Images
  • aac2
    Sesi bersama para pelakon Ayat-Ayat Cinta 2

Muhammadiyah, Jamiyah Darul Takrim, Jamiyah Darul Islah tetamu khas tayangan perdana Ayat-Ayat Cinta 2

SINGAPURA: Sekitar 100 tetamu khas dari Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Rumah Jamiyah Darul Takrim dan Rumah Tumpangan Jamiyah Darul Islah diundang bagi menyaksikan tayangan perdana Ayat-Ayat Cinta 2 di Hab Tampines Kita, siang tadi (7 Jan).

Kisah cinta agung di layar perak itu adalah hasil karya penulis prolifik Habiburrahman el Shirazy.

Filem termahal Indonesia ini turut mengetengahkan beberapa isu yang relevan dalam konteks kehidupan hari ini.

Hab Tampines Kita digegarkan dengan sorakan para peminat Ayat-Ayat Cinta 2 yang mengadakan tayangan perdananya di Singapura, siang tadi.

Ada yang tiba seawal 10.00 pagi bagi menantikan ketibaan para pelakon kesayangan mereka yang beraksi dalam sekuel Ayat-Ayat Cinta, filem pecah panggung yang dihasilkan hampir sedekad lalu.

Ayat-Ayat Cinta 2 menampilkan beberapa muka baru seperti pelakon seberang tambak, Bront Palarae.

"Kalau kita tonton filem pertama, ia lebih menghampiri kisah cinta daripada sudut yang lebih kita tahu, percintaan lelaki dengan perempuan. Tetapi, kali ini tema cinta itu dikembangkan lebih besar, lebih universal, lebih sejagat. Cinta yang kita dapat tengok itu, cinta itu daripada pelbagai lapis dan kita juga selain mengangkat isu-isu semasa yang sebelum ini kita dapat melihat berkembang," kata Bront Palarae.

Tayangan perdana Ayat-Ayat Cinta 2 lebih istimewa dan bermakna dengan kehadiran sekitar 100 tetamu khas dari Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Rumah Jamiyah Darul Takrim dan Rumah Tumpangan Jamiyah Darul Islah.

Nilai-nilai yang dipaparkan dalam filem susulan ini juga bersifat universal. Unsur-unsurnya juga relevan dengan konteks kehidupan masa kini dan boleh dijadikan sebagai iktibar oleh generasi muda.

"Apa yang mereka akan pelajari selepas ini, isu-isu bertolak ansur, isu-isu bersimpati, yang membawa jiwa ketenangan. Selepas acara ini, mereka akan mengadakan sesi refleksi, bagaimana mereka akan melalui hidup di rumah masing-masing nanti sebagai seorang ayah, seorang anak, seorang suami, dan juga adik-beradik yang lain. Jadi, saya rasa ini amat penting," kata Pengarah Eksekutif Darul Islah, Mohd Shariff Mohd Yatim.

"Untuk generasi muda yang pertama itu belajar untuk mencintai sesama walaupun ada latar belakang yang berbeza. Dan, jangan pernah berhenti belajar, menuntut ilmu. Seperti Fahri yang orang Indonesia, dia menuntut di Mesir, mengajar di Scotland. Mereka harus, cita-citanya harus besar, jangan hanya di negara sendiri tetapi melebarkan sayap ke luar negeri," kongsi pelakon Fedi Nuril. 

- BERITAMediacorp/fa

Top