Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mengharukan apabila melihat Alias Kadir sebak, menitiskan air mata

Pernahkah anda melihat dan mendengar pelawak Alias Kadir sebak dan sedih menitiskan air mata? Ramai pastinya tidak pernah melihat sudut tersebut dari riak wajah Alias Kadir. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Apr 2017 01:24AM Dikemas Kini : 21 Apr 2017 10:32AM

BERITAMediacorp: Pernahkah anda melihat dan mendengar pelawak Alias Kadir sebak dan sedih menitiskan air mata? Ramai pastinya tidak pernah melihat sudut tersebut dari riak wajah Alias Kadir.

Namun itulah yang disaksikan BERITAMediacorp semasa kami sekali lagi mengunjungi Alias Kadir di hospital pada hari Rabu (19 Apr), merisik khabarnya setelah beliau selesai menjalani satu lagi pembedahan di kakinya.

Video di atas, di mana beliau merakamkan ucapan terima kasih dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan rakan-rakan kepadanya, mampu membuatkan sebilangan orang juga bergenang air mata. Hakikatnya, sebak melihatkan Alias Kadir, yang selalu menggeletek khalayak Melayu dengan lawaknya yang kelakar, kini dibelenggu kesusahan.

Setelah portal BERITAMediacorp menyiarkan berita bahawa Alias Kadir sakit sehingga dua jari kakinya terpaksa dikudungkan, laporan tersebut menjadi viral. Hasilnya, puluhan sahabat handai termasuk para pelawak Singapura dan peminat datang melawat beliau di Hospital Universiti Nasional (NUH), tempat beliau dirawat. Ramai yang kemudian menghulurkan sedikit wang sumbangan kepada beliau.

Sehingga hari ini (21 Apr), Alias Kadir sudah 12 hari duduk di katil hospital.

SELAMAT JALANI PEMBEDAHAN ANGIOPLASTY DAN ANGIOGRAM

Pembedahan Angioplasty selama dua jam yang Alias jalani semalam berjalan dengan baik. Tiada kesakitan yang teruk dirasakannya, dan beliau berkongsi kepada BERITAMediacorp beliau bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar, memandangkan itu masalah kritikal yang dihadapinya.

“Pembedahan dilakukan di sini, (sambil menunjukkan bahagian atas kiri kakinya) doktor perlu menebuk dan membuat bulatan kecil, dengan memasukkan catheter di saluran itu. Ini untuk memastikan segala urat saya dan segala ‘di dalamnya’ ok. Juga prosedur ini memastikan pemulihan yang cepat untuk diri saya setelah memotong 2 jari di kaki.

“Setelah prosedur ini…kesakitan ada sedikit, tetapi kita mesti kuatkan badan. Saya amat bersyukur kerana tiada komplikasi atau sebarang masalah timbul dari pembedahan ini. Syukur alhamdullilah,” ujar pelawak serba boleh itu dengan tenang.

Angioplasty merupakan satu teknik untuk membesarkan saluran darah yang kecil atau tersumbat. Manakala Angiogram pula merupakan teknik pemeriksaan X-ray bagi membolehkan pakar-pakar perubatan melihat jika saluran darah serta perjalanan darah mengalir dengan sempurna.

MUNGKIN BOLEH PULANG HARI JUMAAT, TAPI ISU BIL HOSPITAL…

Alias Kadir memberitahu BERITAMediacorp, beliau mungkin boleh pulang pada hari Jumaat (21 Apr), jika tiada komplikasi atau jangkitan yang timbul daripada prosedur tersebut. Namun, isu pembayaran bil hospitalnya di NUH masih lagi menjadi persoalan di benak hatinya.

“Saya mengharapkan semoga segala kos dan semua bil perubatan dan pembedahan di NUH akan mendapat subsidi. Sejujurnya, saya hanya mampu mengeluarkan wang sebanyak $200 hingga $300 sahaja.

“Selainnya, saya mengharapkan Pekerja Sosial Perubatan untuk membantu. Jumlah keseluruhan bil pun belum saya tahu lagi. Saya menganggarkan boleh mencecah ribuan dolar,” kongsi Alias kepada kami.

RAKAN-RAKAN ARTIS JALANKAN ‘KEMPEN’ JANA SUMBANGAN

Menyedari bahawa Alias Kadir perlukan bantuan, beberapa rakan artis beliau seperti pelawak Hamzah Adon kini mewar-warkan menerusi laman sosial masing-masing untuk menggerakkan usaha mengumpul dana bagi Alias. Artis lain seperti Suzairhe Sumari meletakkan nombor akaun POSB Alias Kadir di Facebook beliau, mengajak orang ramai supaya menyumbang wang.

19 april 2017hari ini Abg Ali As Kadir akanmenjalani pembedahan keduasemoga selamat segala urusannnya..mari kita semua doakan untuk beliauinsya'allah..amin..yang ingin membantu , sila pm saya..terimakaseh semua..• spread the LOVE..❤️#welovealiaskadir

Posted by Hamzah Adon on Tuesday, 18 April 2017

Hamzah Adon memberitahu BERITAMediacorp, ramai orang bertanya kepadanya dan menunjukkan minat ingin memberikan sedikit sumbangan ikhlas untuk pelawak itu, tetapi tidak tahu caranya. Jadi, dirinya sendiri mengambil inisiatif. Dengan persetujuan Alias Kadir sendiri, beliau memuatnaikkan sebuah video yang dibuat sendiri di laman Facebooknya.

“Saya dan Abang Lias (Alias Kadir) sudah berkawan sejak dari tahun 1995 lagi, dari zaman Hiburan Minggu Ini (HMI) lagi. Kami memang rapat dan saya sudah menganggapnya sebagai abang saya sendiri, justeru itu saya perlu membuat sesuatu dan membantunya di saat ini.

“Ketika membuat video ini juga, air mata saya deras mengalir kerana mengingatkan nasib seorang pelawak yang menghiburkan ramai orang. Namun hakikatnya, tiada siapa yang tahu apa yang terkandung di dalam hatinya. Abang Lias tetap lagi tersenyum dan bersyukur ketika dirinya diuji dengan masalah kesihatan, saya amat mengaguminya!” ujar Hamzah, dengan penuh harapan.

Alias Kadir memberitahu wartawan BERITAMediacorp, antara rakan-rakan dunia hiburan yang sudah melawat beliau termasuklah Hamidah Wahab, A Mahadi, Mahani Mohamad, Nick Mikhail dan penyanyi dangdut Masnie.

Beliau menyebut Hamzah Adon sebagai orang yang “selalu mengambil berat” tentang dirinya dan banyak memberikan sokongan dan bantuan.

Yang pasti, Alias Kadir terharu dengan sebilangan kawannya dan peminat yang sudi membantunya. Bagaimanapun buat masa ini, jumlah wang yang diterima Alias, besar kemungkinan belum lagi dapat meringankan keperluannya. Akan tetapi, beliau berbanyak terima kasih kepada setiap bantuan yang diberi.

“Pada semuanya yang banyak mendoakan kesihatan dan kesejahteraan saya dan memberikan sumbangan yang tidak dapat saya balas, dengan rendah diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima-kasih yang tidak terhingga.

“Semuga Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan mereka semua. Saya juga berterimakasih pada mereka yang mendoakan saya agar cepat sembuh dan boleh berkarya seperti sedia kala,” luah Alias Kadir kepada BERITAMediacorp dengan amat sayu dan menitiskan air mata.

Adakah rakan-rakan artis dan mereka yang bergiat dalam bidang seni akan agresif membantu ikon lawak Singapura yang bernama Alias Kadir? Mungkin hanya Alias Kadir sahaja yang tahu jawapannya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan