Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Raihan Halim kalahkan 4 negara perfileman lebih besar untuk menang Lakon Layar Terbaik

M. Raihan Halim, berjaya meraih anugerah Lakon Layar Asal Terbaik (Best Original Screenplay) dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia bagi drama SR115.

Anggaran Waktu Membaca:
Raihan Halim kalahkan 4 negara perfileman lebih besar untuk menang Lakon Layar Terbaik

Pengarah Kreatif Papahan Film, M. Raihan Halim, diiktiraf di Anugerah Kreatif Akademi Asia. (Gambar-gambar: M. Raihan Halim)

BERITAmediacorp: Pengarah Kreatif syarikat Papahan Films, M. Raihan Halim, berjaya meraih anugerah Lakon Layar Asal Terbaik (Best Original Screenplay) dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia bagi drama SR115 - salah satu anugerahnya yang terbesar di peringkat antarabangsa.

Lebih manis lagi, beliau berjaya mengalahkan lagi empat finalis dari negara lain - India, Indonesia, Malaysia dan Taiwan - yang merupakan antara penerbit besar filem-filem popular Asia.

Anugerah yang dianjurkan buat julung-julung kalinya itu, diadakan di Capitol Theatre, Singapura pada Jumaat lalu (7 Dis).

Majlis penganugerahan itu meraikan karya-karya kreatif dari 20 buah negara di Asia, iaitu Australia, New Zealand, Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Siri drama SR115, yang disiarkan di saluran Suria pada bulan Disember tahun lalu, mengisahkan tentang pesawat SR115 yang tiba-tiba muncul semula setelah hampir 30 tahun hilang dari imbasan radar.

Pada Oktober tahun ini, drama lapan episod itu juga berjaya memenangi Lakon Layar Terbaik bagi kategori Singapura di Anugerah Akademi Kreatif Asia yang diadakan di Cannes, sebelum para pemenang kemudian berentap dengan negara lain bagi trofi emas.

ANUGERAH BUKAN TIKET UNTUK "PELUK TUBUH"

Bagi pengarah muda ini, pengiktirafan terbaru itu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menghasilkan filem-filem dan drama bermutu tinggi.

“Bagi saya, kemenangan ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras. Saya rasa ada pelbagai projek dan idea (yang ada) dan kami mahu menerokainya. Kami akan melakukan yang terbaik. Anugerah ini adalah pengesahan bagi kerja keras yang sudah kami lakukan untuk projek ini. Kami tidak akan berpeluk tubuh hanya kerana kami sudah memenangi anugerah,” tambah Encik Raihan.

Encik Raihan mula melibatkan diri dalam dunia penerbitan filem dan drama sejak tahun 2004 dan setakat ini pengarah muda itu sudah menerbitkan dua buah filem dan lebih 30 drama televisyen. Filem komersil pertama terbitan beliau ialah Banting, pada tahun 2014.

FILEM "PALING SUKAR", "MAHAL"

Anugerah Lakon Layar Asal Terbaik yang baru digenggamnya itu merupakan pengiktirafan ketiga yang diterimanya di peringkat antarabangsa. Di dalam negara pula, beliau sudah menerima lebih lima anugerah.

Tahun lalu, beliau memenangi dua anugerah di Forum Pembiayaan Filem Asia yang diadakan Hong Kong. Menerusi kemenangan tersebut, hadiah wang tunai yang diterima digunakan untuk menghasilkan filem yang bertajuk La Luna yang masih dalam proses penulisan skrip.

Mencerikan tentang drama ‘bertuah’ SR115 itu, Encik Raihan menyifatkannya sebagai satu projek “paling sukar” dan “mahal”. Namun karya unik dengan genre ‘sci-fi’ misteri itu boleh dikatakan berbaloi memandangkan formulanya ‘menjadi’ sehingga mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

“Ini adalah projek paling sukar. Ia amat sulit. Kalau anda tonton cerita ini, kami menggunakan sebuah kapal terbang! Untuk mendapatkan kapal terbang itu sahaja suatu perjalanan yang menarik. Ini adalah projek yang besar bagi kami,” kata Encik Raihan.

BELANJA LEBIH $100,000 GUNA KAPAL TERBANG 5 HARI

Beliau mendedahkan kepada BERITAmediacorp, pihaknya perlu ke negara jiran untuk mendapatkan kapal terbang ‘bertuah’ tersebut. Syarikatnya juga perlu membelanjakan lebih $100,000 untuk menggunakan kapal terbang itu selama lima hari!

“The kapal terbang (itu) dapat dari Malaysia. Kami perlu gunakan CGI (teknologi mencipta imej menggunakan komputer) bagi bahagian luaran kapal terbang tersebut supaya ia kelihatan seperti kapal terbang yang kami inginkan,” jelas Encik Raihan.

Encik Raihan turut mendedahkan beliau mengambil masa antara lapan bulan dengan setahun untuk menulis jalan cerita bagi episod pertama sahaja sebelum menyiapkan skrip bagi keseluruhan drama tersebut.

Drama SR115 itu menceritakan tentang sebuah pesawat yang muncul semula setelah 30 tahun hilang dan bagaimana watak utamanya, Ejen Eliza Abdullah, kemudian memulakan siasatan apabila mendapati hanya tujuh daripada penumpang dan anak kapal itu pulang tanpa sebarang ingatan tentang apa yang sudah berlaku. Malah usia mereka masih sama seperti sewaktu mereka hilang.

FILEM SELANJUTNYA DARI RAIHAN - "IBU" - DITAYANG PERTENGAHAN 2019

Bagi Encik Raihan, kemenangan tersebut bukanlah hanya untuk dirinya mahupun syarikatnya sahaja. Beliau juga menyimpan satu harapan besar untuk melihat lebih ramai pengarah dan penerbit bangkit menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

“Harapan terbesar saya adalah agar ada para penerbit di luar sana yang menonton SR115 dan mahu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kami lakukan. Saya benar-benar berharap ini akan terjadi kerana itu sahajalah caranya untuk kita berkembang,” Encik Raihan memberitahu BERITAmediacorp.

Bagi para peminat filem seram, Encik Raihan berkata mereka boleh menjangkakan filem bertajuk Ibu, lakonan Nur Sabrina Nasir dari Singapura dan Alicia Amin dari Malaysia, yang akan ditayangkan pada pertengahan tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan