Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Raja Ema mengaku untung berniaga di S’pura, peluang sangat luas

Urusan apakah yang membuat beliau tinggal di Singapura hampir sebulan di sini? BERITAMediacorp sempat bertemu artis tersebut di sini baru-baru ini untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Ema mengaku untung berniaga di S’pura, peluang sangat luas

Raja Ema di gerainya di Singapura (Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 09 Jun 2018 12:22AM Dikemas Kini : 09 Jun 2018 12:57AM

BERITAMediacorp: Pengalaman tinggal di Singapura selama hampir sebulan dalam bulan Ramadan ini cukup menyeronokkan dan berbaloi bagi penyanyi era 1980-an yang turut bergelar pelakon, iaitu Raja Ema.

Di Singapura, penyanyi yang dilahirkan sebagai Raja Ema Raja Ibrahim dan pernah popular dengan lagu Jejaka Idaman itu, turut ditemani kedua-dua anak bujangnya iaitu Putera Amar dan Putera Al Kashah.

Urusan apakah yang membuat beliau tinggal di Singapura hampir sebulan di sini? BERITAMediacorp sempat bertemu artis tersebut di sini baru-baru ini untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai beliau.

BERNIAGA DI GEYLANG SERAI

Dalam pertemuan tersebut, penyanyi yang pernah mendirikan rumahtangga bersama penyanyi Sheqal sebelum ini menjelaskan beliau sebenarnya membuka dua gerai di Singapura untuk menjual produk-produknya. Dalam kesempatan ini, Raja Ema yang membahasakan dirinya sebagai Kak Ema turut membuka gerai di bangunan Wisma Geylang Serai sempena Ramadan ini.

(Gambar: BERITAMediacorp)

“Dah lama sasar nak ambil gerai di Wisma Geylang Serai untuk Raya. Kebetulan pulak ada rezeki untuk sama-sama memeriahkan sehingga 12 Jun ini. Memang havoc-lah (ketawa). Seronok dapat berniaga dan dikelilingi oleh pelbagai gerai makanan di Geylang,” katanya.

Seperti artis-artis lain, artis bersuara manja itu memutuskan untuk berniaga di Singapura setelah melihat sambutan terhadap pelbagai produk-produk langsing untuk wanita termasuk minyak wangi mesra solat diterima dengan baik sejak dua tahun lepas. Minyak wangi yang dicipta khas itu menggunakan nama dari pelbagai lagu-lagu popular beliau seperti Angan-Angan dan Sayang.

“ Memang mula-mula menyanyi dan berlakon adalah utama, berniaga tu kedua. Tapi sekarang dah terbalik. Jadi tumpukan perhatian pada perniagaan. Kak Ema ingatkan peminat dah lupakan kak Ema tapi sebaliknya,” terangnya.

Dalam usianya yang mencecah 50 tahun, beliau tetap menerima undangan berlakon di Malaysia. Kekadang ditawarkan sehingga 20 hingga 30 episod. Namun, disebabkan oleh keseronokannya berniaga di Singapura sejak akhir-akhir ini, beliau terpaksa menolak tawaran-tawaran berlakon itu disebabkan beliau berada di sini selama sebulan.

Ini jelas Raja Ema dengan bersungguh-sungguh: “Bila dapat tawaran berlakon kena fikir betul-betul sebab saya tak nak rasa bersalah. Bila nak berlakon nak ingat dialog. Kita berlakon guna perasaan. Kita tak boleh bagi 100 peratus. Buat saya rasa bersalah jika terima. Tanggungjawab itu tak penuh. Jika dapat 20 sehingga 30 episod. Tak boleh lakukan kedua-duanya. Bulan puasa pun dapat tawaran berlakon. Kalau boleh memang nak semualah (ketawa).”

Raja Ema pernah menjadi duta untuk pelbagai produk kecantikan sebelum ini. Dari situlah ia memberinya inspirasi untuk berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sehingga membawanya ke Singapura.

Raja Ema bersama seorang peminat yang juga menjadi pelanggannya (Gambar: Instagram/Raja Ema)

Raja Ema bersama seorang pelanggan di S'pura (Gambar: Instagram/Raja Ema)


RAJA EMA: PELUANG NIAGA SANGAT LUAS DI S’PURA

Pelakon yang pernah membintangi beberapa buah filem terbitan Indonesia itu turut merasakan bahawa peluang artis berniaga sangat luas di sini memandangkan pembeli khususnya peminat-peminat akan membeli sekaligus menyokong perniagaan artis-artis kegemaran mereka.

“Alhamdulillah, ramai membeli berulang-kali jadi dari situ saya dapat satu lagi idea untuk buat produk-produk untuk wanita berumur 35 tahun ke atas. Bermula dengan satu produk foundation sekarang dah ada pelbagai produk termasuk minyak wangi mesra solat dan biskut raya juga,” katanya.

Raja Ema pernah membuat comeback dengan sebuah single beberapa tahun lepas. Namun buat masa sekarang ini beliau lebih tertarik kepada dunia perniagaan yang membuatnya rasa selesa sangat.

Beliau merasakan artis harus juga mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap pembeli dengan memastikan setiap produk penjualan mereka harus berkualiti supaya peminat tidak rasa tertipu.

“Bukan kerana wang semata-mata. Bila kita ada perniagaan kita perlu bertanggungjawab. Perniagaan memang susah tapi Kak Ema dah suka. Kekadang ada masalah di kilang dan lain-lain. Cabarannya amat berlainan dari nyanyian. Saya masih baru dalam bidang perniagaan jadi baik fokus pada satu dululah,” tambah anak Allahyarham pelawak Yusni Jaafar itu dalam pertemuan tersebut.

SEBENARNYA, UNTUNGKAH BERNIAGA DI S’PURA?

Apakah menguntungkan bagi artis Malaysia berniaga di Singapura daripada menyanyi sendiri, tanya kami kepada wanita peramah itu. Ini memandangkan sudah menjadi trend artis-artis seberang tambak bertandang ke sini untuk berbuat demikian?

“Memang ada untung. Itu yang buat saya sangat terharu. Dah masuk tahun ketiga ni. You tak boleh jual satu produk dan dapat untung terus. Kita perlu melabur dulu, kena pelajari pasaran produk itu dulu. Tengok nasib jugak kerana berniaga satu gamble jugak,” ujar Raja Ema terus terang.

Minyak wangi Raja Ema yang mesra solat antara produk terlaris di Singapura setakat ini sehinggakan golongan muda pun turut membelinya. Kekadang ada juga yang borong terus 10 kotak sempena hari ibu atau hari bapa, cerita beliau.

Untuk kekal diingati oleh peminat, Raja Ema mengakui artis senior sepertinya harus ada sesuatu kelainan agar tetap dihati peminat.

“Kita kena ikhlas dalam setiap perkara yang kita buat, kena ada disiplin dalam apa yang kita buat, kena jaga hati peminat. Disiplin harus dijaga kerana kekadang bila kita terlambat boleh jadi kebiasaan kita. Bila kita lambat, orang tak panggil kita lagi untuk penggambaran sebab orang tak akan suka benda-benda macam ni, kita harus jujur setiap apa kita buat,” katanya.

Raja Ema ketika ditemui di S'pura (Gambar: BERITAMediacorp)

Ini nasihat Raja Ema menerusi BERITAMediacorp bagi mengakhiri wawancara: “Kita tak perlu takut sebab pasaran kita sebenarnya ada jadi kita kena pandai tinjau-tinjau. Kita kena sasar pasaran kita. Macam saya, saya tau pasaran saya. Kita perlu fikir di luar kotak”.

Beliau perasan bahawa pelakon-pelakon muda sekarang ini harus bersaing lebih gigih lagi sesama sendiri untuk mendapat watak sebagi hero atau heroine memandangkan terlalu ramai sangat pelakon yang ada kini.

Untuk Lebaran ini, beliau akan beraya di Penang bersama keluarga. Sempat beliau mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada kesemua peminat serta pembaca portal BERITAMediacorp ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan