Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pegawai polis nafi reka keterangan ditampar, dimaki hamun Farid Kamil

Anggota polis yang membuat aduan terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari, menafikan keterangannya hanya rekaan semata-mata. Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24 tahun, sebelum ini mendakwa Farid Kamil mengeluarkan kata-kata kesat dan menamparnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis nafi reka keterangan ditampar, dimaki hamun Farid Kamil

Farid Kamil pada Jan 18 semasa masih ditahan polis. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Dec 2018 09:49AM Dikemas Kini : 15 Dec 2018 09:53AM

PETALING JAYA: Anggota polis yang membuat aduan terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari, menafikan keterangannya hanya rekaan semata-mata. Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24 tahun, sebelum ini mendakwa Farid Kamil mengeluarkan kata-kata kesat dan menamparnya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid, bahawa sekiranya perkataan yang dikeluarkan Farid terhadapnya bukan fakta penting, mengapa tidak dimasukkannya dalam aduan polis yang difailkan terhadap pelakon itu.

Encik Muhammad Nizam yang merupakan saksi pendakwaan kedua berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam itu pada perbicaraan kes Farid yang menghadapi empat pertuduhan jenayah di Mahkamah Majistret semalam (14 Dis).

Merujuk kepada aduan polis yang dibuat oleh Encik Muhammad Nizam yang ketika kejadian bertugas sementara di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Encik Megat Syazlee berkata tidak ada frasa di dalam aduan berkenaan yang menyatakan Farid mengeluarkan kata-kata "Polis jahat, polis bodoh" dan "Hang tau aku sapa?" terhadapnya.

Berikut sebahagian perbicaraan antara peguam Farid dengan pegawai polis tersebut.

Megat Syazlee: Ini aduan polis yang dibuat oleh kamu, betul?

Muhammad Nizam: Ya, betul.

Megat Syazlee: Ada atau tidak fakta mengenai "Hang tau aku sapa?" dan "Polis jahat, polis bodoh" di dalam laporan ini

Muhammad Nizam: Tiada.

Megat Syazlee: Setuju dengan saya bahawa sekiranya perkataan tersebut merupakan fakta penting, ia perlu berada di dalam laporan kamu?

Muhammad Nizam: Tidak setuju.

Encik Muhammad Nizam bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kata-kata kesat yang dikeluarkan terhadapnya adalah tidak penting.

Ini meskipun beliau akur dengan cadangan peguam itu bahawa tiada aduan tambahan yang dibuat olehnya untuk menambah fakta memaki hamun tersebut walaupun beliau boleh membuat aduan tambahan dengan memasukkan fakta yang tertinggal.

AKUR TIADA BUKTI MENCUKUPI

Encik Muhammad Nizam tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pernyataan "Hang tau aku sapa" dan "Polis jahat, polis bodoh" hanya wujud pada hari perbicaraan (di mahkamah) dan turut menafikan keterangannya mengenai pernyataan itu hanya direka-reka olehnya.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, Encik Muhammad Nizam mengakui tidak membuat aduan tambahan mengenai kata-kata kesat itu kerana berpendapat tiada keperluan untuknya membuat demikian.

Tambahnya lagi, beliau tidak bersetuju perkataan tersebut hanya wujud pada hari perbicaraan kerana ketika kejadian, hanya Farid sahaja yang bertindak agresif dan terjerit-jerit di dalam Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Encik Muhammad Nizam turut bersetuju bahawa tiada sebarang bukti fizikal yang menunjukkan beliau ditampar oleh Farid kerana ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di balai polis trafik tersebut selain gambarnya yang diambil tidak menunjukkan sebarang kesan lebam di pipi kirinya.

Pada 16 Jan lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 1.00 tengah hari, 11 Jan lalu.

Kes akan disebut semula pada 14 Jan 2019 di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan