Images
  • wan maimunah
    Wan Maimunah Wan Aziz dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan terkena jangkitan kuman pada paru-paru. (Gambar: jasminhamidjh/ Instagram)

Pelakon veteran Wan Maimunah dikejarkan ke hospital

PETALING JAYA: Pelakon veteran Wan Maimunah Wan Aziz dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan terkena jangkitan kuman pada paru-paru.

Dua tahun lalu, pelakon berusia 65 tahun itu pernah dimasukkan ke hospital atas masalah kesihatan serupa. Beliau turut mengalami jantung bengkak dan mengadu sakit dada pada 2016.

Khabar tentang pelakon veteran itu disampaikan oleh pelakon Jasmin Hamid menerusi Instagram. Jasmin meminta supaya semua pihak mendoakan kesihatan Wan Maimunah.

"Marilah kita sama-sama mendoakan untuk kakakku seniwati Wan Maimunah supaya cepat sembuh," tulis Jasmin seperti ditukil mStar.

"Saya bertanyakan khabar beliau sendiri dan minta izin untuk khabarkan kepada yang mengenalinya bahawa beliau dimasukkan ke hospital kerana penyakit lelah."

Jasmin, 45, turut berharap Persatuan Seniman Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tampil dan menghulurkan bantuan kepada pelakon veteran yang sedang melalui masa-masa sukar.

"Semoga sahabat-sahabat dan pihak Seniman dan Finas dapat membantu meringankan apa yang beliau sedang lalui sekarang... Amin," tulis Jasmin lagi.

mStar melaporkan bahawa pelakon veteran berkenaan gagal dihubungi.

Sepanjang kerjayanya dalam bidang seni, Wan Maimunah berlakon dalam drama-drama dan filem tempatan. Beliau dikenali ramai dengan kebolehannya membawa watak komedi dan antagonis. Kebolehannya itu diiktiraf selepas beliau memenangi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lima tahun berturut-turut dari 1992 hinggalah 1996.

Menurut mStar, Wan Maimunah juga menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin menerusi drama Rumah di Tengah Sawah pada 2002. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top