Images
  • rentas
    Rentas Sastera Nusantara adalah langkah pertama merealisasikan misi martabatkan teater dan sastera Nusantara. (Gambar: @sanggarteaterfauziahnawi/Instagram)

Rentas Sastera Nusantara martabatkan karya sasterawan; turut papar karya Mohamed Latiff Mohamed dari S'pura

KUALA LUMPUR: Pementasan teater hasil karya sasterawan di Nusantara melalui projek Rentas Sastera Nusantara bakal menjulang hasil sastera tempatan ke peringkat global, kata penggiat teater, Fauziah Nawi.

Beliau berkata untuk siri pertama projek tersebut, Stefani Events (Sanggar Teater Fauziah Nawi) bakal bekerjasama dengan Variasi Performing Arts dari Singapura bagi menjayakan persembahan julung kali projek tersebut.

"Kita memilih karya Mohamed Latiff Mohamed dari Singapura bertajuk Bila Rama-Rama Patah Sayapnya manakala bagi pihak Malaysia, kita berbesar hati mempersembahkan nukilan Sasterawan Negara Usman Awang, Dari Bintang Ke Bintang.

"Lebih unik, karya Usman Awang itu akan diarahkan oleh Muhammad Andi Md Zulkepli dari Singapura manakala pengarah teater berbakat negara, Iryanda Muda mengarahkan karya Mohamed Latiff," katanya di sidang media Rentas Sastera Nusantara di Kuala Lumpur hari ini (9 Nov).

Fauziah, yang juga seorang pelakon drama dan filem, menjelaskan projek Rentas Sastera Nusantara adalah langkah pertama mereka dalam merealisasikan misi memartabatkan teater dan sastera di seluruh negara Nusantara.

"Ini juga adalah sebahagian sumbangan pihak kami dalam membantu Malaysia mengukuhkan jambatan persaudaraan di antara negara Nusantara melalui budaya dan kesusasteraan yang berkualiti,” katanya.

"Melalui program seni, persembahan yang sangat baik akan membentuk hubungan diplomatik yang selamat, konstruktif dan positif," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Variasi Performing Arts Singapura, Raja Hamzah Raja Zulkifli berkata, projek itu dapat membantu pengkarya Singapura menghidupkan semula sastera di negara mereka.

"Kita dalam usaha memperkuat konteks penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak seni di Singapura dan langkah pertama ialah menggunakan sastera dalam seni teater.

"Lebih istimewa, projek bersama Stefani Events adalah yang pertama kali dilakukan selepas 18 tahun penubuhan kumpulan seni kami ini.

"Kita harap ia memberi peluang terbaik kepada pengkarya Singapura untuk menonjolkan bakat selain berkongsi naskhah dan bahan-bahan sasterawan antara kedua buah negara," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Sharifulizan Malek berkata, pihaknya akan memberi segala bantuan bagi memartabatkan hasil sastera di negara itu ke peringkat global.

"Teater adalah sebahagian daripada bahasa sastera dan sudah tentu kami akan menyokong dengan memberi segala bantuan yang diperlukan bagi projek sebegini.

"Ini penting agar sastera bahasa Melayu dapat dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Persembahan kedua teater itu akan dipentaskan di Studio Stefani, Ampang bermula 30 November hingga 2 Disember. 

- BERNAMA/AI/ai

Top