Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon A. Mahady sudah 8 hari masuk hospital, jalani 2 pembedahan

Pelakon veteran terkenal di Singapura dan Malaysia, A. Mahady dimasukkan ke Hospital Besar Changi (CGH) sejak lapan hari lalu akibat penyakit tiroid (thyroid) yang dialaminya. Beliau setakat ini sudah menjalani dua pembedahan demi menghapuskan dan mengeluarkan kelenjar tiroid di lehernya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon A. Mahady sudah 8 hari masuk hospital, jalani 2 pembedahan

Pelakon veteran A. Mahady dimasukkan ke CGH akibat penyakit tiroid yang dialaminya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 10 Sep 2018 11:35PM Dikemas Kini : 10 Sep 2018 11:53PM

BERITAmediacorp: Pelakon veteran terkenal di Singapura dan Malaysia, A. Mahady dimasukkan ke Hospital Besar Changi (CGH) sejak lapan hari lalu akibat penyakit tiroid (thyroid) yang dialaminya. Beliau setakat ini sudah menjalani dua pembedahan demi menghapuskan dan mengeluarkan kelenjar tiroid di lehernya.

Mahady menjalani pembedahannya yang pertama pada 3 September lalu. Namun keadaan agak mencemaskan ketika itu kerana beliau terpaksa dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU), akibat darah tinggi yang melampau.

Setelah darah tingginya stabil, pembedahan dilakukan dan ia mengambil masa selama lapan jam. Pembedahan kedua dijalankan sehari kemudian.

A. Mahady atau nama sebenarnya Mahad Mohd Amin, 68 tahun, kelihatan sedikit lemah namun ceria apabila wartawan BERITAmediacorp melawatnya hari ini (10 Sep). Beliau terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu kerana masih belum pulih sepenuhnya.

Menurutnya, hanya makanan berasaskan cairan yang boleh ditelannya buat masa ini. Pita suaranya juga terjejas buat masa ini dan pelakon tersebut sukar untuk berbicara dengan sempurna.

Pelakon A.Mahady dirawat di hospital. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

A. Mahady bagaimanapun dijangka dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa (11 Sep). Namun pemulihannya pasca pembedahan dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan. Lantaran itu, semua kerja seninya terpaksa ditangguhkan dahulu kerana beliau perlu berehat secukupnya di rumah nanti.

TIBA-TIBA “SUARA AKAN BERTUKAR MENJADI KASAR”…

Menurut A.Mahady sejak setahun yang lalu, beliau beberapa kali pergi ke hospital untuk menjalani pelbagai pemeriksaan seperti CT-Scan atau prosedur lain, sebelum didapati mengalami penyakit tiroid ini. Ekoran dikesan awal, keadaan dirinya stabil dan masih boleh dikawal, ujar beliau lemah lembut yang tidak lama dahulu terkenal sebagai ‘Anje’ – watak dalam drama popular Mengejar Mentari.

Kini Mahady merayu kepada rakan-rakan yang lain agar usah takut untuk berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan secepat mungkin, jika mereka melihat tanda-tanda tidak sihat atau kurang menyenangkan.

“Saya dapat merasakan kelainan pada diri, terutamanya di bahagian suara dan kerongkong. Suara akan bertukar menjadi kasar, dan serak-serak secara tiba-tiba. Walaupun tanpa demam dan simptom lain, saya tetap pergi ke hospital untuk mendapatkan kepastian, atau setidaknya boleh mengetahui pengesanan awal,” kongsi A. Mahady lagi kepada BERITAmediacorp.

“Sebab, banyak penyakit kronik tiada simptom awal, jadi pemeriksaan yang rapi adalah salah satu pencegahan yang terbaik bagi kita semua.”

A MAHADY – ARTIS SERBA BOLEH, PERNAH JADI MODEL IKLAN

A. Mahady merupakan seorang seniman sepenuh masa dan juga merupakan seorang penyanyi, pengacara dan juga pernah menjadi model iklan sekitar tahun 1970-an. Beliau juga pernah merakamkan album penuh (10 lagu) pada tahun 1987 berjudul ‘Senandung Silam’ bersama Suraya Ismail, terbitan Aidani Productions.

Walaupun sudah dikira sebagai warga senja, namun datuk kepada enam cucu ini tetap nampak segak dan tampan. Beliau juga kelihatan lebih muda dari usia sebenarnya, ini kerana gemar bersukan dan beriadah bersama teman-temannya.

A. Mahady masih mengamalkan senaman berjalan pantas dan masih bermain golf di Johor Bahru setiap bulan. Beliau sudah bermain golf lebih 30 tahun dan mempunyai handicap di antara 16 hingga 18.

“Saya berharap anda semua boleh mendoakan kesembuhan saya, dan semuga kita semuga diberikan kesihatan dan kecergasan yang baik, agar dapat menjalani kehidupan ini dengan sempurna,” kata ayah tiga orang anak ini dengan perlahan.

Pelakon Habibah Haron (kiri) bersama A. Mahady. 

Salah seorang rakan seni yang datang melawat A. Mahady ialah Habibah Haron. Beliau berharap agar A. Mahady akan cepat sembuh dan dapat kembali menghiburkan para peminatnya serta merancakkan lagi industri di Singapura ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan