Images
  • hady mirza
    Pemenang Asian Idol dan Singapore Idol musim ke-2 Hady Mirza. (Gambar: Facebook/ Hady Mirza/ Haryani Othman)

Setelah ‘keluar’, rakan artis beri sokongan kepada Hady Mirza; Rafaat Hamzah kongsi pengalaman

BERITAmediacorp: Setelah BERITAmediacorp melaporkan tentang berita bahawa pemenang Singapore Idol, Hady Mirza, sudah bebas daripada tahanan penjara atau ‘In-care’, ramai yang tampil memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

Ini termasuklah para peminat Hady mahupun rakan-rakan artis. Di Facebook BERITAmediacorp, ramai peminat menulis kekata “Alhamdulillah” buat Hady bagi menyambut berita baik itu. Pengguna FB bernama Sameera Cee misalnya menulis, “Always believe in giving second chance” (Sentiasa berikan peluang kedua).

Facebook Hady sendiri tidak kurang rancak dan benar-benar berdenyut semula pada 24 Oktober apabila beliau menukar gambar profilnya. Komposer Mayuni Omar menulis kata-kata sokongan berbunyi ‘Miss you brother’.

Bagi rakan artis seperti Cef Bob pula, beliau memberitahu pihak kami bahawa beliau rasa “sangat gembira melihat catatannya (di media sosial) selepas beliau 'berehat’”.

“Kepada Hady, usah risau my brother, semuanya akan baik-baik saja," ujar Cef Bob.


(Gambar: Shahrizal Salleh/Facebook)

DJ RIA, Dzar Ismail, juga antara yang memberikan sokongan selepas Hady kembali membuat catatan di media sosial. Malah komen pertama yang dicatat Dzar di laman Facebook Hady adalah dengan mengucapkan 'Selamat kembali Hady'.

Di kalangan ramai rakan-rakan Hady Mirza, semestinya antara yang benar-benar paling memahami apa yang dilaluinya termasuklah pelakon Rafaat Hamzah.

Rafaat sendiri pernah ‘masuk dalam’ setelah diberkas dek kesalahan dadah beberapa tahun lalu.

"Saya rasa beliau (Hady) orang yang lebih baik daripada saya. Jika saya boleh teruskan kehidupan sejauh ini, saya tidak melihat sebarang sebab untuk beliau tidak dapat berbuat demikian," katanya. 

RAFAAT KENANG KEJADIAN DISAMBUT CNB

Seperti hari-hari biasa, Rafaat sedang bersiap untuk ke kerja dan bersedia membuka pintu rumahnya. Namun pemandangan yang menyambutnya di luar pintu itu jelas lain dari kebiasaan.

Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) lantas masuk ke dalam rumahnya dan terus memberkasnya. Ternyata, beliau ditangkap atas kesalahan menyalahgunakan dadah dan kemudian dijatuhkan hukuman setahun di Penjara Changi.

Meskipun peristiwa hitam itu berlaku sekitar empat tahun lalu, pengajaran yang ditimba melalui pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam terhadap diri pengarah dan pelakon tempatan tersebut.

Malah titik hitam itu dan kesannya jelas masih terpahat dalam ingatannya.

"Apa yang berlaku adalah satu hikmah. Saya agak kecewa pada mulanya apabila saya kehilangan beberapa rakan, tetapi saya sedar bahawa sebenar-benarnya sahabat tidak akan membuat seperti apa yang mereka lakukan. Jadi saya baik-baik sahaja," kongsi Rafaat dengan BERITAmediacorp.


(Gambar: Rafaat Hamzah/ Facebook)

Pengalaman yang dilaluinya mungkin turut menjadi renungan Hady Mirza.

Walau demikian, Rafaat yang didapati menyalahgunakan dadah Ice ketika itu terpaksa menjalani hukuman lebih 'berat' selepas beliau tidak dibenarkan menjalani sebarang program dalam tempoh hukumannya.

Tidak seperti Hady, atas sebab-sebab tertentu, Rafaat tidak berpeluang menjalani proses pemulihan di luar tahanan dan terpaksa menjalani hukuman setahun penuh dalam penjara.

Salah satu program yang tertera dalam laman Jabatan Penjara Singapura (SPS) bagi fasa pemulihan adalah Program Berlandaskan Masyarakat (CBP) yang "membolehkan banduan sesuai menjalani tempoh terakhir hukuman mereka atau Perintah Tahanan mereka dalam masyarakat, di bawah pengawasan”.

Tempoh tersebut juga "memberi peluang kepada banduan menyepadukan diri semula ke dalam masyarakat secara bertahap-tahap".

Bagaimanapun, tempoh tahanan setahun itu ternyata membolehkan Rafaat lebih mendalami agama selain melihat kehidupan dari sudut yang lebih bermakna.

"Saya bukan seseorang yang betul-betul alim tetapi seluruh saga itu membolehkan saya melihat perkara dan orang dengan lebih baik dan jelas lagi," kongsinya lagi.

HADY MIRZA KINI JADI ‘DUTA’ KASSIMBABA AUTOHUB

Meskipun akur tidak rapat dengan Hady, Rafaat berkongsi pernah bertembung Asian Idol itu di Masjid Sultan beberapa minggu lalu.

"Ambil pengalaman ini sebagai satu rahmat dan bergerak ke hadapan perlahan-lahan. Orang akan membuat membuat ‘hukuman’, itu lumrah manusia. Anda lebih kenal diri anda berbanding orang lain dan Allah lebih Mengetahui,” kata beliau yang akhirnya mengambil keputusan untuk tidak ‘memencilkan diri’ dan keluar berkarya. 


(Gambar: Hady Mirza/Facebook)

Bagi Hady Mirza, langkah beliau untuk kembali ke pangkuan masyarakat nampaknya berjalan baik. Beliau kini bekerjasama dengan rakan artis, iaitu pelakon dan pelawak tempatan Haryani Othman dan menjadi Duta perniagaan KassimBaba Autohub. 

KassimBaba Autohub ialah perniagaan terbaru yang mana Haryani ialah pemilik bersama dan bertindak selaku Pengarah Urusannya. Syarikat itu diasaskan Fauzi Razak. Jelas, Haryani juga masih ‘ingat kawan’ dan ini salah satu sokongannya kepada Asian Idol tahun 2007 itu.  

- BERITAmediacorp/im

Top