Images
  • w (1)
    (Gambar-gambar: Rosalina Musa) 

Rosalina – selebriti ‘late bloomer’ – imbas saat terperanjat cara layanan peminat Indonesia

BERITAmediacorp: Nama penyanyi dangdut Rosalina sudah dikenali di Singapura. Namun popularitinya selaku seorang artis hanya benar-benar melonjak naik sejak kebelakangan ini, khususnya di Indonesia.

Rosalina kini seorang selebriti terkenal di Indonesia, sebagai pengulas yang diminati ramai di dalam program pertandingan realiti, D’Academy Asia, yang kini memasuki musim keempat (DAA4) dan sedang berlangsung di Indonesia. Malah tagline beliau ‘beri tepukan yang gemuruh’ menjadi ikutan ramai, dan menaikkan lagi nama beliau di persada seni di bumi Indonesia!

Program realiti ini juga antara yang mendapat ratings tertinggi bagi acara hiburan, terbitan stesen televisyen, Indosiar.


Sebelum ini, Rosalina hanya menyanyi di kelab malam. Lapan tahun lalu, beliau berehat untuk menguruskan keluarganya. Bagaimanapun empat tahun lalu – pada usia 44 tahun - ada kejutan besar baginya.

“Bayangkan, ketika menerima undangan untuk ke Indonesia, kira-kira empat tahun yang lalu, ketika itu juga aktiviti nyanyian telah pun saya kurangkan. Pada awalnya, saya kira saya diundang untuk bernyanyi, tetapi rupanya sebagai pengulas. Tentulah saya gembira,” kongsi selebriti berusia 47 tahun itu.

PROGRAM YANG ‘TIADA REHEARSAL’

Suaminya yang bernama Mohd Farid juga menggalakkan dan menyokong penuh agar beliau mencuba tawaran tersebut walaupun perlu berpisah dua bulan bersama keluarga.

“Pada minggu pertama berasa di set tersebut, memanglah saya masih lost! Oleh kerana ini adalah rancangan secara langsung, maka tiada rehearsal dan segala apa yang berlaku di udara, bukanlah adegan yang dibuat-buat!” kongsi Rosalina jujur, yang kini lebih mesra dengan panggilan ‘Kak Rose’ oleh para penggemarnya di Indonesia.

Rosalina menceritakan bahawa senario hiburan di Indonesia cukup besar dan penerimaan peminat terhadap penyanyi juga amat berbeza. Para peminat di sana begitu kagum dan menghormati kerja seni artis itu sendiri, tambah beliau.


Malah akaun Instagram beliau bermula dari 1,200 pengikut. Namun dalam masa hanya empat hari sahaja menjadi pengulas, ia melonjak kepada 100,000 pengikut. Ia menjulang sehingga 1.4 juta pengikut sebelum ia digodam, dan Rosalina perlu membuka akaun baru pada September lalu.

“Penerimaan peminat di sana cukup berbeza. Mereka begitu excited apabila bertemu dengan idola mereka. Contohnya saya sendiri, para peminat akan tarik pipi, beramah mesra dan sebagainya. Pada awalnya memang terperanjat, tapi begitulah cara mereka, memang berbeza di sini,” ujarnya dengan ramah.

Rosalina mungkin boleh dianggap mencapai status ‘bintang’ agak lambat dalam kerjaya seninya, atau ‘late bloomer’. Namun seperti pepatah Inggeris, ‘biar lambat daripada tidak pernah’.

KISAH ROSALINA MENYUSUKAN ANAK ANGKAT

Sejak lima tahun lalu, Rosalina dan suami, Mohd Farid mengambil seorang anak angkat lelaki, Wildan Mohd Farid, kini berusia 5 tahun. Bukan itu sahaja, beliau juga berjaya menyusukan sendiri anak angkatnya, selama tiga minggu penuh dengan bantuan pil hormon yang didapati dari pakar kesihatan.


Rosalina memang tidak pernah menyembunyikan kisah pengambilan anak angkatnya ini, dan bersedia berkongsi kisahnya bersama wartawan. Menurutnya, seperti pasangan lain, beliau suami isteri juga menginginkan zuriat sendiri. Namun kandungan beliau tidak dapat diselamatkan. 

Pada awalnya memang Rosalina sedih dan pasrah. Dipendekkan cerita, mereka kemudian memutuskan mengambil anak angkat tersebut. 

“Walaupun saya tidak melahirkan Wildan, tetapi saya ingin merasakan pengorbanan sebagai seorang ibu, maka dari itu saya telah berusaha untuk menyusukan Wildan sendiri. Saya telah menggunakan pil hormon selama lima minggu, dan berjaya melakukan penyusuan selama tiga minggu, walaupun menahan mabuk yang teruk. Tetapi saya cukup gembira, kerana terlaksana juga impian yang telah saya pendamkan selama ini, Alhamdulliah,” jelas ‘Kak Rose’.


Menurut Rosalina, beliau juga bersikap terbuka terhadap Wildan dan sudahpun memberitahu anaknya tentang status ‘anak angkat’ itu.

“Walaupun Wildan masih kecil, tapi saya tidak pernah sembunyikan kisah sebenarnya. Saya selalu memberitahu Wildan, walaupun saya bukan ibu yang melahirkannya, namun kami berdua menyayanginya dengan sepenuh hati dan kasih sayang ini tidak pernah berbelah bagi,” katanya dengan sebak.  

- BERITAmediacorp/WA/na

Top