Images
  • najip
    Personaliti tempatan Najip Ali. (Gambar: Petikan skrin video 938LIVE)

Najip Ali akhirnya buka mulut, kongsi 4 iktibar dari insiden ‘hina’ Najib Razak

BERITAMediacorp: Tahun 2017 satu tahun yang kontroversil bagi Najip Ali. Anda pasti tahu kenapa. Namun beliau mahu menutup tahun lalu dan memulakan 2018 ini dengan berkongsi 4 iktibar bersama para pembaca BERITAMediacorp.

Pada April tahun lalu, Najip dikritik hebat di Malaysia. Keadaannya berkecamuk dan tegang. Manakan tidak, Najip Ali teruk dihentam berhubung insiden kontroversil melibatkan komen-komen yang tidak berhemah berhubung Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Apabila mereka dihina, apabila ia berlaku kepada keluarga anda, hati anda turut terluka ... lebih penting bagaimana untuk tidak membuat perkara itu menjejas keluarga anda.   - Najip Ali

Najip ketika itu juga menganggotai panel juri bagi Maharaja Lawak Mega 2017. Lantaran itu, ada pihak yang membangkitkan lagi kemarahan dengan menimbul lagi isu bakat Singapura yang 'cari makan' di Malaysia. Najip kemudian digantikan oleh Aznil Nawawi semasa pertandingan itu masih berlangsung.

Bagaimanapun, di tengah-tengah segala perselisihan faham, emosi yang bercampur-baur dan perdebatan hangat di dunia maya, Najip memilih untuk berdiam diri dan tidak cepat melatah. Pengacara, penerbit dan personaliti mapan yang sudah 27 tahun berpengalaman dalam bidang seni tanah air itu mengambil langkah memohon maaf bagi memulihkan keadaan.

BERITAMediacorp mencungkil pemikiran Najip sepanjang insiden berkenaan dan bersama-sama mencari iktibar di sebalik pengalaman yang membuka mata itu sempena tahun baru ini.

Najip memberitahu BERITAMediacorp: "Tak ramai orang yang dapat berada dalam situasi yang genting seperti ini – liputan dalam berita, orang mengutuk, mak bapak dikutuk, kawan jadi lawan - ia suatu yang sukar. Bayangkan jika anda berada dalam posisi saya. Tapi soalan yang sangat penting untuk ditanya adalah apa yang telah saya pelajari dari pengalaman ini.”

Ini ‘buah tangan’ Najip yang dikongsinya sebagai iktibar untuk para artis lain.

IKTIBAR 1: JAUHI DIRI ANDA DARI MEREKA YANG BEREMOSI

Dalam menghadapi kesulitan tersebut, Najip berkongsi salah satu perkara yang harus dilakukannya pada detik itu adalah untuk menjauhi dirinya dari mereka yang penuh beremosi.

"Apabila seseorang itu beremosi, tidak jelas sama ada mereka sedang cuba membantu saya atau meluahkan perasaan yang terpendam. Jauhi atau hindarilah diri daripada mereka yang berperasaan tinggi," kata Najip.

Ternyata, dengan berbuat demikian, individu yang terlibat juga tidak terbawa-bawa dengan perasaan dan melakukan atau mengatakan sesuatu secara melulu. Malah, dalam situasi tegang seumpama itu, tentu ada baiknya jika individu tersebut mencari kelapangan minda daripada membalas pelbagai reaksi yang boleh memudaratkan keadaan.

IKTIBAR 2: KELILINGI DIRI DENGAN MEREKA YANG LEBIH BIJAK

Malah, Najip menjelaskan bahawa juga banyakkanlah meminta pendapat daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman dalam menangani krisis sedemikian.

"Kelilingi diri anda dengan orang-orang yang lebih bijak daripada anda. Bagi saya, seperti peguam, pakar pegawai perhubungan awam dan wartawan, yang lebih bijak dan pandai daripada anda."

Yang jelas, mereka yang lebih mahir dapat memberikan sudut pandangan yang membawa manfaat dan nasihat yang wajar bagi mereka yang terpalit dalam situasi genting seumpama itu.

IKTIBAR 3: ELAK BACA PERKARA NEGATIF

Pastinya juga, sepanjang kemelut itu, akan terselit beberapa kata motivasi daripada netizen. Bagaimanapun, pelbagai tohmahan juga tentu akan dilemparkan terhadap individu yang disasarkan itu.

Mujur, Najip memilih untuk menjernihkan keadaan dan tidak mengendahkan kata-kata negatif yang banyak dihamburkan di media sosial.

"Dalam dunia digital, jangan membaca perkara yang negatif tentang diri anda. Jangan sekali-kali, kerana anda tidak boleh membuat keputusan wajar dan jelas apabila apa yang anda baca itu adalah negatif," tegas Najip kepada BERITAMediacorp.

IKTIBAR 4: KEMBALI KEPADA PRINSIP, NAWAITU

Di kala seseorang itu berada dalam keadaan genting yang melibatkan banyak pihak dari dua negara, ia ternyata bukan perkara yang mudah bagi Najip. Malah di saat tertekan itu juga, seseorang itu mungkin mempunyai pilihan sama ada untuk menyerah kalah ataupun mengumpul semangat dan kekuatan bagi terus memberanikan diri dalam menangani isu tersebut.

Yang pasti, Najip membuat keputusan untuk kembali ke niat asalnya mengapa beliau melibatkan diri dalam persada seni.

"Buat keputusan anda sendiri. Dengar nasihat orang yang lebih bijak dan kembali kepada nilai dan prinsip anda, tentang mengapa anda lakukan apa yang anda lakukan. Saya berada di sini bukan sebab glamor. Saya lakukan ini kerana saya mempunyai minat yang mendalam. Saya bersyukur dapat melakukan apa yang saya lakukan ini. Ini semua didorong oleh nawaitu," kata Najip.

"Najip Ali okey. Episod ini akan berlalu dengan baik," jelasnya lagi.


(Gambar: Najip Ali)

GOLONGAN PEMINAT, KELUARGA BANYAK MEMBANTU

Bagaimanapun, menurut Najip, apa yang banyak membantunya pada ketika itu adalah golongan peminatnya dari Singapura dan Malaysia.

"Apabila ada orang yang menyokong, ia menunjukkan anda berada di landasan yang betul. Apabila anda bertindak wajar, secara semula jadi anda akan bangkit. Begitulah bagaimana saya menanganinya."

Namun, Najip akur bahawa detik paling sukar adalah apabila keluarga terutama sekali adik-beradiknya juga terkena tempias isu tersebut.

"Apabila mereka dihina, apabila ia berlaku kepada keluarga anda, hati anda turut terluka. Perihal isu itu, saya akan tanganinya sendiri, tetapi lebih penting bagaimana untuk tidak membuat perkara itu menjejas keluarga anda.

"Akan ada suara-suara yang kurang enak didengar. Tetapi di penghujungnya, keluarga tetap adalah yang terbaik. Sahabat-sahabat memberikan asas baik dan sebuah keluarga hebat pula memberikan kasih sayang, perhatian dan dorongan," kata Najip mengimbas kembali keadaan tersebut.

NAJIP: SAYA SAYANG NEGARA INI, SAYALAH BUDAK ASIA BAGUS ITU

Meskipun banyak menerbitkan rancangan di Singapura, seperti Gara-gara Nurul & Shahril yang kini ditayangkan, Najip juga pernah menerima tawaran pengacaraan di seberang, sebelum berlakunya insiden berkenaan. Adakah Najip ingin menebarkan sayap dan terus mencari peluang di Malaysia?

Ini luahan Najip kepada BERITAMediacorp: “Rezeki ada di mana-mana. Saya tidak mahu berhijrah kerana saya sayang negara ini. Saya adalah diri saya sekarang disebabkan masyarakat saya.

"Saya Najip Ali, budak Singapura itu, budak Asia Bagus itu, ikon di televisyen itu disebabkan masyarakat saya. Ia semua kembali kepada bagaimana anda mentakrifkan kejayaan. Kejayaan bagi saya adalah untuk dapat melakukan apa yang saya cinta dan cinta apa yang saya lakukan. Itu sudah cukup baik.”

Biarpun mempunyai sumber terhad dan golongan peminat kecil di Singapura disebabkan geografi negara ini, Najip tetap memandang ‘masalah’ itu secara positif dan memanfaatkan setiap peluang yang dapat diraih di tanah air ini.

"Di sinilah saya dapat benar-benar menjadi kreatif. Had negara ini menjadi pengembangan daya kreativiti saya. Mencari jalan dengan menyepadukan had yang ditetapkan adalah lebih sukar berbanding kebebasan untuk melakukan apa sahaja.

"Apabila terdapat had, anda mencabar diri anda sendiri. Penat tapi apabila anda bangun setiap pagi, Alhamdulillah, saya seronok melakukan apa yang saya cinta," jelas Najip, yang belum menerima tawaran di Malaysia setakat ini sejak berlakunya insiden tersebut.

Hakikatnya, tahun 2017 ujar Najip, adalah tentang cerminan diri, tentang penilaian diri dan keberanian bagi dirinya.

“Yang pasti, barang yang lepas of course jangan dikenang, for sure! Apa yang tidak membunuh anda membuat anda menjadi lebih kuat," hujah Najip dengan tiupan semangat baru. 

- BERITAMediacorp/im

Top