Images
  • seri dewi 1
    Pelakon Jalan Ampas, Seri Dewi. (Gambar: Ismawati Ismail)

Pelakon Jalan Ampas, Seri Dewi meninggal dunia

BERITAMediacorp: Seorang bekas veteran dari zaman studio Jalan Ampas, Seri Dewi - yang pernah membintangi filem popular ‘Sumpah Orang Minyak’ - meninggal dunia di Hospital Besar Changi pada usia 79 tahun.

Seri Dewi atau nama sebenarnya, Tengku Azizah Tengku Ariffin, berpulang semasa azan Maghrib malam semalam (11 Jun).

Jenazahnya akan bertolak dari rumah anaknya, di Tampines Street 86, sekitar jam 10.00 pagi nanti (Selasa, 12 Jun). Jenazah akan disolatkan di Masjid Pusara Aman dan dikebumikan selepas itu.

(Gambar fail: Musika Malaya's Early Music Scene/Hitam Putih/Facebook)

BERITAMediacorp difahamkan, Allahyarhamha menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk pneumonia atau paru-paru berair. Seri Dewi punyai empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan. Ayah beliau, Tengku Ariffin, juga merupakan keturunan dari kerabat diraja Perak. Ibu Seri Dewi pula berasal dari Kelantan.

Anak sulungnya, Cik Farhana Amir, 55 tahun, semasa dihubungi BERITAMediacorp berkata, ibunya menghembuskan nafas yang terakhir, di bilik hospitalnya ketika umat Islam dan sanak saudara yang lain sedang berbuka puasa, pada jam 7.12 atau 7.13 malam tadi.

“Ketika azan Maghrib masih lagi berkumandang di radio, dan pembantu yang berada di sisinya masih lagi berbuka puasa, kami diberitahu tentang pemergiannya. Ketika itu, kami anak-beradik semua dalam perjalanan hendak ke hospital.

“Memang sedih, dan terkejut, kerana Syawal bakal menjelma, dan Mama (panggilan untuk Seri Dewi) telah meninggalkan kami semua,” ujar Cik Farhana dengan sebak.

Seri Dewi bersama (dari kiri) seniwati Cik Rahmah Hassan, penyanyi Kamaliah Latiff dan penulis lirik mapan, Yusnor Eff. (Gambar: Ismawati Ismail)

Kami diberitahu, sebelum terkenal di layar perak, Seri Dewi merupakan seorang model dan pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik di Singapura ini. Bakatnya kemudian dikesan oleh pelakon dan pengarah serba boleh, P. Ramlee.

Malah, filem pertamanya, Sumpah Orang Minyak yang dibintangi bersama seniman agung tersebut, bertanggungjawab menaikkan lagi nama Seri Dewi ke persada seni lakonan. Beliau memegang watak Afida dalam filem tersebut.

Cik Farhana memberitahu pihak kami bahawa ibunya mula berlakon pada tahun 1958, dan membintangi sebanyak lima filem bersama Shaw Brothers (Malay Film Productions), antaranya, filem Mas Merah dan Lampong Karam.

Menurutnya lagi, ibunya juga terkenal dengan sikap dermawannya dan sangat suka membantu ketika ada kenalan atau saudara-mara berada dalam kesusahan.

“Mama merupakan seorang ibu yang garang, tapi garang yang bertempat. Beliau tidak lokek dan selalu bermurah hati dan bersedia menolong rakan-rakan dan sanak saudara dengan ikhlas. Padanya, semua orang saudaranya, sehinggakan pembantu rumah disuruh memanggilnya ‘Mama’ kerana padanya semua dari kita adalah sama, tiada bezanya,” cerita Cik Farhana kepada BERITAMediacorp. 

- BERITAMediacorp/WA/aq

Komen Anda?

Top