Images
  • Sofi Jikan
    Sofi Jikan. (Gambar: Sofi Jikan Fans Page/Facebook)

Sofi Jikan tidak mengaku bersalah ambil ganja

PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membubuh dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC), minggu lalu.

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Ketika prosiding, pelakon filem KL Gangster itu yang berada di dalam kandang tertuduh berkata 'saya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.'

Mengikut pertuduhan, seperti ditukil BHM, tertuduh didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC) di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, Sofi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 (S$1,680) atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 (S$1,010) dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy manakala pelakon itu diwakili peguam Datuk Haniff Hassan, menurut BHM.

Pada Jumaat lalu, Sofi dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung aduan polis oleh pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil.

- Agensi berita/IM/nk

Top