Images
  • ziana zain
    Gambar: Ziana Zain/Facebook

'Rumahku, nerakaku ...' dedah Ziana Zain

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Ziana Zain mendedahkan bahawa kehidupannya dengan suami, Armin Zaharin selama ini ibarat hidup dalam neraka.

Malah, menurut Sinar Harian, penyanyi lagu Putus Terpaksa itu mendakwa, seawal empat bulan perkahwinan, beliau sudah terpaksa menanggung penderaan mental bersendirian.

"Tiada siapa tahu kerana saya diajar ibu bapa agar tidak menceritakan hal rumah tangga," kata beliau.

Menurut Ziana Zain, setiap kali selesai bekerja, beliau seolah- olah trauma untuk pulang ke rumah.

"Melihat pagar pun saya dah meraung. Kalau orang lain rumahku syurgaku, tetapi bagi saya dan anak- anak, rumahku, nerakaku," kata beliau sambil menangis.

Ziana berkata bahawa beliau tidak menyangka penderaan mental dihadapinya itu meleret sehingga perkahwinannya mencecah 20 tahun.

"Bayangkan bagaimana saya menghadapinya. Tahap kesabaran saya sudah maksima," kata beliau.

Sinar Harian melaporkan bahawa penyanyi tersebut juga mendakwa suaminya melemparkan kata-kata kurang sopan di mana saja termasuk di tempat awam dan di hadapan keluarga.

"Anak- anak sampai tidak mahu keluar makan bersama Armin kerana malu sekiranya diherdik," kata beliau.

Ziana berkata, di usia 50 tahun, beliau sudah tidak mampu lagi menahan penderitaan itu.

"20 tahun saya berbakti kepadanya. Beri yang terbaik untuk dia. Walaupun bekerja, saya tetap memasak untuknya dan anak- anak.

"Jangan dia cakap saya tidak menjalankan tanggungjawab, tanya diri dia, apa tanggungjawab dia terhadap saya dan keluarga," kata beliau.

Menurut Ziana, anak-anaknya turut menghidapi tekanan akibat perilaku suaminya itu.

"Salah seorang anak terpaksa mendapat rawatan dan dirujuk ke psikiatri selepas menghidapi simptom kemurungan sejak umur 14 tahun," kata beliau.

Tambahnya, anak- anak juga mempersoalkan tindakan bapa mereka.

"Mereka (anak-anak) tanya sampai bila terpaksa menanggung dan menyatakan tindakan Armin tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang bergelar suami atau bapa.

"Mereka beritahu saya, Ma don't died," kata beliau, teresak-esak.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana berkata, sepanjang kehidupan bersama, beliau sentiasa mencukupkan keperluan keluarga tanpa pernah mengungkit.

"Saya anggap ini rezeki, namun apabila dia buat saya macam ini, saya tidak akan tunggu lagi," kata beliau.

Menurutnya, sejak tidak lagi berkhidmat dengan Malaysia Airlines (MAS) tiga tahun lalu, suaminya itu tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Semuanya saya. Dia duduk rumah hisap rokok dan ambil anak sekolah sahaja," kata beliau.

Tambah Ziana, beliau tidak percaya dirinya mampu bersabar sehingga kemuncaknya, lapor Sinar Harian.

"Saya manusia paling sabar kalau orang lain anak pertama boleh cerai, saya boleh tunggu lagi dengan apa yang dia buat kepada saya," kata beliau.

Kata Ziana, ibu dan bapa saudara suaminya itu juga seolah-olah tidak menyangka dengan tahap kesabarannya.

"Kalau mak saudara cakap, kau boleh sabar Rozie? Sabar betul kau Rozie? Jadi maksudnya apa?" tambah Ziana. 

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top