Images
  • m ramlee
    Pelakon M. Ramlee meninggal dunia pagi Rabu (14 Mac). (Gambar: Petikan skrin video Facebook/ Mediacorp Suria)

Pelakon veteran M. Ramlee meninggal dunia pada usia 71 tahun

BERITAMediacorp: Pelakon drama, pelawak, pengacara dan juga penyanyi era 1970-an, M. Ramlee, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10.56 pagi tadi (14 Mac) di Hospital Universiti Nasional (NUH), pada usia 71 tahun.

Berita sedih pemergian seniman veteran Singapura itu dihebahkan sendiri oleh para anggota keluarganya kepada para kenalan Allahyarham. Anak perempuan M Ramlee misalnya mengirimkan mesej WhatsApp kepada rakan-rakan ayahnya yang berbunyi:

"Assalamu'alaikum wr wb. Dengan dukacitanya kami ingin mengumumkan bahawa ayahanda kami, Ramlee Bin Md Isa (M. Ramlee) telah selamat kembali ke rahmatullah 1056 pagi tadi. Jenazah akan dibawa ke Masjid Pusara Aman untuk diuruskan dan akan disolatkan selepas solat Zuhur. In shaa Allah."

Jenazah Allahyarham sudah selamat dikebumikan pada 4.00 petang tadi.

Antara yang menerima berita tersebut termasuklah pelawak Husin Saaban, yang diberitahu berita hiba itu oleh adik ipar Allahyarham.

"Dia sangat hebat sebagai seorang pelakon dan pengarah, tak kira sama ada di radio, pentas mahupun televisyen. Bagi saya sendiri, dia adalah idola saya sebelum saya terlibat dalam bidang seni, sehingga ingin sangat berlakon dengannya dahulu.

“Apabila saya dapat berlakon buat kali pertama dengannya dalam drama Kelab 2B, saya sanjung dia. Walaupun kami sama-sama tercalon dalam kategori Pelakon Komedi Terbaik bagi Pesta Perdana menerusi rancangan tersebut ketika itu, dan saya menang anugerah itu, saya tetap anggap dia sebagai yang terbaik. Saya tabik dengan lakonan dia,” kongsi Husin.

DIRAWAT DI HOSPITAL LEBIH SEBULAN

Awal dari itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak lebih sebulan lalu, pada 12 Februari, setelah mengalami demam panas yang amat tinggi. Beliau kemudian diletakkan dalam keadaan ‘induced coma’ oleh para doktor (keadaan koma yang sementara) bagi merawatnya.

Dalam laporan awal BERITAMediacorp, Allahyarham sebelum ini diketahui pernah mengalami masalah jantung, tetapi sudah sembuh. Keluarganya juga menyatakan bahawa pelakon Abang Teksi itu tiada sebarang penyakit kronik.

RAKAN ARTIS KONGSI BERITA SEDIH

Beberapa rakan artis juga menyampaikan berita tersebut dan meluahkan rasa sedih di media sosial. Antaranya termasuk pengacara dan pelakon tempatan Khairudin Samsudin.

Dalam catatannya di laman Facebook, beliau antara lain menulis: "Salam takziah buat keluarga Seniman M Ramlee. Seorang seniman yang rendah diri dan tidak lokek berkongsi pengalaman."

Di laman Instagram, pelakon Fir Rahman turut berkata: "Baru terima yang amat mengejutkan sebentar tadi dan malam ni pula ialah episod kami untuk drama Kisah Tok Kadi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Abang M Ramlee dan terima segala amalannya. Amin. Al-fateha."

Pengasas Black Dog Bone, Razzi M dan pelakon Seriwahyuni Jaes juga menyampaikan ucap takziah di laman Facebook dan Instagram.

Seri turut menyatakan bahawa kebetulan babak-babak lakonan Allahyarham dalam siri drama Kisah Tok Kadi 2 akan disiarkan malam ini. Lakonan tersebut dirakamkan pada tahun lalu.

DANA 'KAMI PEDULI' BERI BANTUAN $500 SEBELUM INI

Seorang lagi penggiat seni, Pengurus Besar Life Records, Encik Osman Ariffin juga memberitahu BERITAMediacorp, pihaknya sempat menziarahi Allahyarham di hospital dua minggu lalu dan menyerahkan sumbangan 'Kami Peduli' sebanyak $500 kepada ahli keluarganya.

"Semasa saya menziarah Allahyarham di NUH dua minggu lalu, waktu itu, mereka tidak boleh terima pengunjung. Selain menziarah abang Ramlee di hospital, dana 'Kami Peduli' turut disampaikan kepada anak dan isterinya," kongsi Encik Osman, selaku pengasas dana tersebut.

Beberapa artis lain sebelum ini juga pernah menerima dana berkenaan termasuk Alias Kadir dan Allahyarham M. Ishak.

Dalam laporan BERITAMediacorp sebelum ini, keluarganya pernah berkongsi tentang perawakan pelakon yang mudah didampingi itu.

Salah seorang anaknya memberitahu BERITAMediacorp bahawa bapa mereka seorang yang privet dan suka menghabiskan masanya bersama keluarga di rumah. Jika tidak berlakon, beliau hanya akan bekerja secara sambilan.

M. Ramlee mempunyai empat orang anak dan lima orang cucu. Beliau menetap di Jurong West bersama keluarganya.

Dilahirkan pada tahun 1946 di Melaka, Malaysia, beliau pernah terkenal sebagai hos mingguan dalam rancangan hiburan suatu ketika dulu. Lagu hits beliau, Hari Lebaran dan lagu malar segar berjudul Ingin Tahu bersama penyanyi veteran Sanisah Huri, masih lagi diminati hingga kini. 

(Dua perenggan daripada versi awal yang mengandungi komen Encik Abdul Malik Abdul Hamid telah digugurkan atas permintaan keluarga.)

- BERITAMediacorp/im

Top