Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mahathir lelaki paling dikagumi di M'sia, Siti Nurhaliza ungguli senarai wanita

Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai lelaki paling dikagumi di Malaysia berdasarkan satu kaji selidik online 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir lelaki paling dikagumi di M'sia, Siti Nurhaliza ungguli senarai wanita

Calon perdana menteri Tun Dr Mahathir dan penyanyi Siti Nurhaliza. (Gambar fail/ Instagram)

Diterbitkan : 14 Apr 2018 10:21AM Dikemas Kini : 14 Apr 2018 10:23AM

KUALA LUMPUR: Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai lelaki paling dikagumi di Malaysia berdasarkan satu kaji selidik online 2018.

Dalam petikan laporan Malaysiakini, kajian itu dibuat firma penyelidikan pasaran dan analisis data yang berpangkalan di Britain, YouGov yang menyaksikan Mahathir mendapat 15 peratus markah kekaguman di Malaysia.

Lelaki kedua dalam senarai itu ialah hartawan teknologi Bill Gates yang hanya meraih markah kekaguman sebanyak 8.3 peratus, manakala perdana menteri (kerajaan) sementara Datuk Seri Najib Razak pula berada di kedudukan ke-14, mendapat 2.5 peratus markah kekaguman.

Bagi senarai wanita yang paling dikagumi di Malaysia, menurut Malaysiakini, ialah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang mengungguli carta dengan markah kekaguman sebanyak 14.1 peratus sementara isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Ali mendapat tempat kedua dengan 10.1 peratus markah.

Isteri Najib, Rosmah Mansor, berada di tangga ke-20 dalam senarai wanita paling dikagumi di Malaysia, berkongsi kedudukan dengan pelakon India, Deepika Padukone dengan mengumpul mata sebanyak satu peratus.

Senarai tersebut yang dibahagi mengikut kategori lelaki dan wanita merupakan campuran personaliti tempatan dan antarabangsa.

Antara nama lain dalam senarai lelaki dikagumi itu ialah pelakon Jackie Chan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group, Tony Fernandes, mantan presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta pemain bola sepak Cristiano Ronaldo, David Beckham dan Lionel Messi.

Wanita-wanita yang dikagumi pula, lapor Malaysiakini, termasuk nama-nama seperti Noor Neelofa Mohd Noor, Nur Fazura Sharifuddin, Vivy Yusof, personaliti televisyen Oprah Winfrey, pelakon Michelle Yeoh, Angelina Jolie dan Emma Watson serta Ratu Elizabeth II dari Britain dan Duchess of Cambridge Kate Middleton.

TINJAU DENGAN DUA SOALAN

Menurut YouGov, firma itu mengumpulkan pencalonan terbuka oleh ahli panel dari 35 negara, meminta mereka menamakan lelaki atau wanita yang masih hidup untuk dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

YouGov menyusun senarai 20 lelaki dan 20 wanita yang mendapat pencalonan paling banyak serta dicalonkan sekurang-kurangnya empat negara. Kemudiannya, firma itu menambah 10 tokoh tempatan yang popular bagi senarai negara masing-masing.

Menggunakan senarai itu, YouGov meninjau negara calon-calon tersebut dengan dua soalan.

Soalan pertama adalah "siapa yang kamu benar-benar (truly) kagumi?", yang mana responden boleh memilih lebih daripada satu nama.

Soalan kedua pula adalah "siapa yang paling (most) kamu kagumi?", di mana responden hanya boleh memilih satu nama.

Markah daripada kedua-dua soalan kemudiannya digabungkan menjadi sebahagian daripada peratusan indeks kekaguman.

YouGov berkata kedua-dua soalan tersebut membolehkan firma itu untuk memahami jangkauan global dan tahap sokongan kepada seseorang.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan