Images
  • shenty main
    Gambar-gambar: Shenty Feliziana

Shenty Feliziana bernikah pada April 2018 dengan pelakon Indonesia

BERITAMediacorp: Ini fakta yang perlu anda tahu. Pelakon dan hos Shenty Feliziana sudah bertunang. Akan bernikah pada April tahun depan. Shenty pula akan berpindah ke Jakarta.

Tapi, baru beberapa bulan lalu, Shenty menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau sedang bercinta dengan pelakon Indonesia yang bakal menjadi suaminya itu.

Menjelaskan kepada BERITAMediacorp, Shenty berkata, beliau tidak ada niat untuk berselindung mahupun mengelirukan sesiapa. Begitu kata-kata Shenty berhubung komen beliau kepada media Malaysia Ogos lalu, di mana beliau menafikan bahawa beliau sedang bercinta dengan pelakon Indonesia, Reuben Elishama.

Shenty dan Reuben sama-sama terlibat untuk penggambaran drama berjudul Dosa untuk stesen TV Astro, Kuala Lumpur ketika itu.

SEBENARNYA ‘BERJANJI’ UNTUK TIDAK TERLIBAT DALAM ‘CINTA LOKASI’

Hos rancangan Manja di SURIA itu yang lebih akrab disapa sebagai Shen, dihubungi baru-baru ini setelah beliau sendiri berkongsi beberapa foto menerima lamaran jejaka tersebut di Instagram beliau.

Shen menerima kunjungan dari Reuben serta ibu Reuben pada 25 November lalu di rumahnya sendiri dalam pertemuan yang Shen sifatkan sebagai sesi merisik. Reuben turut membawa sebentuk cincin sebagai bukti termeterailah hubungan cinta mereka.

Sebelum ini, mereka terlibat untuk penggambaran drama tersebut selama hampir tiga bulan lamanya di Jakarta. Ironinya, pada awal lagi apabila mereka memasuki set pada hari pertama, mereka berjanji untuk tidak terlibat dalam cinta lokasi.

Terang Shen secara eksklusif kepada BERITAMediacorp: “Shen tidak rasa cinta langsung sebab shooting Dosa tu adalah satu pengalaman yang mencabar sekali. Takde masa pun untuk kita berfikir. Nak kena jaga diri sendiri sebab lokasi, perwatakan memang mencabar secara mental dan fizikal.”

Pasangan itu memilih untuk bersikap profesional sahaja dan menjadi sahabat baik ketika menjalani penggambaran tersebut.

2 MINGGU SELEPAS PENGGAMBARAN …

Namun setelah dua minggu tamat penggambaran, sang jejaka berusia 38 tahun itu mengirimkan mesej kepada pelakon jelita tersebut bahawa beliau merindui sahabat baiknya itu.

Reuben tidak bertepuk sebelah tangan rupa-rupanya.

“Shen malas nak bercinta lama-lama. Shen kata datang jumpa ibu dan keluarga. Kalau ibu restu untuk kita adakan perhubungan, kita boleh bincang kemudian,” kata Shen.

Sebagai langkah pertama, pelakon tersebut terbang ke Singapura untuk bertemu ibu serta keluarga Shenty. Dari situ, ibu Shen nampak akan keikhlasan pelakon Indonesia itu untuk menjadikan Shen sebagai isterinya.

Dua bulan kemudian iaitu pada 25 November lalu, wujud sesi merisik dari pihak Reuben yang diwakili oleh ibu Reuben dan anggota keluarga yang lain dari Jakarta.

Mereka bersepakat memilih bulan April 2018 nanti untuk majlis pernikahan pasangan tersebut.

SHENTY SERIK UNTUK BERCINTA LAMA-LAMA

Apakah pandangan Shen, 28 tahun terhadap cinta lokasi yang berlaku sekali lagi kepadanya meskipun pada awalnya beliau seakan boleh ingin mengelak untuk terjebak kali ini?

“Shen rasa ini jodoh (ketawa). Tak jangkakan benda ini berlaku. Shen memang percaya dengan jodoh sebab kalau kita lama-lama dengan orang tu pun, kalau tak jadi, tak jadi jugak. Sebab sebelum ini, Shen memang dah tertutup hati.”

Beliau tidak menafikan pengalaman bercintanya sebelum ini seolah-olah membuatnya semacam serik untuk bercinta lama-lama. Ini tambah beliau sambil berhati-hati menuturkan jawapan:

“Kalau sebelum ini mungkin orang tau tentang Shen bercinta dengan seseorang jejaka. Shen terlalu fobia sangat untuk bercinta lagi. Bila dia (Reuben) tunjukkan keikhlasan untuk berjumpa ibu, dia buka hati dan mata Shen.”

Shen sangat senang dengan perwatakan Reuben yang pentingkan keluarga termasuk apabila Reuben berada di set rupa-rupanya. Kekadang, ibu dan kakak kepada Reuben akan singgah lokasi penggambaran mereka.

PERKARA YANG SHENTY SUKA PADA REUBEN

“Shen suka cara dia hormat dan layan keluarga dia terutama sekali dengan perempuan lain. Dia sangat rapat dengan keluarga. Dari situ, Shen nampak dia ‘family oriented’,” terang Shen lagi kepada BERITAMediacorp.

Mungkin itu juga yang membuatkan gadis manis itu terbuka hati untuk menerima cinta Reuben memandangkan Shen sendiri sangat pentingkan institusi keluarga.

“Shen suka kita kahwin untuk besarkan lagi keluarga jadi bila Shen nampak Reuben pentingkan keluarga dan cara dia luangkan masa dan pentingkan keluarga dia. Itu adalah sesuatu yang Shen suka pada seorang lelaki.”

Meskipun pada awalnya beliau agak gementar untuk menerima cinta lokasi yang hanya beberapa bulan sahaja perhubungan cinta terjalin antara dua benua, Shen akur harus mengalah juga kerana beliau dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan Reuben untuk memperisterikan orang Singapura itu.

“Sebelum ini, pemilihan Shen selalu tidak sampai ke jenjang pelamin walaupun Shen inginkan atau harapkan atau Shen berusaha. Selalunya, perhubungan itu separuh jalan atau tidak sampai ke jenjang pelamin. Shen selalu salahkan diri sendiri.

“Shen tak suka salahkan pasangan Shen. Mungkin ada kekurangan dalam diri Shen sendiri. Jadi bila dah berlaku macam ni, Shen rasa penting untuk menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain,” luah Shenty secara jujur.

Setelah berumahtangga pada April 2018 nanti, pengacara ceria itu bercadang untuk berpindah ke Jakarta untuk bersama suaminya nanti.

Beliau menjelaskan bahawa teman lelakinya itu tidak pernah menghalangnya untuk mengejar impian beliau sebagai seorang artis di Singapura mahupun di Malaysia sekiranya pasangan ini sudah disatukan nanti.

“Dia kata terserah pada Shen tapi ikutkan hati Shen sebagai seorang isteri, takkanlah Shen nak tinggalkan tanggungjawab Shen sebagai isteri kan? Takpe, Shen bekerja-keras sekarang ini. Bila dah nikah, Shen akan ikut Reuben balik ke Jakarta,” cerita Shenty lagi kepada BERITAMediacorp.  

- BERITAMediacorp/FH/sm

Top