 13 hingga 15 Disember. DMDI berpangkalan di Malaysia dan dianggotai 19 negara dari serata dunia.

Mengulas pertanyaan BERITAMediacorp tentang penganugerahan tersebut, pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts itu memberikan jawapan cukup berfalsafah.

"Saya sangat menghargai setiap anugerah yang diterima. Ia amat bermakna bagi saya. Tetapi anugerah bukan satu kejayaan. Ia sesuatu yang dikongsi bersama semua orang dan adalah satu amanah.

"Anugerah adalah perangsang bagi anak muda, tetapi ia juga mendorong saya dalam memikirkan apa langkah selanjutnya yang harus saya lakukan," kongsi Cik Som, yang baru menyambut ulang tahunnya yang ke-67 semalam (Rabu, 3 Jan).

AKTIF PERJUANG SENI, KONGSI ILMU DI SERATA DUNIA

Malah, ibu mertua kepada personaliti Marina Yusoff ini, yang 30 tahun lalu sudahpun dijulang dengan Pingat Kebudayaan, juga semakin aktif memperjuangkan dan menyebarkan ilmu tentang seni tarian Melayu di serata dunia.

Cik Som bahkan banyak terlibat dalam penggubalan dasar (policy-making) bersama rakan industri antarabangsa, berkongsi pendapat dalam menganjurkan festival-festival seni persembahan serta mengadakan bengkel dan seminar di luar negara.

Beliau juga melakukan kegiatan perpaduan antarabangsa yang menggalakkan perkongsian tentang persada seni di Singapura.

"Yang terbaru adalah usaha menubuhkan pusat zapin di Pekanbaru, dengan membina pemahaman dan asas kukuh bagi sembilan rangkaian tarian Melayu," jelasnya kepada BERITAMediacorp.

"Ini bukanlah atas usaha pemerintah tetapi inilah cara kami untuk mencari jalan bagi menaikkan taraf dunia seni di Singapura. Kami melihat apa yang terbaik dan berikhtiar sendiri," kongsi Cik Som yang sudah menjayakan lebih 30 penerbitan termasuk lagenda Tun Fatimah dan Lagenda Radin Mas.

Beliau juga pernah menjelajah ke hampir 20 bandar dunia termasuk Athens, Milan, Toronto dan Taiwan untuk mempromosikan budaya Singapura.

MASIH BERAKAR DI S’PURA, MAHU TUBUHKAN GALERI

Walaupun sudah melepasi ‘usia bersara’, Cik Som nampaknya belum bersedia 'mengabaikan' tanggungjawabnya untuk terus berkongsi ilmu di tanah air sendiri.

Beliau malah masih mengajar mengikut tuntutan di Sekolah Kesenian Singapura (SOTA) dan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) sekitar dua kali seminggu. Beliau juga bertindak sebagai artis pakar di Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

(Gambar-gambar: Som Said)

"Saya masih berjuang disebabkan minat mendalam saya. Pasukan muda yang bekerjasama dengan saya adalah motivasi saya. Saya berasa sangat bersyukur," katanya lagi kepada BERITAMediacorp.

Cik Som bahkan menyimpan hasrat untuk menubuhkan galeri tarian ala-ala muzium mini bagi seni tarian Melayu.

"Saya melancong ke sana ke sini tetapi ia masih untuk tarian melayu. Peranan saya sahaja yang berubah. Jika dulu lebih kepada pengarahan artistik, kini saya lebih memberi nasihat," jelas Cik Som.

SOM SAID: TARIAN HIP-HOP TAK SALAH, ASALKAN ADA ASAS MELAYU KUKUH

Yang pasti, Cik Som akan terus memperjuangkan seni tarian Melayu di Singapura dan terutama sekali di luar negara.

Malah, pejuang seni berjiwa waja ini yakin bahawa tarian Melayu masih tidak luntur dek arus pemodenan. Beliau turut berkongsi tidak bimbang dengan adanya cabaran muzik dan tarian moden.

"Saya sudah berkecimpung dalam dunia seni selama lima dekad, dan setiap 10 tahun akan ada evolusi berbeza. Tak perlu bimbang tentang unsur yang tidak sihat. Melayu tetap Melayu. Mereka masih berpegang kepada budaya kaya Melayu.

"Tidak salah jika mereka menari hip-hop sekali pun, tidak usah risau, asalkan mereka ada asas kukuh dalam budaya Melayu. Takkan hilang Melayu di dunia," ujarnya lagi dengan penuh yakin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan