Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Skop Productions saman kakitangan rekaan grafik sebar Munafik 2 di media sosial

Syarikat Skop Productions Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang kakitangan rekaan grafik atas kesalahan melanggar hak cipta filem terbitannya, Munafik 2.

Anggaran Waktu Membaca:
Skop Productions saman kakitangan rekaan grafik sebar Munafik 2 di media sosial

Filem Munafik 2 keluaran Skop Productions. (Gambar: Munafik 2 Official/Facebook)

Diterbitkan : 13 Oct 2018 09:37AM Dikemas Kini : 13 Oct 2018 09:43AM

KUALA LUMPUR: Syarikat Skop Productions Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang kakitangan rekaan grafik atas kesalahan melanggar hak cipta filem terbitannya, Munafik 2.

Pengarah filem tersebut, Syamsul Yusof mendakwa individu berkenaan bertanggungjawab menyebarkan karya arahannya melalui lelaman media sosial, Facebook dan Instagram.

Malaysiakini menukil Encik Syamsul sebagai berkata: “Surat saman diserahkan kepada Orang Kena Saman (OKS) jam 10.20 pagi tadi.

“Skop Productions Sdn Bhd membuat satu laporan di Balai Polis Setapak pada 20 September lalu.

“Perbicaraan mahkamah akan bermula pada 22 Oktober ini.”

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang, Selangor pada Jumaat (12 Okt).

Sejak ditayangkan pada 30 Ogos lalu, Munafik 2 berjaya mencapai kutipan box office sebanyak RM43 juta (S$14.3 juta), hasil kutipan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, menurut laporan Malaysiakini.

ADA INDIVIDU LAIN LAKUKAN KESALAHAN SAMA

Encik Syamsul, yang turut berlakon dalam Munafik 2, berkata terdapat beberapa individu lain yang turut melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun selepas diberi amaran, mereka memohon maaf selain memadamkan karya berkenaan dari internet.

“Tetapi pihak kami tidak dapat mengesahkan sama ada OKS individu sama yang bertanggungjawab merakam visual curi sebelum menyebarkankannya untuk tontonan umum.

“Kami perlu menunggu hingga hari perbicaraan untuk mengetahui maklumat terperinci itu,” katanya.

Malaysiakini turut menukil Encik Syamsul sebagai berkata bahawa tindakan itu diambil supaya memberi pengajaran kepada orang ramai serta bagi memelihara hasil usaha pengkarya tempatan.

“Ini tidak ada kena mengena dengan kutipan box office, tetapi supaya menghalang kejadian seumpama ini daripada terus merosakkan dunia perfileman,” tambah beliau, yang bakal menghasilkan filem Munafik 3 dalam tempoh dua tahun lagi. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan