Images
  • Masidayu (2)
    Mas Idayu. (Gambar: Mas Idayu/Instagram)

Mas “ada nampak mummy happy?" Idayu kini bersuara dengan “Nafsu”

BERITAMediacorp: “Ada nampak Mummy happy?”. Kini begitu ramai orang kenal dengan frasa ungkapan penyanyi Mas Idayu itu.

Yang pasti, Mummy mungkin sedang ‘happy’ kerana beliau sudah merakamkan sebuah lagu dangdut baru berjudul ‘Nafsu’. Semua itu dapat dilakukan di tengah-tengah kesibukannya menjayakan program realiti D’Academy musim 3 terbitan Indosiar.

“Sama ada dangdut mendapat perhatian atau tidak, saya tetap akan menghasilkan lagu dangdut. Disebabkan kesibukan, saya tak sempat rakam di KL. Tetapi seorang artis veteran Indonesia telah menghasilkan sebuah lagu untuk saya berjudul Nafsu. Dah dirakamkan cuma belum mastering lagi,” dedah Mas Idayu kepada BERITAMediacorp.

BUKAN HANTU ATAU JEMBALANG UNTUK DIGERUNI

Berbalik kepada soal “Ada Nampak Mummy happy?”, fenomena itu nampaknya masih terus menjadi sebutan dalam perbualan harian dan bualan di kalangan orang Singapura, Malaysia dan Indonesia.


(Gambar: BERITAMediacorp)

“Saya tidak pernah bimbang sebab semua komentator di sini bukan hantu atau jembalang untuk digeruni. Kami duduk di situ untuk memberi ilmu dan bercakap sama ada tegas atau nada tinggi atau sederhana. Kami manusia biasa, cuma kami ada karektor masing-masing.”

Demikian terang Mas Idayu, yang nama sebenarnya ialah Masidayu Binti Mesnun, apabila ditanya mengenai episod beliau dikatakan emosi dan memarahi peserta dari Malaysia bernama Baby Shima untuk rancangan terbitan Indosiar D Akademi Asia musim 3.

Ada juga warga siber yang beranggapan bahawa tindakan Mas Idayu itu adalah kurang wajar dan agak keterlaluan.

Mas Idayu atau dikenali dengan panggilan mesranya sebagai Mummy untuk program realiti yang ke udara secara langsung setiap hari merupakan salah seorang komentator tetap setiap malam.

Pada November lalu, beliau yang mendapat gelaran Ratu Gelek 45 darjah, memarahi peserta Malaysia bernama Baby Shima apabila membawakan lagu dangdut berjudul Wulan Merindu sehingga amarah “Ada nampak mummy happy?” menjadi viral.

Ia dijadikan menjadi parodi berkali-kali oleh para individu serta personaliti televisyen dan radio di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.


(Gambar: Mas Idayu/Instagram)

TIDAK SEDAR KOMEN MARAH JADI VIRAL

Ketika BERITAMediacorp menghubunginya menerusi panggilan ke Jakarta baru-baru ini, ibu kepada seorang anak gadis itu menafikan bahawa episod beliau memarahi Baby Shima sehingga peserta itu menangis sengaja dibuat-buat untuk menaikkan rating rancangan realiti televisyen tersebut yang turut diwakili oleh peserta Singapura bernama Rahila.

“Itu bukan satu lakonan ataupun dirancang. Ikhlas keluar dari mulut seorang komentator yang mengharapkan peserta-peserta dari Malaysia tampil bagus kerana saya nampak usaha Shima yang selalu ingin belajar, yang selalu ingin menimba ilmu. Tetapi apa yang ditampilkan olehnya pada hari itu membuat saya agak kecewa. Jadi itulah yang membuat saya agak marah pada malam itu,” cerita Mas Idayu.

Penyanyi yang memulakan kerjaya seninya pada tahun 1990-an itu hanya mengetahui ia menjadi viral setelah dikhabarkan oleh sahabat dan keluarganya kerana beliau jarang melihat Instagram miliknya apabila menjalankan tugasan sebagai komentator untuk program televisyen tersebut.

Sebelum ini, beliau pernah juga menjadi juri untuk program televisyen di Malaysia. Dilabel sebagai seorang juri yang garang dan tegas adalah sesuatu yang bukan baru baginya. Beliau juga tidak ambil pusing mengenai jolokan ini.

“Itu adalah karektor saya. Di Malaysia pun begitu. Di Indonesia, saya sebagai komentator duduk di situ bukan sebagai patung. Tapi untuk memberitahu apa yang saya nampak dan apa yang saya dengar. Jika dibilang garang dan tegas bertempat. Bukan semua peserta kita harus begitu. Cuma jika ada peserta yang mentalnya kurang kuat, kita akan kuatkan dengan cara saya,” ujar Mas Idayu mengenai cara beliau mendidik.


(Gambar: Mas Idayu/Instagram)

TIDAK MARAH JIKA PARODI DIBUAT DI DEPANNYA

Tambah penyanyi yang peramah itu, ramai di Malaysia yang memahami karektornya sebagai juri yang garang dan tegas sebelum ini. Namun, mereka tau isi hati Mas Idayu sebenarnya.

Bahkan, pelbagai parodi yang terbit dari episod tersebut turut membuatnya terhibur kerana kesemuanya melucukan.

Mas Idayu sendiri tidak keberatan jika kelompok itu ingin membuat parodi tersebut di hadapannya.

Tidakkah beliau bimbang impaknya apabila dilabel terus sebagai seorang komentator yang garang dan tegas sehingga dicemuh nanti oleh netizen sampai bila-bila?

“Saya tak rasa apa-apa. Dah lali pun kerana itulah diri saya yang sebenar. Di sebalik diri saya yang sebenar yang orang tidak tahu, saya sangat penyayang,” akuinya.

Disebabkan oleh itu, ungkapan “ada nampak mummy happy?” yang diucapkan oleh Mas Idayu untuk siaran langsung itu turut juga menjadi viral sehingga kini.

Ia sering digunakan oleh ramai artis serta penyiar dan pengacara televisyen dengan nada gurau merujuk kepada ungkapan yang telah dibuat oleh Mas Idayu itu.

Meskipun Mas Idayu pernah memarahi Baby Shima sewaktu program D Akademi Asia 3 bersiaran langsung ketika itu, mereka berdua tidak pernah bermasam muka. Terang Mas Idayu kepada kami:


(Gambar: Mas Idayu/Instagram)

“Saya dan Baby Shima sentiasa baik. Tiada masalah. Seperti seorang ibu dan anak. Kami sentiasa berhubung, bertanya khabar walaupun dalam media sosial juga.”

Selama tiga tahun menjadi komentator tetap program realiti popular itu, beliau terpaksa berkorban dengan berjauhan dengan anak gadis kesayangannya yang kini menuntut di universiti di Kuala Lumpur. Anaknya juga terpaksa berkorban dengan melepaskan ibu tersayang demi tugasan di Jakarta.

“Kami saling memahami. Kalau ada masa, memang saya akan balik tengok dia. Tapi kalau tidak ada peluang, kami akan sentiasa buat video call. Dia sentiasa sokong saya dalam keadaan saya gembira atau saya rasa sedih. Dia seorang anak yang memahami walaupun dia menangis rindukan saya tapi dia sentiasa beri saya sokongan untuk saya lebih kuat di Jakarta,” kongsi anak kelahiran Johor itu. 

- BERITAMediacorp/FH/nk

Komen Anda?

Top