Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Shenty Feliziana lancarkan produk kecantikan ‘Dear Bunda’, sudah ada ‘ehem ehem’

Kian dikenali sebagai seorang hos, pelakon dan penari, ternyata wanita berbilang bakat ini boleh menambah satu lagi gelaran ke dalam senarai pencapaiannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Shenty Feliziana lancarkan produk kecantikan ‘Dear Bunda’, sudah ada ‘ehem ehem’

Personaliti tempatan Shenty Feliziana. (Gambar: Shenty Feliziana/ Instagram)

BERITAMediacorp: Kian dikenali sebagai seorang hos, pelakon dan penari, ternyata wanita berbilang bakat ini boleh menambah satu lagi gelaran ke dalam senarai pencapaiannya.

Dengan hasil titik peluhnya selama hampir setahun, personaliti jelita berusia 28 tahun itu kini turut bergelar seorang usahawan!

Lebih membanggakan lagi, beliau juga merupakan artis wanita pertama Singapura yang berjaya menghasilkan produk kecantikan di bawah jenamanya sendiri.

Diberi nama ‘Dear Bunda by Shenty Feliziana’, hos bagi rancangan Manja ini bukan sekadar ingin berkongsi rutin wajah dengan orang ramai, malah beliau juga ingin menekankan pentingnya rasa yakin diri dengan ketrampilan masing-masing.

Shenty memberitahu BERITAMediacorp: “Saya sering ditanya tentang rutin jagaan kulit saya dan sememangnya, saya tidak memanjakan kulit saya dengan produk kecantikan yang mahal.

“Dan melihat kepada bagaimana sesetengah orang sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk produk kecantikan dan menjalani pembedahan hanya untuk kelihatan cantik, saya tidak dapat menyangkal betapa pentingnya untuk berasa yakin dengan kulit sendiri. Atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, saya kemudian bercadang untuk berkongsi rahsia saya bersama semua.”

DARI SELEBRITI KE USAHAWAN - SATU TREND?

Shenty bersetuju bahawa kini kian menjadi trend di mana lebih ramai selebriti menceburi bidang perniagaan. Bakat muda itu bagaimanapun berkongsi bahawa beliau tidak menerima sebarang tekanan untuk memulakan bisnes tersebut.

Malah, beliau melahirkan rasa berbesar hati melihat lebih ramai individu yang bergelar usahawan. Walau demikian, Shenty tetap mahu memberi lebih banyak tumpuan terhadap perkongsian produknya demi kulit yang lebih sihat terlebih dahulu.

“Proses untuk menghasilkan Dear Bunda sangat intensif. Saya perlu mencari seorang pakar yang dapat memberikan hasil yang terbaik selain menggunakan bahan-bahan yang benar-benar menepati rutin saya selama ini.

“Dan memandangkan ia bagi memenuhi keperluan kulit wajah, saya harus kritikal dalam setiap langkah yang saya ambil. Malah, saya jugalah yang menjadi ‘tikus makmal’ bersama ahli keluarga yang lain dengan kondisi kulit yang berbeza, untuk benar-benar memastikan krim itu benar-benar sesuai bagi semua peringkat usia dan jenis kulit,” kongsi Shenty kepada BERITAMediacorp.

Bahkan, bekas pengacara H! Live ini juga terpaksa mengimbangi masanya di makmal, di set penggambaran dan juga bagi komitmen di kedua-dua Kuala Lumpur dan Singapura. Yang jelas, Dear Bunda tetap berjaya dihasilkan di tengah-tengah jadualnya yang padat!

“Bagaimanapun, saya mengakui bahawa cabaran yang paling sukar adalah apabila orang lain tidak percaya pada idea itu pada mulanya, kecuali ibu saya,” dedahnya, yang bakal mengumumkan pelancaran rasmi tidak lama lagi melalui laman Instagram Dear Bunda.

BAKAL BINTANGI SIRI AKSI ANTARA DUA NEGARA

Apa lagi yang sedang Shenty sibukkan sekarang ini, selain daripada berjinak-jinak dengan perniagaan?

Jawapannya: Lakonan, lakonan dan lakonan. Shenty berkongsi bahawa beliau akan turut membintangi sebuah siri aksi lapan episod - kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia - yang julung-julung kali dihasilkan oleh saluran Astro Malaysia.

Yang menariknya, beliau juga akan dilatih dalam seni bela diri dan koreografi bagi babak pergaduhan oleh Cecep Arif Rahman. Cecep pernah berlakon dalam filem ‘The Raid’ dan ‘Star Wars: The Force Awakens’.

“Saya sangat gemar mengacara. Bagaimanapun, berlakon sudah lama menjadi minat saya dan saya tertarik untuk terus belajar dan menjadi lebih baik setiap hari. Boleh dikatakan, saya gemar melakukan dan mempelajari sesuatu yang baru setiap hari," katanya, yang masih meneruskan minatnya dalam bidang tarian.

(Gambar-gambar: Shenty Feliziana/ Dear Bunda/ Instagram)

KINI RAPAT DENGAN JEJAKA ‘BATMAN’

Meskipun terpaksa berdikari di negara orang, Shenty sedar bahawa di penghujungnya, beliau harus ikhlas dalam segala yang diceburinya dan sentiasa berbaik budi.

Yang pasti, di sebalik segala kesibukan yang ada itu, seorang jejaka (ehem ehem!) kini kian mengisi 'ruang’ masa Shenty tatkala beliau berasa bersendirian.

Persoalannya sekarang, siapakah jejaka yang berjaya mencuri hati Shenty? Orang Singapura atau orang Malaysia? Ini jawapan yang dapat kami umpil dari Shenty.

"Ya, kini saya rapat dengan 'Batman', itulah yang saya gelarkannya. Tetapi kami belum berbincang tentang sebarang rancangan. Jadi saya menyerahkannya kepada jodoh.

“Sememangnya, saya seorang wanita yang mengikut tradisi tetapi yang penting, kami saling membuat masing-masing gembira dan saling menyokong kerjaya satu sama lain," kongsinya kepada BERITAMediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan