Images
  • mustafa ton (1)
    Allahyarham Mustafa Ton bersama artis Nornani Jamil. (Gambar: Roslay Raffie)

Pengasas Variasari, bekas kakitangan Radio Singapura, Mustafa Ton, meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas pengasas dan penerbit majalah Variasari, Datuk Mustafa Ton, 75 tahun, meninggal dunia kira-kira pukul 5.00 petang semalam (31 Dis) akibat jangkitan paru-paru.

Menurut adik Allahyarham, Encik Shaari Ton, arwah abangnya itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court malam kelmarin (30 Dis) selepas mengadu sakit dada.

“Allahyarham juga menghidap penyakit angin ahmar sejak lebih setahun yang lalu. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Ampang Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang untuk dikebumikan.

Allahyarham Mustafa atau nama sebenarnya Muhammad Ton, merupakan bekas Presiden Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) yang mencetuskan idea penganjuran Festival Filem Malaysia yang pertama pada tahun 1980.

Dalam perkongsiannya, Encik Shaari memberitahu bahawa Allahyarham turut menerbitkan beberapa buah filem termasuk Dendang Perantau dan Tuan Badul.

Beliau juga merupakan anak Melayu pertama yang menubuhkan kilang percetakan di Segambut pada tahun 1975 dengan menerbitkan akhbar tabloid Suara Rakyat, dedah beliau.

Mula terlibat dalam bidang seni ketika berkhidmat di Radio Singapura sekitar tahun 60-an, Allahyarham berhijrah ke Malaysia bersama-sama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof untuk mengembangkan karya seninya.

“Pada akhir hayatnya, Allahyarham banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Jakarta, Indonesia.

“Beliau berpindah ke Jakarta lebih 10 tahun yang lalu dan telah menerbitkan majalah Hidayah. Dia (Allahyarham) kembali ke Malaysia kira-kira tiga bulan lepas selepas tahap kesihatannya merosot,” tambah Encik Shaari.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

- BERNAMA/FA/fa

Top