Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nasir Jani sokong saman terhadap pencetak rompak Munafik 2

Tindakan pengarah filem Syamsul Yusof terhadap individu yang didapati melakukan cetak rompak adalah sesuatu yang disokong oleh para penggiat seni. Pengarah filem terkenal, Nasir Jani, mengongsi demikian kepada Astro Gempak.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasir Jani sokong saman terhadap pencetak rompak Munafik 2

Pengarah filem terkenal, Nasir Jani. (Gambar: Nasir Jani/Facebook)

Diterbitkan : 20 Nov 2018 09:22AM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 09:32AM

KUALA LUMPUR: Tindakan pengarah filem Syamsul Yusof terhadap individu yang didapati melakukan cetak rompak adalah sesuatu yang disokong oleh para penggiat seni. Pengarah filem terkenal, Nasir Jani, mengongsi demikian kepada Astro Gempak.

"Ini benda baru, bermakna mereka melakukan cetak rompak dalam platform digital. Ramai penggiat seni sebenarnya tidak tahu sangat mengenai kejadian seperti ini, jadi bagus Syamsul mengambil tindakan tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Syamsul menang kes tuntutan saman terhadap seorang individu yang didapati bersalah kerana bertindak memuat naik filem Munafik 2 secara haram di media sosial dan diperintah oleh mahkamah untuk membayar RM100,000 (S$32,730).

Tindakan Syamsul turut menjadi kesinambungan kepada perjuangan penggiat seni terdahulu yang tidak putus asa membanteras isu cetak rompak, ujar Nasir.

"Jika dulu, sudah berapa bilion Ringgit Malaysia kita sudah rugi sejak zaman Tan Sri P Ramlee dibandingkan RM100,000 (S$32,730) yang dikenakan terhadap pesalah mengikut undang-undang," katanya.

Beliau akur bahawa sebelum ini, para penggiat seni tidak pernah mendapat apa jua bayaran denda daripada penjenayah cetak rompak.

Nasir sudah berusaha membanteras isu cetak rompak sejak zaman 1980-an. Malah, usahanya masih lagi berterusan sehingga beliau menghasilkan buku tulisannya sendiri berjudul Cetak Rompak Kepala Bapak, lapor Astro Gempak.

"Kita tidak mahu kerajaan sekarang memberi muka pada lanun cetak rompak. Selepas kes Syamsul ini, kita tunggu pula tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam terus menangani isu cetak rompak.

"Kita belum ada akta khusus yang melawan cetak rompak dalam bentuk digital. Jadi, pada siapa saja yang menjadi pengerusi FINAS atau ketua pengarah diharapkan agar dapat membawa usul ini sehingga ke parlimen," katanya.

Nasir turut menyarankan peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya mempunyai seorang timbalan menteri kedua yang khusus bagi menjaga hal ehwal berkaitan filem dan muzik.

"Sepatutnya FINAS juga mengawal selia muzik tapi akta itu tergantung, tidak diluluskan dan tidak dibahaskan," katanya, seperti yang dipetik Astro Gempak. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan