Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza hamil anak lelaki? Betulkah Siti buat rawatan kesuburan di S’pura?

Benarkah Siti Nurhaliza hamil anak laki-laki? Spekulasi itu muncul setelah rakan baik Siti, iaitu penyanyi Kris Dayanti dari Indonesia seolah-olah membayangkan demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza hamil anak lelaki? Betulkah Siti buat rawatan kesuburan di S’pura?

Dato' Seri Siti Nurhaliza. (Gambar: Siti Nurhaliza Productions)

Diterbitkan : 04 Nov 2017 12:24AM Dikemas Kini : 04 Nov 2017 02:54AM

BERITAMediacorp: Benarkah Siti Nurhaliza hamil anak laki-laki? Spekulasi itu muncul setelah rakan baik Siti, iaitu penyanyi Kris Dayanti dari Indonesia seolah-olah membayangkan demikian.

Ini setelah Kris Dayanti memuat naik perbualan beliau bersama Dato’ Seri Siti di Instagramnya dengan usulan agar sahabatnya itu "baca surah Yusof, baca selalu ya love. Biar handsome".

Ia mengundang cakap-cakap bahawa bahawa kandungan sahabat beliau itu adalah lelaki meskipun Siti sendiri belum pernah mengumumkan jantina bayinya yang kini sudah berusia lebih lima bulan. Tapi apakah benar kandungan yang bakal lahir nanti merupakan bayi lelaki seperti yang digambarkan oleh Kris Dayanti?

“Saya tidak mengumumkan jantina ini dan biarlah dulu, bila perlu barulah saya memberitahu. Kris Dayanti juga belum pasti mungkin cuma beliau bergurau atau meneka saja. KD memang banyak memberi semangat dan suka bergurau. Alhamdulillah, selain KD rakan-rakan artis lain baik dari Malaysia, Singapura, Indonesia atau di mana saja turut mendoakan saya,” jelas penyanyi berusia 38 tahun secara eksklusif kepada BERITAMediacorp.

Jadi, bilakah pula beliau dan suaminya Dato’ Seri Khalid Muhamad Jiwa bersedia umumkan jantina kandungan tersebut?

“Kami belum berbincang dan belum pasti, kalau nak mengumumkannya juga bagi saya hanya santai atau secara tidak langsung saja. Saya tidak mahu menggembar-gemburkan hal kehamilan ini kerana bagi saya, fokusnya adalah berehat dan menjaga kesihatan saya dan bayi,” katanya.

SITI NURHALIZA: SAYA HAMIL INI JUGA ATAS USAHA RAWATAN

Penyanyi tersohor Malaysia yang mula dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan itu
turut ditanya mengenai pelbagai spekulasi yang tersebar sebelum ini. Iaitu Siti suami isteri mendapatkan rawatan kesuburan di luar negara termasuk di Singapura.

Jika ternyata benar spekulasi ini, mengapakah memilih Singapura untuk mendapatkan rawatan kesuburan?

“Saya tidak malu mengaku bahawa saya hamil ini juga atas usaha rawatan, saya mahu setiap wanita merasakan, mereka juga ada peluang. Saya memang berusaha dari dulu, tidak kira apa jua kaedahnya namun pada tahun 2015 yang lalu, saya hamil secara normal.

“Saya tidak pernah membuat rawatan di Singapura, kalau ada yang bercakap begitu, memang tidak benar,” jelas Siti kepada BERITAMediacorp mengenai persoalan tersebut.

PERUBAHAN PALING KETARA SEJAK BERBADAN 2?

Apakah perubahan paling ketara sejak berbadan dunia kini dan bagaimana penyanyi kesayangan ramai itu melalui kehidupan barunya kini sebagai seorang wanita hamil?

Kongsinya kepada pihak kami: “Perubahan awal dulu, kulit saya alahan dan kering dan tentulah selalu lapar. Kemudian saya lalui juga keadaan mual dan pening kepala. Adakala sangat lapar tetapi saya tak lalu makan.

“Semua ini pengalaman baru bagi saya tetapi ramai yang memberikan nasihat dan sokongan. Saya juga suka berkongsi pengalaman dengan orang lain yang pernah melalui situasi ini.”

Ketika ini, pasangan tersebut nampaknya masih belum bersedia untuk berkongsi jantina kandungan Dato’ Seri Siti nampaknya meskipun netizen dan teman-teman turut menebak sendiri kandungan yang bakal dilahirkan itu nanti.

“SAYA TIDAK PERNAH PUTUS ASA”

Dato’ Seri Siti pernah melalui keguguran pada penghujung tahun 2015.Tiada istilah berputus-asa sebenarnya sehingga diizinkanNya baru-baru ini. Beliau amat bersyukur kerana lebih ramai mendoakan agar beliau hamil lagi selepas itu.

“Saya tidak pernah berputus asa mencuba selama ini dan siapa sangka pada tahun ke 11 perkahwinan ini adalah rezeki saya. Semoga memberikan semangat kepada pasangan di luar sana yang masih belum dikurniakan zuriat,” jelasnya tanpa ragu-ragu kepada pihak kami.

Lumrah untuk mana-mana pasangan akan rasa tertekan apabila terpaksa melalui episod sedih ini. Berbeza pula bagi Dato’ Seri Siti Nurhaliza meskipun beliau adalah ‘public figure’ yang cukup dikenali di rantau ini. Bagaimana pula reaksinya tentang suara-suara sumbang yang berani membuat andaian kononnya penyanyi bersuara emas itu tidak mampu untuk hamil sebelum alami keguguran pada penghujung tahun 2015?

“Saya berharap dan meletakkan keyakinan kepada Allah dan bukan manusia. Saya seorang yang positif dan selama ini pun, saya tidak pernah mengeluh. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan sekalipun pasangan tersebut tidak dikurniakan anak, tentu ada cara untuk kebahagiaan. 

“Kita yang harus mengendali dan menciptanya. Saya yakin ramai yang mendoakan saya dan suami selama ini, apa yang Allah kurniakan ini juga bukan doa kami sahaja,” katanya.


(Gambar-gambar: Siti Nurhaliza Productions)

Sudah semestinya beliau dan suami tercinta berasa teramat gembira apabila diberitahu oleh doktor akan kehamilan Dato’ Seri Siti kali ini. Bagaimana pula reaksi suami, Dato’ Seri Khalid ketika itu?

Terangnya: “Setiap wanita pastilah berasa gembira di atas berita yang dinanti-nantikan ini, begitu juga suami saya. Kami sangat bersyukur dan kerana itulah saya melupakan seketika aktiviti dan pekerjaan saya dan fokus kepada kandungan saya.” 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan