Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Rakan-rakan artis sanjung pengorbanan Dayangku Intan derma ginjal

Pengorbanan penyanyi Malaysia, Dayangku Intan kepada suaminya menarik perhatian para netizen, termasuk rakan-rakan artis seperti Nash.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakan-rakan artis sanjung pengorbanan Dayangku Intan derma ginjal

Dayangku Intan dikunjungi rakan-rakan artis ketika di hospital. (Gambar: @kit_entertainment/Instagram)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 08:09PM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 08:19PM

KUALA LUMPUR: Pengorbanan penyanyi Malaysia, Dayangku Intan kepada suaminya menarik perhatian para netizen, termasuk rakan-rakan artis seperti Nash.

Mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada suaminya, Rosman Yalil, merupakan tanda cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi penyanyi era 90-an itu.

Nash turut terharu dengan pengorbanan yang dilaksanakan oleh Dayang, atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid. Astro Awani menukil beliau sebagai berkata: "Berkorban demi suami tercinta, dia adalah wanita yang hebat dan mengagumkan semua orang, termasuklah lelaki seperti saya."

Astro Awani difahamkan bahawa Dayang selamat menjalani pembedahan selama sekitar empat jam di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur bagi mendermakan buah pinggang kanannya kepada suami tersayang kelmarin.

Pada Jun lalu, suami Dayang disahkan mengalami kegagalan fungsi kedua-dua belah buah pinggang.

Nash, yang merupakan ahli Pemegang Amanah YKAT, dan Pengerusi YKAT, DJ Dave melawat penyanyi tersebut di hospital berkenaan semalam (3 Okt).

Kedua-dua penyanyi tersohor itu berkongsi perasaan dengan Dayang, yang disifatkan sebagai artis wanita yang banyak menyumbang kepada bidang kesenian.

"Dayang adalah isteri yang sangat baik dan sangat menyayangi suaminya dan keluarganya. Kita doakan semoga mereka berdua kekal bahagia dalam melayari rumahtangga selepas menjalani pembedahan yang penuh risiko ini."

"Saya percaya pengorbanan kasih yang dilakukan oleh beliau akan menjadi inspirasi kepada ramai lagi wanita di luar sana," kata DJ Dave, seperti ditukil oleh Astro Awani.

Mereka juga menghulurkan sumbangan daripada pihak Yayasan kepada penyanyi berkenaan.

Dayang turut menerima kunjungan daripada Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan