Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi U2, Bono, gesa Aung San Suu Kyi lepaskan jawatan

Bono berasa "mual" dengan gambar-gambar pertumpahan darah dan kiris pelarian di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi U2, Bono, gesa Aung San Suu Kyi lepaskan jawatan

Bono bersama Cik Aung San Suu Kyi pada 18 Jun 2012. (Gambar fail: PETER MUHLY / AFP)

Diterbitkan : 29 Dec 2017 09:20AM Dikemas Kini : 29 Dec 2017 09:25AM

NEW YORK: Penyanyi utama kugiran U2, Bono yang juga peneraju kempen yang menyokong pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi semasa beliau ditahan di rumahnya menggesa agar Cik Suu Kyi melepaskan jawatannya. Gesaan itu dibuat menyusuli serangan-serangan berdarah ke atas Muslim Rohingya.

Bono, yang memperjuangkan Cik Suu Kyi menerusi lagu 'Walk On' pada tahun 2000 - dengan para peminat digalakkan supaya memakai pelitup melambangkan perjuangan Cik Suu Kyi yang ketika itu merupakan pihak pembangkang, berkata beliau berasa "mual" dengan gambar-gambar pertumpahan darah dan kiris pelarian di negara itu.

"Saya benar-benar berasa sakit kerana saya seolah-olah sukar untuk mempercayai apakah maksud di sebalik bukti-bukti tersebut. Kecuali terdapat penghapusan kaum," beliau memberitahu majalah Rolling Stone.

"Ia benar-benar sedang berlaku dan saya berasa beliau (Suu Kyi) perlu melepaskan jawatannya kerana beliau tahu semua itu sedang berlaku," kata Bono.

Apabila ditanya lagi dalam wawancara bersama Rolling Stone, Bono berkata: "Beliau sepatutnya, sekurang-kurangnya, lebih bersuara. Jika orang tidak mendengar, lepaskanlah jawatan."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat juga menyifatkan kempen Myanmar terhadap golongan yang tiada kerakyatan, yang sebahagian besarnya Muslim Rohingya, sebagai penghapusan kaum.

Doctors Without Borders menyatakan sekurang-kurangnya 6,700 Rohingya terbunuh pada bulan pertama kempen tersebut dilancarkan sebagai respons terhadap serangan-serangan pemberontak.

Lagi 655,000 Rohingya pula sudah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Cik Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel pada tahun 1991, mendapat sokongan besar daripada kalangan selebriti semasa beliau ditahan di dalam rumahnya sendiri selama dua dekad atas arahan junta tentera Myanmar.

Peralihan Myanmar ke arah demokrasi dan pelantikan Cik Suu Kyi pada tahun lalu sebagai pemimpin de facto pada awalnya menggembirakan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, tetapi selepas itu mereka menjadi marah terhadap sikap beliau yang berat mulut dalam menangani kempen anti-Rohingya itu.

Sesetengah pakar percaya Cik Suu Kyi sudah membuat keputusan terhitung untuk tidak mengambil risiko politik dengan bersuara memandangkan Rohingya dipandang hina di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha dan beliau juga tidak mengawal tentera.

Mengulas lebih lanjut tentang percaturan Cik Suu Kyi: "Mungkin beliau tidak mahu negara itu jatuh semula ke tangan tentera. Tetapi (nampaknya) beliau sudahpun (kehilangannya di tangan tentera), jika berdasarkan gambar-gambar (Muslim Rohingya) tersebut."

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan