Images
  • Chef Wan (6)
    Mesej yang dilekatkan pada pintu restoran Cef Wan. (Gambar: BERITAMediacorp)

Restoran Cef Wan di Esplanade ‘gulung tikar’, hanya setahun beroperasi

BERITAMediacorp: Baru sekitar setahun dibuka, restoran Cef Wan di Esplanade kini sudahpun tutup kedai. Semasa BERITAMediacorp berada di Esplanade lebih seminggu lalu, pintu pagarnya tertutup rapi dan tertera sekeping kertas yang ditampal pada pintunya.

Ia berbunyi: “Closed for business” (Perniagaan ditutup). Pihak kami bertanya kepada kakitangan restoran bersebelahan sama ada restoran Chef Wan’s Kitchen itu ditutup sementara atau atau sudah gulung tikar? Kakitangan berkenaan menjawab dalam bahasa Inggeris bahawa penutupannya “permanent” (kekal).

Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala…. – Cef Wan

Kini jika anda cuba meng-google untuk mencari atau menempah restoran bernama Chef Wan’s Kitchen ini, sebahagian hasil carian akan menunjukkan perkataan “Permanently closed” (Ditutup terus) atau “Closed” (Sudah ditutup). Laman Facebook Chef Wan's Kitchen juga nampaknya sudah ditutup semasa pihak kami cuba mencarinya.


(Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp kemudian langsung menghubungi cef Melayu terkenal itu dan beliau mengesahkan bahawa restoran tersebut sudah ditutup. Ini menjadikannya restoran kedua di Singapura yang dikaitkan dengan Cef Wan, atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, ditutup di Singapura dalam tempoh tiga tahun.

Pada 2016, restoran 1 Market yang terletak di Plaza Singapura, di mana beliau menjadi ‘wajah’ restoran itu, juga ditutup setelah sekitar tiga setengah tahun beroperasi.

MENGAPA CHEF WAN’S KITCHEN DITUTUP?

Ditanya tentang sebab musabab restoran itu, yang pernah dipujinya sebagai “lokasinya bagus”, Cef Wan antara lain menjawab bahawa para tukang masaknya di situ “tidak boleh memasak sepertimana saya lakukan”.


(Gambar: Cef Wan/Instagram)

Ini luahan terus terang Cef Wan: “Saya tidak katakan tukang masak Singapura bagus atau tidak. Cef-cef yang bekerja di situ tidak menghasilkan masakan mengikuti resipi-resipi saya. Pergi bandingkan lontong I dengan lontong dia cukuplah. Bandingkan nasi lemak dia dengan nasi lemak I cukuplah. Berbuih-buih cakap berhari-hari hantar gambar, hari-hari buat macam-macam. Ada di antara mereka pun dah kerja di 1 Market.”

Yang pasti, Cef Wan juga tidak menolak kemungkinan bahawa disebabkan beliau jarang berada di restoran tersebut, kualiti menu-menunya terjejas. Itu kami ajukan dan ini pengakuan beliau:

“Saya tidak tahu. Mungkin juga.”

Difahamkan, Cef Wan menjadi rakan kongsi restoran Chef Wan’s Kitchen yang mula dibuka pada penghujung Julai 2017.

CEF WAN: LOKASI RESTORAN “KURANG MENARIK PERHATIAN”

Dalam panggilan jauh ke Kuala Lumpur itu, Cef Wan turut menyanggah pandangannya tahun lalu tentang lokasi restoran itu yang “bagus”.

“Kami dapati sepanjang kontrak Wan setahun, tempat itu kurang menarik perhatian yang mencukupi. I perasan tempat tu terpencil macam menyorok saja. I rasa tempat tu bukan lokasi yang baik. Kita ambil tempat itu sementara dari pemilik restoran makanan Jepun dan Korean,” jelas cef peramah itu lagi kepada BERITAMediacorp.


(Gambar: Cef Wan/Instagram)

Beliau juga mendakwa bahawa mungkin juga antara sebab kegagalan menarik ramai pelanggan adalah kerana “hiasan dalaman restoran yang sikit lebih kurang”.

“Saya bantu mereka menjalankan tempat itu seketika dengan perabot mereka. Sayang nak buang,” katanya.

Cef Wan berpendapat bahawa memang sukar sekiranya beliau tidak berada di restoran tersebut sepenuh masa untuk memantau sendiri urusan perniagaan restoran tersebut memandangkan beliau begitu sibuk di Kuala Lumpur.

BERITAMediacorp terus menggali jawapan dari beliau. Jika sebelum membuka restoran Chef Wan’s Kitchen dahulu Chef Wan pernah berkata lokasi restoran di Esplanade itu adalah tepat sekali tetapi mengapa kini menjadi lain pula?

“Yang perfect itu ialah Esplanade tetapi ia bukan menjadi isu. Bila masanya dah tiba untuk ditutup, tutuplah. What is the big deal? (Apa masalahnya?) Saya dah beri mereka peluang, beri mereka resipi saya,” kata Chef Wan dalam temu bual eksklusif tersebut.

DAH ADA TAWARAN LAIN BUKA RESTORAN

Chef Wan bagaimanapun berkongsi bahawa beliau tidak merasa rugi apa-apa menandatangani kontrak selama setahun bersama rakan kongsi Singapura untuk Chef Wan’s Kitchen kerana beliau diberi saham percuma sebenarnya.

“Saya rasa itu adalah sesuatu yang bijak. Satu tahun cukuplah untuk tengok prestasi mereka,” tambahnya.


(Gambar: Cef Wan/Instagram)

Beliau turut ditanya apakah perasaannya ketika mengambil keputusan untuk menutup Chef Wan’s Kitchen di Singapura itu. Chef Wan yang dikenali dengan sifatnya yang kelakar itu menjawab dengan penuh selamba:

“Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala. Tak payah tengok macam mana cef-cef Singapura itu nak kena maki hamun siang malam pun tak buat jugak. Sedangkan I buat di Mandarin Oriental Hotel KL hari-hari. 800 orang saya sajikan semua hari-hari tidak ada masalah pun.”

Di tengah-tengah pelbagai persoalan diajukan tentang penutupan restorannya itu, tukang masak yang petah bercakap itu memberikan satu berita lain. Pasti untuk mengimbangi berita buruk penutupan Chef Wan’s Kitchen.

“Dah ada pun orang tawarkan pada I. Pelabur dari Singapura,” dedahnya tentang adanya tawaran untuk membuka sebuah restoran lain di Singapura nanti.

SERIK? MALU? IMEJ CEF WAN TERJEJAS?

Meskipun restoran di Esplanade terpaksa ditutup atas pelbagai sebab, beliau menegaskan tidak pernah serik. Adalah lebih baik untuk menutupnya kerana adat perniagaan adalah ‘you win some, you lose some’.

Katanya lagi: “Jika akan datang ada rezeki, buatlah. Bukan rugi duit I pun. Satu sen pun I tak keluar. Mereka bagi percuma, siapa tak nak?”

Beliau turut ditanya jika penutupan restoran kedua itu akan menjejas imej atau namanya sebagai seorang cef terkenal. Ini jawapan langsung Cef Wan membela dirinya:

“Orang meniaga mana ada serik? Tidak ada apa yang harus dimalukan. Dekat restoran I, imej I bagus. Orang makan masakan I selama empat tahun, tamu-tamu sana sini kata makanan I sedap. Apa nak takut pada imej?”.

- BERITAMediacorp/FH/nk

Top