Images
  • fizo
    Isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim selamat melahirkan anak perempuan mereka pada jam 4.01 petang Jumaat (29 Dis). (Gambar: Instagram/ Fizo Omar)

Pelakon Fizo Omar bergelar ayah selepas 4 tahun dirikan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Melihat sendiri proses kelahiran anak sulungnya, pelakon Fizo Omar memberitahu, sehingga kini beliau bagaikan tidak percaya sudah bergelar seorang ayah.

Menurut Fizo dalam catatan di Instagram, isterinya, Mawar Abdul Karim selamat melahirkan anak perempuan mereka seberat 2.78 kilogram melalui proses pembedahan di sebuah hospital swasta pada jam 4.01 petang Jumaat (29 Dis).

“Semasa mengiringi Mawar ke bilik bedah pun saya sudah menangis sebenarnya, melihat proses kelahiran anak kami membuatkan saya betul-betul bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

“Akhirnya selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Allah tahu ini adalah waktu terbaik untuk kami menjadi ibu bapa pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Kongsi Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizul Wan Omar, 32, seperti ditukil Utusan Online, beliau juga mahu berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan kebahagian keluarganya.

“Terima kasih kepada mereka yang terus mendoakan kami.

“Alhamdulillah anak dan isteri saya sihat. Dan kini bermula fasa baru untuk kami suami isteri,” katanya gembira.

Bakal mengumumkan nama anaknya dalam waktu terdekat, Fizo berkongsi dengan Utusan Online setakat ini beliau sudah menyiapkan satu program khas dalam membantu ibu bapa mendidik anak mereka dengan bantuan beberapa pakar.

“Sebenarnya syarikat produksi sudah menyiapkan satu program khas yang akan disiarkan tidak lama lagi. Dalam program ini juga penonton dalam melihat sendiri perjalanan kami sebagai bakal ibu bapa dari hari pertama Mawar disahkan mengandung.

“Insya-Allah jika tiada apa-apa nama anak saya akan diumumkan tidak lama lagi,” tambahnya.

- Agensi berita/IM/im

Top