Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Siti Nurhaliza akan buat konsert solo di Singapura tahun depan!

Bagi anda yang ternanti-nanti bila agaknya biduanita Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert di Singapura, baris berikut ini pasti menggembirakan anda: Siti Nurhaliza akan adakan konsert di Kota Singa ini tahun depan!

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Nurhaliza akan buat konsert solo di Singapura tahun depan!

Siti Nurhaliza (Gambar: Instagram/@ctdk)

Diterbitkan : 01 Oct 2018 11:08PM Dikemas Kini : 02 Oct 2018 12:03AM

BERITAmediacorp: Bagi anda yang ternanti-nanti bila agaknya biduanita Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert di Singapura, baris berikut ini pasti menggembirakan anda: Siti Nurhaliza akan adakan konsert di Kota Singa ini tahun depan!

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp beberapa hari lalu, Siti memberitahu bahawa untuk tahun depan, beliau mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert solonya di Singapura, Kuala Lumpur dan Jakarta sekali lagi. Hasrat beliau ialah untuk menjadikan konsert tersebut lebih baik dari sebelumnya.

“Macam-macam saya dah buat sebenarnya. Akustik konsert dah buat, konsert orkestra dah buat. Sekarang ini saya akan lebih tekankan nak menghiburkan, tak kisahlah konsep macam mana pun, menghiburkan dari segi lagu-lagu kita,” ujar beliau kepada kami.

Antara yang juga boleh dijangkakan bagi konsert itu, menurut Siti, adalah susunan muzik yang baru atau adalah input yang baru. Sesuatu yang sepatah kata Siti, boleh buat orang rasa macam: "Oh Siti main alat muzik, Siti menari. Itulah perkara-perkara penting, gimik yang menghiburkan,” kongsi beliau lagi.

ANTA PERMANA – LAMBANG ‘COMEBACK’ SITI NURHALIZA SELEPAS BERSALIN

Semua itu Siti Nurhaliza dedahkan semasa beliau berada di Singapura untuk Anugerah Planet Muzik (APM) 2018 minggu lalu (28 Sep). Siti berjaya memenangi kategori Kolaborasi Terbaik (Artis) bersama Judika menerusi lagu Kisah Ku Inginkan yang turut mereka menyanyikan pada malam tersebut.

Siti Nurhaliza semasa di APM 2018 (Gambar: Instagram/Mediacorp Suria)

(Gambar: Mediacorp Suria)

Jika anda sempat menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu, beliau membawakan lagu terkininya berjudul Anta Permana. Anda mungkin tertanya-tanya apakah yang menarik tentang lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu, sehingga membuat Siti terpaut hati pada lagu tersebut?

Ini jawapan Siti Nurhaliza kepada kami:

“Kerana pertama, ini adalah comeback saya selepas berehat dan melahirkan. Dan juga konsep nyanyian dan lagu itu sendiri berbeza. Ia tidak terlalu tradisional dan tidak terlalu moden, ia pertengahan. Bagi peminat-peminat Siti yang rindukan lenggok Melayu, Siti ada saya selitkan dalam lagu ini.”

Menurut beliau, perkataan Anta Permana adalah bahasa klasik yang merujuk kepada ‘tidak terkira atau infiniti'.

Tidak ramai yang tahu bahawa penyanyi Hael Husaini rupa-rupanya pernah menjadi anak didik Siti Nurhaliza untuk pertandingan realiti Akademi Fantasia pada tahun 2013. Tugas Siti adalah sebagai menyuntik semangat ketika itu. Namun, inilah kali pertama mereka bekerjasama apabila penyanyi tersohor itu tertarik kepada lagu Anta Permana untuk dirakamkan, setelah demo lagu dihantar.

Dalam banyak-banyak komposer muda yang sedia ada kini, mengapa memilih karya Hael Husaini?

“Saya melihat dia (Hael) sebagai seorang komposer yang berbakat besar dan tak dinafikan lagu-lagu dia sekarang ini semua menjadi. Ciptaan dia semua tengah hit di corong radio dan kebetulan kami memang sama-sama nak bekerjasama,” terang pelantun versatil tersebut kepada BERITAmediacorp.

SITI NURHALIZA: HAEL ANTARA KOMPOSER TERBAIK SEKARANG INI

Hael sebenarnya ingin memberikan lagu kepada Siti untuk album Simetri sebelum ini, namun tidak sempat berbuat demikian.

“Dia kata tak mengapa, dia akan buat jugak. Bila-bila nak pakai dia akan bagi. Akhirnya dapat jugak bekerjasama,” Siti melanjutkan bicara.

Dari zaman Akademi Fantasia lagi beliau dapat lihat bahawa Hael Husaini berbakat besar dan menyanyi dengan penuh semangat untuk pertandingan tersebut. Ini satu pujian Siti yang pastinya membuatkan Hael tersenyum sangat lebar:

“Dia suka muzik dan bagilah dia lagu apa pun, dia boleh menyanyi dengan cara dia. Tak sangkalah pulak dia mampu mencipta lagu yang hebat. Ini semua kelebihan yang dia ada. Akhirnya, Allah bagi rezeki pada dia. Saya tak malu dan saya kata ingin bekerjasama dengan Hael kerana dia antara komposer yang terbaik sekarang ini, komposer muda berbakat besar.”

Sebelum ini pun kemampuan Hael sebagai tenaga kreatif berbakat terbukti menerusi lagu Hajat dan Jampi ciptaan Hael sendiri yang diterima baik oleh penggemar muzik.

KRITERIA SITI NURHALIZA DALAM PEMILIHAN LAGU

Seperti penyanyi lain juga, Siti mempunyai kriteria yang tersendiri apabila memilih lagu-lagu yang ingin dirakamkan, setiap kali beliau akan muncul dengan album baru atau single terbaru. Beliau akui sebagai seseorang yang paling mudah.

“Lagu yang catchy, berkualiti, mengikut trend semasa, sebab kekadang memang kita suka tapi yang memilihnya adalah peminat dan pendengar. Kalau mereka tak suka, kita sendiri suka dah jadi macam kita syiok sendiri kan sebab mereka yang nak beli album kita,” kongsi Siti.

Beliau turut mendapatkan nasihat dari syarikat rakamannya juga kerana urusan pemasaran albumnya dilakarkan oleh mereka.

“Insya Allah, selagi pilihan lagu yang dia buat itu kena dengan apa yang kita nak, tidak ada masalah,” tambah beliau lagi.

Yang pasti, beliau bersikap amat terbuka dan memberi peluang kepada mana-mana komposer sama ada yang berpengalaman mahupun yang baru, untuk menghantar demo lagu setiap kali beliau ingin menerbitkan album baru. Terangnya:

“Boleh bagi jer lagu. Selebihnya saya pilih di akhir-akhir proses saya dan syarikat yang mengedarkan album saya akan duduk mendengar semua lagu, sesi pemilihan berlaku, masa itulah baru kita tahu siapa yang terpilih. Kita mengikut proseslah tapi untuk menerima lagu dari sesiapa saya terbuka.”

Siti Nurhaliza (Gambar: Freda Hassan)

Siti Nurhaliza (Gambar: Freda Hassan)

UNTUNG SITI, BOLEH PILIH DARIPADA BERATUS-RATUS LAGU UNTUK SETIAP ALBUM

Atas sikap terbuka itulah beliau menerima beratus-ratus demo lagu setiap kali peluang dibuka kepada komposer-komposer untuk menghantar lagu mereka kepadanya.

Dari beratus-ratus lagu itu,beliau akan memilih 20 yang terbaik dan mereka akan menapis lagi sehingga mendapat 10 buah lagu yang terbaik untuk pembikinan album pula.

Malahan sebelum ini pun, lagu-lagu ciptaan komposer–komposer kelahiran Singapura seperti Awi Rafael dan M. Nasir pernah juga dirakamkan oleh Siti Nurhaliza. Namun beliau belum pernah merakamkan lagu ciptaan penyanyi Taufik Batisah.

“Taufik Batisah belum lagi tapi kita pernah bersama-sama dalam sebuah konsert, dia menyanyi untuk konsert saya,” katanya dalam temu bual tersebut.

Tidakkah beliau teringin menyuntik sedikit kelainan dengan memilih genre muzik yang berbeza untuk album solonya nanti?

Tanpa ragu-ragu, penyanyi peramah itu mengatakan:
“Saya teringin nak buat jaz, bukan jaz asli tapi yang ringan sikitlah. Saya tak kisah komposer mana. Jaz sebab itu yang belum pernah saya cuba. Nak cuba sebagaimana saya menyanyikan lagu-lagu pop tradisional. Saya nak lihat boleh tak saya menyanyikan lagu-lagu jaz pulak. Saya seronok kalau dapat berekperimentasi vokal.”

INI SITI NURHALIZA, TAPI TETAP KENA ‘TUNE’ KEMBALI SUARA…

Setelah berehat sekian lama untuk bersalin, beliau tidak menafikan harus tune kembali suaranya.

“Semua penyanyi kena buat tak kira dah bersalin atau tidak bersalin. Kena sentiasa berlatih supaya kita boleh menggilap balik vokal dan teknik nyanyian. Memang ambil masa sikit sebab dah setahun saya berehat dari persembahan-persembahan besar,” akuinya.

Salah satu cabaran beliau adalah untuk mendapat balik stamina untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, memandangkan beliau bersalin secara Caesarean kelmarin.

"Memang banyak gunakan perut jadi di situlah agak ada kesukaran tapi bagi saya itu bukan halangan lah. Yang penting kita sentiasa buat latihan,” terangnya jujur.

Seperti ibu-ibu lain yang telah bersalin, beliau turut berpantang. Katanya selamba sambil tersenyum:

“Banyak lagi saya kena turunkan berat badan. Sikit lagi supaya dalam TV nampak lebih sempurna, tapi susahlah sebab saya menyusu badan. Bila menyusu saya akan sentiasa lapar. Bila tiba-tiba Aafiyah tidur lambat pukul 2.00 pagi, kita dah makan-makan tengah malam. Ini adalah proses yang normal dan kita akan laluinya dengan hati yang gembira.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan